Soalan:
Assalamualaikum. Saya nak tanya berkenaan sujud tilawah. Kenapa di sana dikatakan tidak sah solat jika seseorang itu solat dan membaca surah yang ada ayat tilawah dan dia sujud tilawah dalam solat tersebut selain daripada solat fardhu subuh pada hari Jumaat? Adakah dalil yang melarangnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَنَسْجُد
Maksudnya: Pada satu ketika, Rasulullah S.A.W membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajadah, maka Baginda S.A.W pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Hadis di atas menceritakan tentang sujud tilawah. Sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan apabila seseorang membaca atau mendengar ayat-ayat yang terdapat padanya tempat sujud tilawah. Jumhur ulama’ menyatakan hukumnya ialah sunat dan bukannya wajib. Inilah juga pendapat Umar ibn al-Khattab, Ibn Abbas, Imran bin Husain, Imam Malik, Imam al-Auza’ie, Imam Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Daud dan lain-lain.
Bacaan lanjut mengenai sujud tilawah, boleh merujuk artikel kami seperti berikut:-
Al-Kafi #1135: Adakah Sujud Tilawah Perlu Salam? http://bit.ly/2YWw1x5
Al-Kafi #1293: Perlukah Sujud Tilawah Apabila Mendengar Ayat Sajadah Dibacakan Di Dalam Radio Atau Televisyen? http://bit.ly/2M2Vekl
Irsyad Al-Hadith Siri Ke-215: Membaca Surah Al-Sajadah Dan Al-Insan Pada Pagi Jumaat. http://bit.ly/2rKaV9b
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, ulama’ Syafi’ieyyah ada menyatakan larangan membaca satu atau beberapa ayat daripada ayat sajadah dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) samada di dalam solat fardhu atau sunat.
Larangan tersebut telah dinyatakan dalam beberapa kitab mazhab Syafie, antaranya seperti berikut:
ويسجد مصل لقراءته ، أي لا بقصد السجود في غير صبح الجمعة
Maksudnya: “Dan hendaklah orang yang melakukan solat itu bersujud (tilawah) ketika membacanya (ayat sajadah), yang demikian itu bukanlah bertujuan untuk melakukan sujud (tilawah) itu pada hari selain Jumaat” (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/472-473).
Hal ini turut dinyatakan oleh Imam Al-Ramli ketika mensyarahkan kitab Minhaj:
ولو قرأ في الصلاة آية سجدة أو سورتها بقصد السجود في غير ألم تنزيل في صبح يوم الجمعة بطلت صلاته على المعتمد إن كان عالما بالتحريم
Maksudnya: “Dan apabila seseorang membaca ayat sajadah atau surahnya di dalam solat (selain surah as-sajadah) pada waktu subuh di hari Jumaat dengan tujuan untuk melakukan sujud maka solatnya terbatal mengikut pandangan yang muktamad sekiranya dia mengetahui larangan tersebut” (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh Al-Minhaj, 1/472-473).
Pandangan ini turut dinukilkan oleh Imam Al-Ghamrawi:
ولا تستحب قراءة آية سجدة في الصلاة بقصد السجود ، فإن قرأ بقصد ذلك وسجد بطلت الصلاة إلا في صبح يوم الجمعة فتسن فيه قراءة ألم تنزيل
Maksudnya: “Dan tidak disunatkan untuk membaca ayat sajadah di dalam solat dengan tujuan untuk sujud (tilawah), sekiranya dia membaca ayat (sajadah) dengan tujuan tersebut lalu dia sujud (tilawah) maka batal solatnya, kecuali ketika solat subuh pada hari Jumaat, lalu hal itu sunat baginya untuk membaca surah as-sajadah”. (Rujuk: Siraj al-Wahhaj ‘ala Syarh Al-Minhaj, hlm 63).
Daripada perbincangan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa keadaan seperti berikut:
Pertama: Hukum membaca ayat atau surah sajadah selain dari solat subuh pada hari Jumaat dengan sengaja.
- Para ulama’ Syafi’ieyyah menyatakan larangan membaca ayat atau surah sajadah di dalam solat samada fardhu atau sunat dengan tujuan untuk melakukan sujud. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan penambahan satu rukun fi’li di dalam solat iaitu sujud. Sekiranya dia melakukannya dengan sengaja, maka batal solatnya. Adapun bagi mereka yang terlupa atau jahil mengenai hukum tersebut, maka hal tersebut dimaafkan.
Kedua : Hukum membaca ayat atau surah sajadah di dalam solat subuh pada hari Jumaat dengan sengaja.
- Disunatkan membaca surah al-sajadah ألم تنزيل di dalam solat subuh pada hari Jumaat sekalipun dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) kerana hal tersebut terdapat dalam sunnah Rasulullah S.A.W, sebagaimana sabdanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِين من الدهر
Maksudnya: “Adapun Nabi S.A.W membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan surah al-Sajadah الم تَنْزِيلُ dan surah al-insan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.”
[Riwayat al-Bukhari (891)dan Muslim (879)].
Kesimpulan
- Justeru, hukum membaca mana-mana ayat sajadah di dalam solat dapat diringkaskan seperti berikut:
-Pertama: Membaca ayat sajadah dengan tujuan untuk tilawah semata mata, maka perkara tersebut diharuskan.
-Kedua: Membaca ayat sajadah dengan tujuan untuk tilawah berserta sujud, maka hal ini juga diharuskan. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 1/246). Dan keadaan ini yang menjadi kebiasaan kebanyakan masyarakat di negara kita.
-Ketiga: Membaca mana-mana ayat sajadah dengan tujuan untuk sujud semata-mata, justeru hal ini yang ditegah oleh para ulama’ dan boleh membatalkan solat.
- Seterusnya, solat seseorang terbatal apabila dia membaca ayat sajadah dengan sengaja lalu dia melakukan sujud tilawah, namun sekiranya dia membaca ayat sajadah dengan sengaja tanpa melakukan sujud (tilawah), maka solatnya tetap sah (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/472-473).
- Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa solat seseorang terbatal sekiranya dia membaca mana-mana ayat sajadah di dalam solat secara sengaja, semata-mata dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) dan bukan pada keadaan yang lain. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dan memandu kita dalam beragama. Ameen.