Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-341: HADITH BERKAITAN LALAT [EDISI KEMASKINI]

lalat kemaskini.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum minuman yang dimasuki lalat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami mulakan dengan pengenalan lalat dan habitatnya. Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang. Ia makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk ke dalam perutnya melalui belalainya.

Ia juga adalah sejenis serangga yang mampu menyebarkan penyakit, disebabkan cara permakanannya dan sifatnya yang sering terbang ke tempat yang kotor seperti dalam tandas, tempat sampah dan sebagainya. Ia termasuk salah satu dari jenis serangga makhluk perosak yang paling mudah dijumpai.

Namun begitu jenis lalat buah dan bunga tidak dikategorikan sebagai pembawa penyakit. Walaupun semua lalat suka menghinggapi tempat yang kotor, tong sampah dan sebagainya, lalat askar hitam umpamanya hanya terbang di persekitaran kompos untuk tujuan mengawan dan bertelur.

Terdapat pelbagai jenis lalat, antaranya adalah:

  • Lalat rumah atau biasanya dikenali sebagai lalat sahaja.
  • Lalat hijau
  • Lalat tsetse (sejenis lalat daripada genus Glossina yang berasal dari Afrika, biasanya menghisap darah manusia dan binatang serta menyebarkan penyakit tidur.
  • Lalat bunga
  • Lalat buah
  • Lalat askar hitam (hermetia illucens)[1]

Lalat adalah satu makhluk istimewa yang diciptakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT berkaitan lalat di dalam al-Qur’an:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Maksudnya: “Wahai manusia, diberikan satu contoh perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain daripada Allah, tidak sesekali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, nescaya mereka tidak dapat mengambilnya kembali daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka). Lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya) dan lemah juga yang diminta (daripada menunaikannya)”.

[Surah al-Haj:75]

Perkataan (لن) dalam ayat di atas yang bermaksud “tidak sekali-kali’ yang menunjukkan kepada penafian untuk selamanya, memberi erti di sini ‘nafi ta’kid’ iaitu penafian secara pasti. Justeru, ia membawa maksud secara pasti kemustahilannya bagi golongan musyrikin itu untuk menciptakan lalat walaupun mereka berkumpul dan saling bekerjasama untuk menciptakannya. (Lihat Tafsir al-Kabir oleh al-Razi, 8/251) Justeru, sungguh tidak wajar dan tidak layak bagi orang yang berakal untuk menjadikan berhala sebagai sembahan. Ini merupakan ayat yang amat mendalam maknanya yang diturunkan oleh Allah bagi menggambarkan kejahilan golongan musyrikin Quraisy yang tidak menggunakan langsung akal mereka. (Lihat Tafsir al-Kassyaf, 3/167)

 

Matan Hadith

Matan hadith yang menceritakan berkaitan minuman yang dimasuki lalat adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar”.

Riwayat al-Bukhari (3320)

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit”.

Riwayat al-Bukhari (5782)

Makna Hadith

Menurut para ulama’, lalat tidak termasuk di dalam perkara yang najis. Ini kerana, telah ijma’ ahli ilmu bahawa setiap yang tidak berdarah itu apabila terjatuh di dalam minuman atau makanan tidak menjadi najis. Walaupun begitu, terdapat juga sebahagian ulama’ yang mengatakan sebaliknya.

Tambahan pula, walaupun di dalam hadith menyebut minuman tetapi yang dimaksudkan adalah lebih umum iaitu termasuk juga makanan. Berdasarkan matan hadith di atas, suruhan merendam lalat ke dalam minuman atau makanan adalah wajib apabila dilihat secara zahirnya. Ini kerana. hal ini merupakan arahan atau wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi-Nya. Jika kita katakan bahawa lalat itu najis, sudah tentu Nabi SAW tidak akan meminta kita untuk merendamnya ke dalam makanan atau minuman kita.

Ini juga menunjukkan bahawa setiap perkara yang dilakukan itu kadang-kadang ia tidak boleh difikir atau diterima oleh akal manusia. Akan tetapi, ini adalah wahyu daripada Allah SWT dan akal tidak layak untuk mempertikaikan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Daripada sini kita memahami bahawa setiap apa yang diucapkan, dilakukan dan diikrar oleh Nabi SAW adalah syariat dan agama melainkan apa yang menunjukkan bahawa ianya adalah adat bukannya syariat.

 

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh difahami daripada hadith di atas:

Pertama: Lalat ini suci ketika ia hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.

Kedua: Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair (cecair) dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadith di atas.

Ketiga: Pada hadith tersebut terdapat I’jaz Ilmi (إعجاز العلمي) kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit di salah satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah lagi sayap yang lain.

Keempat: Para ulama’ mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci. Ia juga tidak menjadi najis apabila ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman samada ia sedikit atau banyak. Ini kerana, sebab najisnya sesuatu itu adalah darah yang terkurung di dalam haiwan selepas kematiannya. Oleh itu, sebab ini tidak wujud pada lalat atau lebah maka ia dihukum suci oleh para ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 148/1)

 

Pendapat

Setelah melihat perbahasan berkaitan hadith di atas, kami ingin merumuskannya dengan beberapa noktah:

  • Hadith tersebut adalah sahih kerana ia terdapat di dalam sahih al-Bukhari iaitu kitab yang paling sahih selepas daripada al-Qur’an secara ijma’ umat Islam. Untuk itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hadith tersebut.
  • Hadith ini juga terkandung di dalamnya I’jaz al-Nabawi (إعجاز النبوي) atau Irsyad al-Nabawi (إرشاد النبوي) iaitu petunjuk daripada Nabi SAW.
  • Ilmu Sains juga telah membuktikan bahawa pada sebelah sayap lalat itu terkandung penyakit atau kuman (bakteria) dan sebelah lagi merupakan penawar bagi penyakit tersebut.
  • Lalat merupakan serangga yang tidak najis. Ini berdasarkan pendapat para ulama’ bahawa setiap nyawa yang tidak mempunyai darah hukumnya adalah tidak najis.
  • Di dalam hadith ini, Nabi SAW memerintahkan kita untuk merendam lalat apabila masuk ke dalam minuman atau bekas kita.
  • Berdasarkan huruf fa’ (ف) pada perkataan “فَلْيَغْمِسْه”, kita memahami bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar bersegera merendam lalat ke dalam minuman atau makanan. Untuk itu, Nabi SAW tidak menggunakan perkataan thumma (ثُمَّ) dalam hadith tersebut.
  • Perbuatan merendam lalat adalah mustahab atau sunnah berdasarkan nas hadith di atas dan juga petunjuk daripada Nabi SAW.

Sebahagian manusia mempersendakan hadis ini dengan berkata: Bagaimana boleh berkumpul antara racun dan penawar pada sayap lalat? Begitu juga dengan cara jatuhan sayap?

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan pendapat Imam al-Khattabi berkata: “Ini adalah pertanyaan orang yang benar-benar jahil atau memang hanya berpura-pura jahil. Seorang yang dapat merasai kehidupan dalam dirinya dan kehidupan keseluruhan haiwan, dia akan mendapati bahawa terkumpulnya hawa panas dan sejuk, kering dan basah yang saling berlawanan dimana apabila bertemu maka akan saling merosakkan. Tetapi Allah SWT mampu untuk menyatukannya dan menjadikannya sebagai kekuatan haiwan agar tidak ada orang yang akan mempertikaikan akan terkumpulnya penyakit dan ubat dalam satu haiwan. Dialah yang memberi ilham kepada lebah untuk membuat rumah yang sangat menakjubkan serta mengeluarkan madu dan Dia juga yang memberi ilham kepada semut agar mencari makanan rujinya serta disimpan untuk keperluan hidupnya, Dialah yang menciptaan lalat dan mengajarnya agar mengedepankan sayap penyakit terlebih dulu kemudian sayap penawarnya. Semua itu adalah keinginan Allah untuk menguji hamba-Nya supaya wujud ta’abbud (ibadah). Pada segala sesuatu terdapat pelajaran dan hikmah. Dan tidak ada yang dapat memahaminya kecuali orang-orang yang berakal” (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/239)

 

Kajian Saintifik

Kajian saintifik telah mendapati bahawa, lalat akan mengeluarkan unsur-unsur kecil dari jenis enzim yang dinamakan bacteriphages iaitu, suatu organisma kuman yang merosakkan hidupan lain. Ianya merupakan kuman yang sangat kecil, bersaiz panjang 20;25 mµ. Oleh itu, apabila lalat jatuh ke dalam air, hendaklah lalat tersebut dicelup kerana ia akan mengeluarkan kuman bacteriphages yang menentang bakteria perosak.

Pernah terjadi di Negara India pada tahun 30an. Mereka dilanda wabak taun (Kolera). Sehinggakan, ada yang mengatakan; rakyat India akan mati disebabkan taun. Dan lalatlah puncanya, lalat tidak menyihatkan dan tidak pula menyembuhkan serta semua rakyat akan mati.

Namun, selepas dua minggu, pengamal perubatan telah mendapati rakyat India semakin pulih. Mengapa? Ini kerana lalat telah menukar bakteria yang menyebabkan penyakit ini. Dan menukarnya menjadi sesuatu yang lain, yang dinamakan bacteriphages yang membunuh bakteria menggunakan sayap kedua. Lalat turun ke sumur-sumur, dan masuk ke dalam air dan membunuh bakteria. Rakyat India minum, dan mereka sembuh. Bermulalah kesihatan secara perlahan-lahan dalam tubuh mereka. (Lihat al-Mausuah al-Zahabiah li al-‘Ulum al-Islamiyyah oleh Fatimah Mahjub)

M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti Staphylococcus aureusHaemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.

Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di Sound Medicine: October 10, 2010.

Berdasarkan kepada kajian saintifik juga, Dr. el-Samahy (Pengarah Jabatan Hadis Universiti Kaherah) menyatakan, terdapat sel yang hidup secara membujur di dalam perut lalat. Ia merupakan parasit yang menonjol keluar melalui salur respirasi lalat dan hadir sebagai sebahagian daripada kitar hidup lalat. Apabila lalat ditenggelamkan ke dalam air, perubahan osmotik akan berlaku. Kesannya ia akan menyebabkan sel pecah dan kandungan yang terdapat dalam sel ini menjadi antidot kepada patogen yang dibawa oleh lalat. (Lihat Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan: Pendekatan Islam dan Sains, hlm. 51)

 

Penutup

Kesimpulannya, walaupun secara zahirnya hadith ini dilihat tidak bersesuaian dengan fitrah manusia yang suka pada kebersihan dan lalat pula tabiaatnya adalah di tempat-tempat yang kotor. Namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya kerana Dia yang menciptakan kita dan juga makhluk-makhluk yang lain. Nabi SAW hanyalah utusan daripada Allah SWT bagi menyampaikan risalah ini kepada kita. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dalam mengikuti sunnah-sunnah Nabi SAW dalam kehidupan seharian kita. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lalat