Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1279: HUKUM SOLAT SUNAT SEBELUM JUMAAT

 solat jumaat sebelum jumaat.JPG

SOALAN

Adakah sebenarnya wujud solat sunat sebelum solat fardhu jumaat?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini kami nyatakan pada asasnya terdapat nas yang menyebutkan tentang fadhilat jumaat yang mana terkandung di dalamnya seruan untuk mendirikan solat sunat sebelum jumaat. Hal ini jelas sekiranya kita meneliti hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَتَطَهَّرَ بِمَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، ثُمَّ ادَّهَنَ أَوْ مَسَّ مِنْ طِيبٍ، ثُمَّ رَاحَ فَلَمْ يُفَرِّقْ بَيْنَ اثْنَيْنِ، فَصَلَّى مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ إِذَا خَرَجَ الإِمَامُ أَنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: Sesiapa yang mandi pada hari jumaat, bersuci dengan apa yang termampu untuk bersuci, kemudian meminyakkan (rambut) atau memakai wangian, kemudian dia pergi tanpa dia melangkah dengan paksaan di antara dua orang, kemudian dia mendirikan solat seperti mana yang diperintahkan kepadanya, kemudian apabila keluar imam (untuk berkhutbah) dia berdiam diri, maka diampunkan dosanya, di antara jumaat itu dengan jumaat yang lalu.

Riwayat al-Bukhari (910)

Maka dalam isu yang ditanyakan, persoalan ini timbul bertitik tolak daripada khilaf yang berlaku di antara para ulama’ berkaitan solat sunat sebelum jumaat. Hal ini diperbahaskan sama ada solat sunat ini termasuk di dalam sunat rawatib iaitu solat sunat yang telah ditetapkan untuk sebelum dan selepas solat fardhu. Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Ibadah (284).

Pendapat pertama yang mengatakan solat sunat sebelum jumaat wujud dan dikira sebagai solat sunat rawatib ialah pendapat berikut:

  • Pendapat al-azhar (paling jelas) menurut Mazhab al-Syafie seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini:

وبعد الجمعة أربع، وقبلها ما قبل الظهر؛

Maksudnya: Dan selepas jumaat empat rakaat, dan sebelumnya (jumaat) seperti mana sebelum zohor. Lihat al-Mughni al-Muhtaj 91/220)

  • Pendapat Mazhab al-Hanafi seperti mana disebutkan Ibn ‘Abidin:

وسُنَّ مُؤَكَّدًا أربعٌ قبلَ الظُّهر، وأربعٌ قبلَ الجمعة، وأربعٌ بعدَها

Maksudnya: Disunatkan secara mua’kad empat rakaat sebelum zohor, empat rakaat sebelum jumaat, dan empat rakaat selepasnya. Lihat al-Radd al-Mukhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar (1/452).

Pendapat kedua yang mengatakan tidak ada solat sunat ratib sebelum jumaat:

  • Pendapat Mazhab al-Maliki yang mengatakan tidak ada solat sunat khusus yang datang bersama dengan solat fardhu (sebelum atau selepas), namun tidak menghalang untuk melakukan solat sunat secara mutlak. Lihat ‘Aqd Jawahir al-Tsaminah (1/133)
  • Pendapat Mazhab al-Hanbali disebut oleh Ibn Rajab al-Hanbali:

وقال كثير من متأخري أصحابنا: ليست سنةً راتبة، بل مستحبة

Maksudnya: dan telah berkata bilangan yang besar daripada ulama’kami yang mutaakhir; ianya bukanlah solat sunat ratibah, ia hanyalah sesuatu yang disunatkan sahaja. Lihat Fath al-Bari Syar Sahih al-Bukhari li Ibn Rajab al-Hanbali (8/333)

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami tarjihkan bahawa solat sunat sebelum jumaat adalah salah satu daripada sunat rawatib dan ianya wujud di dalam amalan sunat di hari jumaat. Hal ini jelas sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَاعِدٌ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَعَدَ سُلَيْكٌ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ أَرَكَعْتَ رَكْعَتَيْنِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ لاَ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ قُمْ فَارْكَعْهُمَا

Maksudnya: Telah datang Sulaik al-Ghatafani pada hari jumaat, dan Rasullulah SAW sedang duduk di atas minbar. Kemudian Sulaik pun duduk sebelum dia menunaikan solat. Maka bersabda Baginda SAW kepadanya: “Adakah kau telah ruku’ (solat) dua rakaat?” Sulaik menjawab: “Tidak”. Maka Baginda SAW bersabda: “Berdirilah dan rukuklah (solatlah) dua rakaat”.

Riwayat Muslim (875)

Semoga Allah memberi taufik untuk memahami syariat-Nya. Amin