Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM WACANA FATWA SEMASA PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN & BICARA FIQH WANITA (DAURAH MUSLIMAT) TAHUN 2022

LABUAN, 22 SEPTEMBER 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui Bahagian Sumber Maklumat (BSM) dengan kerjasama PMWP Cawangan Labuan telah mengadakan Program Wacana Fatwa Semasa Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan Bicara Fiqh Wanita (Daurah Muslimat) Tahun 2022 pada 22 September 2022 yang lalu di Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Labuan.
Program ini bertujuan untuk memberi maklumat dan kefahaman serta membincangkan isu-isu Islam semasa dan kefatwaan di Wilayah Persekutuan khususnya.
Program Wacana Fatwa Semasa Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan Program Bicara Fiqh Wanita (Daurah Muslimat) telah berlangsung secara serentak dengan penglibatan masyarakat awam yang terdiri daripada para pemegang tauliah dan para pendidik Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) serta khusus kepada para pelajar Pusat Pengajian Saudara Kita (PPSK) yang terdiri daripada kalangan muallaf wanita di Labuan. Program tersebut telah dimulakan dengan pembentangan pertama berkaitan “Fatwa-fatwa Semasa Di Wilayah Persekutuan” yang disampaikan oleh SS Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Kemudian diteruskan kepada pembentangan kedua berkaitan “Islam Dan Cabaran Semasa” yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan). Manakala bagi Program Bicara Fiqh Wanita (Daurah Muslimat) pula telah disampaikan oleh Ustazah ‘Aisyah binti Harun, Pegawai Penyelidik Unit Buhuth PMWP berkaitan “Fiqh Wanita: Haid Dan Ibadah”.
Majlis berakhir dengan penyampaian tausiah dan penutupan daripada SS Prof. Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya beliau menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kehadiran para peserta yang hadir ke program tersebut. Beliau juga berharap agar program-program seperti ini sentiasa dapat dilaksanakan dan memberikan manfaat kepada semua pihak khususnya di Wilayah Persekutuan.