Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-25 : MANZILAH BULAN

BAYAN FALAK 19 01 01 1

 

Umum mengetahui bahawa bulan beredar mengelilingi bumi setiap hari, peredaran ini akan menyebabkan bulan dilihat mengalami beberapa fasa seperti bulan baharu, sukuan pertama, penuh dan sukuan akhir. Selain itu, kesan peredaran bulan ini juga menyebabkan bulan akan berada ditempat-tempat tertentu yang dikenali sebagai manzilah. Menariknya, salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Ibnu Umar RA telah menyatakan[1]:

 لَوْ كَانَ فِي دَارِىْ رُجُلٌ أَعْجَمِيٌّ لَا يَعْرِفُ القَمَرَ بِأَيِّ المَنَازِلِ مَا أَبْقَيْتُهُ

Maksudnya: "Bila di rumahku ada seorang yang tidak mengetahui manzilah bulan, aku tidak biarkan dia tinggal di rumahku."

Ini bermaksud bahawa pengetahuan mengenai perjalanan bulan, fasa dan manzilahnya menjadi sangat penting sepertimana dalam firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءٗ وَٱلۡقَمَرَ نُورٗا وَقَدَّرَهُۥ مَنَازِلَ لِتَعۡلَمُواْ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلۡحِسَابَۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ

Maksudnya: "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Tidaklah Allah SWT menjadikan semua itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah SWT menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmah sesuatu yang dijadikanNya)."

Surah Yunus (5)

Manzilah bulan atau lunar mansion juga disebut sebagai Nakshatra[2] oleh kaum India purba sepertimana yang ditakrifkan oleh astronomi iaitu bintang yang menjadi latar belakang terhadap laluan dan fasa-fasa bulan. Masyarakat arab zaman silam telah membahagikan langit itu kepada 28 bahagian yang sama dan dinamakan setiap bahagian itu sebagai manzilah[3]. Dalam satu pusingan qamariah (lunar) selama 29.5 hari, bulan akan melalui setiap bintang latar ini di sepanjang orbitnya mengelilingi bumi. Perkara ini berlaku daripada pergerakan harian bulan, maka setiap hari menempati satu manzilah. Kedudukan manzilah pula adalah berdasarkan bintang-bintang yang berhampiran daripada garisan pergerakan bulan di atas daerah buruj. Kubah langit dibahagikan kepada 12 buruj dan tempoh setiap manzilah adalah 12° 51' 25". Allah SWT telah berfirman di dalam kitab-Nya:

وَٱلۡقَمَرَ قَدَّرۡنَٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلۡعُرۡجُونِ ٱلۡقَدِيمِ

Maksudnya: "dan bulan pula kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat (manzilah), sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.”

Surah Yasin (39)

Sudah diceritakan di dalam al-Quran pada kurun ke-14 yang lalu bahawasanya bulan itu akan melalui fasa-fasa yang tertentu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk atau pedoman kepada umat Islam dan manusia keseluruhannya. Fasa-fasa bulan termasuklah anak bulan, bulan sabit muda dan tua, bulan separa dan juga bulan penuh.

FASA BULAN

Rajah 1: Fasa-fasa Bulan

Dipetik daripada buku Muzakirah Ilmu Falak fi Ithna Asyara Syahran oleh Mohamad Faizal bin Jani, Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT telah menetapkan bahawa setiap bulan itu mempunyai manazil (peringkat-peringkat) di mana hanya sedikit cahaya bulan yang kelihatan ketika ia terbit di awal bulan[4]. Seiring dengan pertambahan bilangan hari, maka cahaya akan lebih mudah kelihatan dan menampakkan bulan seolah-olah sedang melalui proses pembesaran. Jika diperhatikan bulan semakin tinggi ketika kedudukannya di langit ketika malam hari. Bulan telah sempurna bercahaya apabila sudah menghampiri kepada malam 15. Cahaya ini adalah pantulan dari sinaran matahari. Namun selepas itu bulan semakin mengecil dan mengecut serta cahaya semakin menghilang dan kedudukannya kembali rendah sehingga bulan kelihatan seperti 'urjunil qadim'.

Ibn Abbas menyatakan maksud urjun itu adalah tandan. Manakala Imam Mujahid pula menyatakan bahawa ia seperti tandan kering (al-ldzqu al-yabis) iaitu tandan kurma yang tua dan sudah kering[5]. Begitulah aturan Allah SWT yang mana pusingan bulan akan melalui fasa-fasa yang sama pada setiap bulan.

Syed Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran mengatakan bahawa, apabila manusia melihat bulan pada awal bulan, itulah yang dinamakan al-hilal, kemudian berlalu malam demi malam hingga menjadi penuh, itu yang dinamakan al-badr. Kemudian bulan semakin mengecil sehingga yang kelihatan lengkung tepi bulan seperti tandan kurma yang tua dan sudah kering[6].

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan 28 manzilah bagi bulan[7]:

MANZILAH BULAN

Jadual 1: Manzilah-manzilah Bulan

Perlu diketahui bahawa manzilah bulan ini juga berkait rapat dengan kedudukan matahari daripada darjah buruj (Muqum al-Syams). Hubungan di antara kedudukan manzilah dengan buruj adalah pada kedudukannya, yang mana bintang itu dikira buruj untuk matahari dan bintang itu juga dikira manzilah untuk bulan. Contoh seperti jadual di atas, manzilah al-Syaratan dan al-Butoin keduanya berada pada buruj Aries. Manakala manzilah al-Qalb dan al-Syaulah berada pada buruj Scorpius. Manzilah-manzilah inilah yang akan menjadi laluan bagi bulan sepanjang peredarannya dalam setahun qamariah. Manzilah ini juga akan sentiasa menjadi latar belakang laluan bulan dan tidak berubah. Hal ini jelas menunjukkan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dengan menjadikan perjalanan bulan mengelilingi bumi pada manzilah masing-masing begitu teratur, tersusun dan sistematik tanpa sedikit pun kesilapan.

PETA BINTANG

Rajah 2: Peta Bintang[8]

  

RUJUKAN

[1] Muhammad bin Abdul Rahman al-Ahsai al-Hanbali. (2005). Sullam al-’Uruj ila ‘Ilmu al-Manazil wa al-Buruj. Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyah. hlmn: 66.

[2] Dennis M. Harness, The Nakshatras: The Lunar Mansions of Vedic Astrology (Delhi: Motilal Banarsidass Publisher, 2004)

[3] Hanafiah Abd. Razak, Manzilah Bulan Dalam Memenuhi Keperluan Syarak, dibentangkan dalam Konvensyen Falak Selangor 2011 yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 15 Oktober 2011, Shah Alam: Jabatan Mufti Negeri Selangor.

[4] Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurahman bin Ishaq al-Sheikh, Tafsir Ibnu Katsir, 6/646.

[5] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir. (2001). Jami’ al-Bayan an al-Ta’wil Ay al-Quran. Dar Hajar. 19/437.

[6] Sayyid Quthb, Tafsir fi zhilalil Qur'an, terj. As'ad Yasin, Abdul Aziz Salim Basyarahil, Muchotob Hamzah (Jakarta:Gema Insani Press,2000). hal: 174.

[7] Baharuddin Zainal, Pengenalan Ilmu Falak (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002), hal 79-80.

[8] Koleksi Kompleks Falak al-Khawarizmi.

9. Mohamad Faizal Jani (t.t), Muzakirah Ilmu Falak fi Ithna Asyara Syahran, h. 77.

 


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+