Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 284 : TETAMU DATANG PADA WAKTU MALAM

if 284 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ini seorang yang bekerja dan selalu balik malam. Dalam keadaan penat, selalu sahaja ada tetamu yang datang pada waktu malam sehingga mengganggu waktu rehat saya. Bukan sahaja pada hari bekerja bahkan hari sabtu dan ahad pun bukannya datang waktu siang, waktu malam orang nak rehat juga yang dipilihnya untuk datang bertandang. Adakah saya dikira tidak memuliakan tetamu jika saya mengehadkan waktu ziarah ke rumah saya?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia.Di dalam Al-Quran menceritakan bagaimana para Nabi dengan kemuliaan hati mereka menerima, menyambut dan melayan tetamu. Di antaranya ialah Nabi Ibrahim ‘alahissalam. Allah merakamkan perkara ini di dalam Al-Quran. Firman Allah :

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan".

(Surah Al-Dzariyat : 24-27)

Ayat ini merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun Baginda tetap melayannya.

Kata Ibnu Kathir di dalam tafsirnya :

“Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.”

Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (4/300)

Kata Sheikh Amin Al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil di antaranya :

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu
  2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu
  4. Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu

Rujuk Adhwa’ Al-Bayan Fi Idhoh Al-Quran Bi Al-Quran (2/297)

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya :” Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”

Riwayat Al-Bukhari (6136)

Berdasarkan hadis ini, di antara kesempurnaan iman adalah mempunyai sifat suka memuliakan tetamu. Kata Al-Munawi :

“Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah yang ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.”

Rujuk Faidh Al-Qadir (6/209)

Secara ringkasnya, menyambut dan melayan tetamu adalah sunnah Nabi SAW. Inilah pandangan jumhur para ulama. Imam Al-Nawawi berkata :

“Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”

Rujuk Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab (9/57)

Juga di antara sunnah yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW adalah ziarah-menziarahi. Ini adalah bagi menyuburkan sifat kasih sayang, peduli satu lain dan mengeratkan ukhuwah. Nabi SAW pernah mengingatkan kita berkenaan perkara ini. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda :

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

Maksudnya :”Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.”

Riwayat Al-Tirmizi (2008). Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang ghorib.

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW menyebut :

أَنَّ رَجُلاً زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى ، فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ ، قَالَ : أَيْنَ تُرِيدُ ؟ قَالَ : أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ ، قَالَ : هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا ؟ قَالَ : لاَ ، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ ، بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya : “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju.Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya : ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu : aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata : Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepada?. Lelaki itu berkata : Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata : Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantara kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.”

Riwayat Muslim (6714)

Al-Munawi menyatakan bahawa hadis ini jika seseorang itu menziarahi dan mencintai saudaranya kerana Allah ini akan menjadi sebab mendapat cinta Allah SWT.

Rujuk Faidh Al-Qadir (4/61)

Namun ada beberapa adab yang perlu dipatuhi khususnya bagi mereka yang bertandang dan berziarah ke rumah orang lain. Antara adab tersebut ialah :

  1. Makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman kepadanya.
  2. Tidak meminta-minta hidangan atau perkara-perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
  3. Jika dijemput, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah berkaitan siapa yang akan datang dan berapa orang yang akan datang.
  4. Jauhi perkara-perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
  5. Sunat bagi tetamu untuk mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW ketika mana Baginda bertandang rumah Ubadah Bin Somit. Lalu Ubadah membawakan Baginda sepotong roti dan minyak minyak zaitun untuk menjamu Baginda. Lantas Baginda SAW mendoakan :

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ

 Maksudnya :” Orang yang berpuasa berbuka puasa di tempat kalian, orang-orang yang baik makan makanan kalian dan para malaikat akan mendoakan kalian."

Riwayat Abu Daud (3854)

  1. Tidak duduk dan singgah terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak senang duduk. Nabi SAW pernah memperingatkan kita tentang perkara ini. Sabda Nabi SAW :

منْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ جَائِزَتُهُ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ وَالضِّيَافَةُ ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ فَمَا بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ صَدَقَةٌ وَلَا يَحِلُّ لَهُ أَنْ يَثْوِيَ عِنْدَهُ حَتَّى يُحْرِجَهُ

 Maksudnya :” Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Memberi hidangan  adalah selama sehari dan semalam.Layanan terhadap tetamu adalah selama tiga hari. Yang lebih daripada itu ialah sedekah. Tidak boleh bagi tetamu itu untuk duduk lama sehingga tuan rumah mengeluarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (6135)

  1. Memilih waktu yang sesuai untuk datang bertandang. Namun jika ada keperluan untuk datang pada waktu malam seperti ingin meminta bantuan atau ada kecemasan maka dibenarkan. Ini adalah berdasarkan hadis :

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya :” Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat."

Riwayat Muslim (4867) & Al-Tirmizi (1345)

Kesimpulannya, melayan dan menyambut tetamu yang datang rumah adalah merupakan akhlak yang mulia dan satu amalan yang sangat dianjurkan oleh Islam.Tuan rumah juga mempunyai hak untuk menghadkan waktu ziarah ke rumahnya.Ini adalah kerana tuan rumah mempunyai hak privasi dan juga hak untuk berehat bersama keluarga tanpa diganggu oleh sesiapapun. Bagi yang datang bertandang, hormatilah hak tuan rumah dengan datang pada waktu yang sesuai melainkan jika ada kecemasan atau ingin meminta bantuan maka pada keadaan seperti itu dibenarkan dengan sekadarnya. Patuhilah adab-adab yang telah disebutkan.

Semoga ianya memberi pencerahan kepada persoalan yang dikemukakan. Wallahu’alam.