Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-28 : SIFAT MATAHARI

BAYAN FALAK 22 01 1

 

Allah SWT adalah pencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dia menjadikan cahaya matahari pada siang hari untuk memberi manfaat kepada manusia, tumbuhan dan haiwan. Allah SWT juga menjadikan bulan untuk menerangi kegelapan malam. Tambahan lagi, Allah SWT menentukan peredaran bulan pada 28 tempat peredaran (manazil) yang mana setiap malam ia akan berhenti pada salah satu daripadanya. Berdasarkan peredaran inilah takwim hijri ditentukan.

Allah SWT menciptakan matahari untuk memberi pelbagai manfaat kepada hidupan di bumi. Allah SWT juga telah menyebut sebanyak 35 kali mengenainya dalam al-Quran. Kesemua ayat tersebut adalah berkaitan dengan sifat matahari yang bersinar-sinar dan terang-benderang. Sebagaimana firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ ٱلشَّمۡسَ ضِيَآءٗ وَٱلۡقَمَرَ نُورٗا وَقَدَّرَهُۥ مَنَازِلَ لِتَعۡلَمُواْ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلۡحِسَابَۚ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah SWT tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah SWT menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”

Surah Yunus (5)

Ayat di atas telah jelas menggambarkan kepada kita mengenai perbezaan antara sinar dan cahaya. Sifat matahari yang bersinar-sinar diterangkan dalam ayat di atas melalui perkataan dhiya' manakala perkataan nur merujuk kepada cahaya bulan. Menurut Said Hawwa dalam karyanya al-Asas fi al-Tafsir, dhiya' lebih kuat dari nur kerana matahari bersinar terang bersumberkan cahayanya sendiri tetapi bulan bercahaya kerana pantulan dari sinar cahaya matahari. (Rujuk al-Asas fi al-Tafsir 2427/5)[1]

Menurut kajian ahli astronomi, tenaga yang dihasilkan adalah melalui proses nuklear yang melibatkan hidrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalam matahari (core).[2] Keadaan ini menyebabkan cahaya dan haba terhasil dari matahari dan dipancarkan ke seluruh sistem suria. Hal tersebut membolehkan kita melihat sendiri bagaimana matahari memancarkan cahayanya yang sentiasa bersinar-sinar. Kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya.

Tambahan lagi, suhu matahari adalah berbeza untuk setiap lapisannya. Mengikut data yang disediakan oleh NASA, suhu matahari pada terasnya lebih panas berbanding suhu permukaan luarannya iaitu Fotosfer. Suhu Fotosfer boleh mencapai sehingga 5500 darjah celsius dan suhu pada terasnya mencapai sehingga 15 juta darjah celsius.

Lapisan yang terdapat pada matahari mempunyai pelbagai suhu yang berbeza kerana setiap lapisan itu mempunyai pelakuran nuklear yang berbeza. Lapisan tersebut ialah teras matahari, fotosfera, kromosfera, dan korona. Kromosfer merupakan lapisan atas Fotosfer yang dikenali sebagai atmosfera matahari. Ia boleh mencapai sehingga 6000 darjah celsius. Suhu Korona matahari pula boleh mencapai sehingga 1-2 juta darjah celsius.[3]

Di samping itu, Allah SWT telah menjadikan sifat matahari ini beredar pada paksinya bagi mengetahui waktu-waktu solat. Perkara ini dinyatakan melalui firman Allah SWT:

لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Maksudnya: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

Surah Yasin (40)

Berdasarkan ayat di atas dapat difahami bahawa matahari akan sentiasa bergerak mengelilingi orbitnya dan tidak akan pernah berhenti.  Matahari dan bulan kedua-duanya mempunyai cahaya. Jika matahari matahari terbit mengeluarkan cahayanya, bulan tidak akan ada cahaya dan begitulah sebaliknya. Sesungguhnya, inilah kekuasaan dan ketetapan Allah SWT yang telah menjadikan setiap satunya bergerak pada ketetapan masing-masing. (Rujuk Ta’wil Musykil al-Quran, hlm. 192 [4]; Tafsir Ishak al-Busti, 186/2 [5])

Kesimpulannya, Allah SWT telah menciptakan matahari dengan pelbagai sifat yang memberi manfaat kepada semua hidupan di muka bumi. Sesungguhnya ciptaan Allah SWT yang satu ini amat menakjubkan dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi kekuasaan-Nya. Umat Islam harus sedar bahawa setiap apa yang Allah SWT ciptakan merupakan peringatan kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa memerhati dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Rujukan

[1] هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِياءً أي ذات ضياء وَالْقَمَرَ ‌نُوراً أي ذا نور، والضياء أقوى من النور

[2] "Neutrinos from the primary proton–proton fusion process in the Sun." Nature 512, no. 7515 (2014): 383-386.

[3] https://solarsystem.nasa.gov/solar-system/sun/overview/

[4] والشمس تجري لا مستقر لها والمعنى أنها لا تقف، ولا تستقر، ولكنها جارية أبدا

[5] هذا في ضوء القمر وضوء الشمس. إذا طلعت الشمس لم يكن للقمر ضوء، وإذا طلع القمر بضوئه لم يكن للشمس ضوء {وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ} كان في قضاء الله وعلمه أن لا يفوت الليل النهار حتي يدرکهـ فيذهب ظلمته، وفي قضاء الله أن لا يفوت النهار الليل حتى يدركه فيذهب بضوئه


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+