Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL- KAFI #1042 : MAKNA LAGHA DALAM KHUTBAH JUMAAT

AK1042 HUKUM LAGHA

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, saya selalu dengar teguran yang menyatakan bahawa sesiapa yang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah maka dia telah lagha. Persoalan saya, apakah maksud lagha tersebut ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tidak dinafikan bahawa teguran yang anda dengar itu adalah teguran yang benar serta mempunyai sandarannya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934).

Sekiranya kita meneliti hadis di atas, kita akan mendapati bahawa menegur orang yang bising ketika khatib sedang berkhutbah itupun menjadikan seseorang itu lagha. Sedangkan menegur kesilapan dan kesalahan di depan mata adalah termasuk dalam bab mencegah kemungkaran.

Inilah yang disebut sebagai mafhum al-muwafaqah dari lafaz hadis. Iaitu, sekiranya mencegah kemungkaran dengan menyebut: ‘’Diamlah kamu’’ semasa khutbah pun menjadikan seseorang itu lagha, maka sudah pastilah ucapan-ucapan dan bualan-bualan kosong semasa khutbah Jumaat itu menjadi lebih lagha lagi.

Maksud Lagha

Berikut kami kongsikan beberapa maksud dan tafsiran perkataan lagha seperti yang dikemukakan oleh para ulama’:

Pertama: Lagha Bermaksud Batal Fadhilat Jumaat

Ini bermakna seseorang yang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah menjadikan fadhilat atau kelebihan Jumaatnya sebagai terbatal iaitu sia-sia. Ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata: ‘’Ketika Rasulullah S.A.W sedang berkhutbah, Abu Zar bertanya kepada Ubai bin Ka’ab : ‘’Bilakah turunnya surah ini ?’’ Lalu Ubai tidak menjawab persoalan tersebut sehinggalah sesudah solat, Ubai berkata kepada Abu Zar:

لَيْسَ لَكَ مِنْ صَلاَتِكَ الْيَوْمَ إِلاَّ مَا لَغَوْتَ

Maksudnya: Kamu tidak mendapat apa-apa dari solat kamu hari ini melainkan kamu telah lagha.

Kemudian Abu Zar pun pergi bertemu dengan Nabi S.A.W lalu menceritakan hal tersebut, maka kata Nabi S.A.W: ‘’Benarlah kata-kata Ubai’’.

Riwayat Al-Baihaqi (3/220)

Demikian juga makna lagha sebagai membatalkan fadhilat Jumaat ini diperkuatkan dengan riwayat berikut. Daripada Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

يَحْضُرُ الْجُمُعَةَ ثَلاَثَةُ نَفَرٍ رَجُلٌ حَضَرَهَا يَلْغُو وَهُوَ حَظُّهُ مِنْهَا وَرَجُلٌ حَضَرَهَا يَدْعُو فَهُوَ رَجُلٌ دَعَا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِنْ شَاءَ أَعْطَاهُ وَإِنْ شَاءَ مَنَعَهُ وَرَجُلٌ حَضَرَهَا بِإِنْصَاتٍ وَسُكُوتٍ وَلَمْ يَتَخَطَّ رَقَبَةَ مُسْلِمٍ وَلَمْ يُؤْذِ أَحَدًا فَهِيَ كَفَّارَةٌ إِلَى الْجُمُعَةِ الَّتِي تَلِيهَا وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ ‏{‏ مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ‏}

Maksudnya: Yang menghadiri Jumaat ada tiga kategori manusia. Lelaki yang hadir dalam keadaan lagha dan itulah bahagian dia dari Jumaat tersebut. Lelaki yang berdoa iaitu seorang yang berdoa kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah akan berikan dan sekiranya Allah mahu Allah akan menghalang pemberian. Dan lelaki yang hadir dengan diam dan senyap serta dia tidak melangkah bahu-bahu orang Islam (jemaah lain) dan tidak menyakiti seorangpun, maka ia adalah kaffarah (penghapus dosa) kepada Jumaat yang berikutnya serta penambahan tiga hari lagi kerana Allah berfirman: (Mafhumnya) : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka buatnya sepuluh ganjaran sepertinya.

Riwayat Abu Daud (1113)

Begitu juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib beliau berkata:

 وَمَنْ قَالَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ لِصَاحِبِهِ صَهْ ‏.‏ فَقَدْ لَغَا وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِي جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْءٌ

Maksudnya: Dan sesiapa yang berkata ‘’diamlah kamu’’ kepada sahabatnya maka dia telah lagha. Dan sesiapa yang lagha tidak mendapat sedikitpun (ganjaran) dari Jumaat tersebut.

Riwayat Abu Daud (1053)

Justeru, hadis-hadis yang dinyatakan di atas ini menunjukkan bahawa lagha yang dimaksudkan di dalam hadis adalah hilangnya pahala dan kelebihan Jumaat seseorang itu.

Kedua: Lagha Bermaksud Solat Jumaat Menjadi Solat Zohor

Ini membawa maksud sesiapa yang berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah, dia terlepas pahala Jumaat dan solat Jumaat yang dia lakukan tersebut dikira sebagai solat zohor sahaja. Pendapat ini dikuatkan dengan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amru R.A beliau berkata:

 وَمَنْ لَغَا وَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ كَانَتْ لَهُ ظُهْرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang lagha serta melangkah bahu-bahu manusia, maka (Jumaat) buatnya adalah zohor.

Riwayat Abu Daud (347)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menyebutkan pendapat Ibn Wahb yang merupakan salah seorang perawi bagi hadis di atas yang berkata: ‘’Solatnya sah cumanya dia terhalang dari mendapat fadhilat Jumaat’’. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/414).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa kedua-dua maksud lagha dalam khutbah Jumaat seperti yang telah disebutkan adalah hampir sama sahaja. Ia bererti khilaf yang berlaku hanyalah khilaf lafzi iaitu berbeza pada lafaz tetapi maksudnya sama.

Iaitu lagha bermaksud amalan seseorang itu menjadi sia-sia dan meluputkan pahala nya namun solat Jumaat yang didirikan tetap sah dan tidak perlu diulangi semula.

Akhir kalam, hendaklah kita berusaha sehabis mungkin untuk menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang menghilangkan tumpuan kepada mendengar khutbah Jumaat. Semoga penjelasan ini membantu dalam memberikan kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.