Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-66: INTEGRITI DATA PERIBADI DAN KESIHATAN PEMAIN: SELAMATKAH POKEMON GO?

 

Mukadimah

Alhamdulillah. Segala puji bagi-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, Para Sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkahnya sehingga Hari Kesudahan.

            Kami berasa terpanggil untuk menjawab isu yang ditanya kepada kami dan sampai kepada kami maklumat yang kami dapati dapat membina hukum seperti yang akan kami bahas selepas ini.

 

Pengenalan Pokemon GO

Pokémon GoTM ialah applikasi permainan telefon mudah alih yang menggunakan teknologi augmented reality (realiti berperantara) dan location-based (perisian berasaskan lokasi). Permainan ini dibangunkan oleh Syarikat Niantic Inc. dengan kerjasama Syarikat Pokemon Antarabangsa dan Nintendo Co. Ltd dan boleh dimuat turun melalui peranti mudah alih yang menggunakan Android dan IOS.  

Bermula 6 Julai 2016, permainan ini telah dilancarkan di sebahagian benua seluruh dunia seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat,  German, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Portugis, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Greek, Greenland, Hungary, Iceland, Ireland, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands, Norway, Poland, Romania, Slovakia, Slovenia, Sweden, Switzerland,  Canada, dan Puerto Rico.

Di rantau Asia, hanya di Jepun dan Indonesia sahaja, para pengguna telefon mudah alih boleh bermain Pokemon Go, manakala negara-negara Asia lain seperti Malaysia, Thailand, Filipina, permainan ini masih belum dilancarkan secara rasmi. Pun begitu, di China, contohnya, para pemain masih bermain dengan memuat turun aplikasi yang tidak rasmi dan menggunakan aplikasi GPS Spoofing, yang memanipulasi perisian GPS untuk menggunakan peta negara lain yang sudah dilancarkan peta Pokemon Go.

 

Bentuk Permainan

Kami sertakan beberapa bentuk Permainan GO:

  • Hanya perlu aktifkan GPS di telefon pintar, aplikasi akan kesan Pokemon di sekeliling kedudukan pemain, beri notifikasi di skrin.
  • Aplikasi ini membuat pemaiannya perlu bergerak dan berjalan merata tempat untuk memburu serta menangkap watak raksasa maya pada skrin telefon pintar.
  • Permainan ini boleh dimain secara Single player (seorang pemain) atau Multiplayer (ramai pemain).
  • Pemain boleh melagakan Pokemon yang ditangkap untuk dilatih bersama para pemain lain.
  • Pemain boleh meninggalkan Pokemon yang ditangkap di Gym yang ditawan untuk menjaga kawasan jajahan daripada pemain dan kumpulan lain.

 

 

FATWA-FATWA BERKENAAN POKEMON DAN POKEMON GO

 

Pertama: Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Pada tahun 2001, Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa mengharamkan animasi dan permainan Pokemon. Alasan yang beliau nyatakan ialah demi menjaga aqal, akidah dan tingkah laku kanak-kanak, dan juga harta mereka daripada pembaziran, selain mengkritik tindakan ibu bapa yang meredai tindakan anak-anak mereka dalam isu ini. Beliau juga menyatakan bahawa fatwa beliau itu dikeluarkan apabila ramai ibu bapa yang prihatin tentang perkembangan anak-anak mereka mengikut Islam, bertanya beliau tentang hal ini dan sebelum mengeluarkan fatwa, beliau sudah merujuk ramai pakar dan pemikir termasuk penggiat seni budaya dan perfileman. Beliau menunjukkan beberapa sebab bagi beliau sebagai alasan siri animasi dan permainan ini patut diharamkan:

  • Terdapat risiko bahaya ke atas akidah seseorang Muslim kerana Pokemon terbina di atas teori Darwin yang terkenal dengan idea evolusi, perkembangan dan perubahan organisma mengikut persekitaran dan zaman.
  • Memberikan bahaya kepada aqal kanak-kanak kerana ia dibina atas khayalan yang tidak dibina atas dasar aqal dan naqli.
  • Pokemon mengandungi bahaya dalam membentuk peribadi tingkah laku kanak-kanak dan hubungan dengan sekeliling kerana ia bersifat perlawanan dan promosi bahawa hanya yang kuat sahaja yang akan kekal.
  • Ia membawa kepada pertembungan dan sifat yang keras serta kasar seperti peperangan sentiasa berlangsung.
  • Boleh membawa kepada perjudian jika ada unsurnya.
  • Begitu juga terdapat beberapa gambar rajah dan symbol seperti bintang enam yang mempunyai hubungan dengan Freemason dan Zionis.

 

Kedua: Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi

Majlis Ulama Tertinggi (Hai’ah Kibar Ulama) Arab Saudi juga mengemukakan fatwa bahawa permainan Pokemon tidak Islamik tetapi tidak menyebut aplikasi mudah alih Pokemon GO. Antara alasan Majlis itu ialah watak-watak raksasa dalam animasi dan permainan itu memliki kuasa tertentu, membawa kepada kekufuran kerana mengikut teori evolusi semulajadi. Begitu juga ia mengandungi elemen polytheism yang menggandakan jumlah dewa-dewa dan seterusnya mampu membawa kepada perjudian.

 

Ketiga : Universiti al-Azhar

Wakil Syeikhul Azhar Universiti al-Azhar, Syeikh Prof. Dr. Abbas Syuman telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menggalakkan remaja Muslim bermain Pokemon Go kerana membawa kepada ketagihan. Beliau juga membanding kesan negatif daripada permainan itu dengan tingkah laku orang yang mabuk kerana minum arak. Syeikh Abbas kemudian dalam akaun Facebook rasminya memberitahu bahawa beliau tidak pernah mengharamkan aplikasi mudah alih itu tetapi hanya menekankan kesan buruk ketagihan dan juga risiko pemain terdedah kepada bahaya dan kemalangan sewaktu menangkap Pokemon.

 

Negara-Negara yang Mencegahnya

Di Arab Saudi, Suruhanjaya Komunikasi, Teknologi dan Informasi Kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah mengeluarkan amaran bahawa Pokemon GO dan permainan yang seumpamanya boleh mengancam pemain kerana mendedahkan lokasi pemain kepada pihak-pihak yang mengambil kesempatan. Ini termasuklah ancaman penggodam, pencerobohan ruang peribadi dan ancaman jenayah rompak dan curi. 

Pihak berkuasa Kuwait dan Mesir sebelum ini memberi amaran dan ancaman bahawa permainan ini berisiko membawa pemain ke kawasan-kawasan sensitif seperti istana, masjid-masjid, stesen minyak dan pengkalan tentera. Ahmed Badawi, Timbalan Ketua Majlis Komunikasi Kerajaan Mesir, menggesa pihak berkuasa Mesir untuk mengadakan sekatan terhadap permainan Pokemon GO kerana dipercayai boleh mendedahkan bahagian keselamatan negara kepada dunia luar. Manakala, Hamdi Bakheet, ahli Majlis Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negara Mesir pula memberitahu Parlimen Mesir bahawa aplikasi Pokemon GO ialah usaha yang licik pihak luar untuk membuat perisikan dalam masyarakat dan negara Mesir.[1]

Begitu juga pertubuhan imam-imam di Turki menggesa agar pihak berkuasa mengharamkan permainan itu kerana menjejaskan nilai kemurnian dan kesucian tempat-tempat ibadat apabila pemain aplikasi berkenaan memasuki premis masjid semata-mata untuk mencari raksasa maya berkenaan.

Pihak kerajaan Indonesia melarang anggota polis negara itu bermain Pokemon GO ketika menjalankan tugas dan larangan itu bakal dilaksanakan kepada anggota tentera tidak lama lagi.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar, berkata pegawai polis seluruh negara itu telah menerima arahan itu bermula 19 Julai 2016. Pihak kerajaan risau pegawai polis akan menjadi ketagih dan mengganggu tugas pihak polis dalam berkhidmat kepada masyarakat yang dengan konsentrasi dan kerja keras. 

Arahan ini juga dikeluarkan susulan kes penangkapan warga Perancis yang menceroboh pengkalan tentera Indonesia yang terletak di Pulau Jawa kerana bermain Pokemon GO. Kes ini menimbulkan kegusaran dan kemungkinan dalam kalangan tokoh pembangunan keselamatan yang menegaskan teknologi tinggi dalam permainan tersebut berpotensi menjadi alat perisikan.

‘Pokemon GO nampak comel, tetapi semakin lama anda melihat, ada sesuatu yang tidak betul padanya,” Kata Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu.[2]

 

KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN

Pada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah berbincang dan memutuskan bahawa permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas dan juga faktor maslahah dan kemudaratan yang berlaku. Justeru, diharap agar masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan tidak terlibat dalam aplikasi permainan tersebut.  

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

Atas dasar ini, maka benarlah sabda Rasulullah SAW:

لَا ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Janganlah seseorang itu melakukan kemudaratan dan mengenakan kemudaratan itu kepada orang lain.

Hadis riwayat Ahmad

Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat. Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku, membawa kepada:

  • Bahaya dari segi pengintipan pihak luar
  • Pencerobohan ruang peribadi
  • Faktor keselamatan seperti kemalangan
  • Kelalaian
  • Ketagihan melampau terhadap gajet
  • Kehilangan fokus terhadap realiti sekeliling
  • Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan.
  • Membawa kepada akhlak yang buruk
  • Ancaman kepada pekerjaan dan pelajaran.

Ini selari dengan kaedah Sadd al-Dzari’ah (menutup pintu-pintu menuju kerosakan).

Kami syorkan pilihlah bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, dan juga tiada unsur khurafat yang mengarut.

Semoga dengan pencerahan ini, kita diberi kefahaman yang baik dan jelas berkenaan dengan kehidupan ini agar selari dengan neraca Syarak.

Ingatlah kita diciptakan bukan sia-sia tetapi ada asas tujuan da matlamatnya iaitu hamba Allah dan pemegang amanah-Nya di bumi ini sebagai khalifah Allah.

Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Surah al-Mukminun, 23:115

Kami akhiri dengan berdoa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارزُقنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارزُقنَا اجتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

 

Akhukum fillah,

 

Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 Ogos 2016 M bersamaan 2 Zulkaedah 1437 H

 

 

[1] Saad Abedine. (2016, 19 Julai). Pokemon Go ignites debate in the Middle East. Al-Jazeera. Diakses daripada http://www.aljazeera.com/blogs/middleeast/2016/07/pokemon-ignites-debate-middle-east-160719090657893.html.

[2] AFP, (2016, Julai 21). Indonesia larang polis, tentera main Pokemon GO. Utusan Malaysia. Ms. 16.