Soalan :
Assalamualaikum ustaz .Saya menyediakan servis cuci tangki air rumah di mana tangki air rumah tersebut membekalkan air untuk kegunaan di bilik mandi/tandas. Saiz tangki air rumah berbeza mengikut jenis rumah.
- 300 gallon untuk rumah teres
- 100-200 Gallon untuk apartment/flat
- 500 gallon untuk banglo/semiD
Situasi saya adalah tangki air yang dicuci kadang kala mempunyai bangkai haiwan seperti tikus, biawak, burung atau ada lendir lumut dan berbau busuk hanyir serta rasa yang tidak elok.
Soalan saya adalah:
- Apakah hukum menggunakan air seperti dalam situasi di atas untuk kegunaan mengambil wudhu' atau mandi wajib?
- Berapakah isipadu air dalam liter/gallon yang dianggap bersamaan dua (2) kolah?
Saya merasakan bahawa situasi ini adalah penting dan seharusnya saya mencari jawapan kerana membabitkan urusan kesucian, wudhu dan solat serta mengangkat hadas besar dan juga bab mandi biasa mensucikan diri. Besar harapan agar saya dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai agar lebih peka terhadap kesucian air untuk kegunaan harian. Terima kasih ustaz sudi melayan soalan saya.
Jawapan :
Waalaikumussalam.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sudah menjadi satu kewajipan bagi seorang muslim untuk mengambil berat dan meneliti hal ehwal ibadatnya terutamanya yang berkaitan dengan perkara asas seperti bersuci. Ini adalah satu manifestasi melalui firman Allah SWT :
فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا۟ ۚ وَٱللَّـهُ يُحِبُّ ٱلْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya : “ Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
(Surah Al-Taubah : 108)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi di dalam tafsirnya menyebut bahawa mereka-mereka yang beriman itu sentiasa mengambil tentang kebersihan ruh dan tubuh badan kerana amat cinta untuk membersihkan kedua-duanya. Mereka melihat bahawa kebersihan dua perkara tersebut adalah satu kesempurnaan untuk manusia. Oleh itu, mereka amat tidak suka kepada kekotoran dan najis yang ada pada badan dan pakaian bahkan mereka tidak suka kekotoran hati yang berupa maksiat kepada Allah. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/2273).
Bagi seorang muslim, bersuci adalah merupakan syarat wajib untuk melakukan ibadah khususnya solat. Jika dia berhadas kecil maka dia wajib untuk mengambil wuduk dan jika dia berhadas besar , dia perlu mandi bagi membolehkannya menunaikan solat, bertawaf dan lain-lain ibadah yang memerlukannya suci daripada hadas dan najis. Bagi mencapai tujuan tersebut, maka air menjadi wasilah yang utama yang digunakan untuk bersuci. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ
Maksudnya : “ …Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya…”
(Surah Al-Anfal : 11)
Para fuqaha membahagikan air kepada 3 jenis. Iaitu air yang suci lagi menyucikan (طاهر مطهّر), suci akan tetapi tidak menyucikan (طاهر غير مطهر) dan air yang bercampur dengan najis (متنجّس). Pembahagian ini dilakukan adalah kerana tidak semua air boleh digunakan untuk bersuci.Pembahagian ini juga adalah berdasarkan nas-nas yang ada di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i,1/37)
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, bangkai haiwan seperti tikus,burung, biawak dan sebagainya itu adalah najis. Oleh itu, jika ianya terjatuh ataupun masuk ke dalam tangki air sehingga mengubah warna, bau atau rasanya maka air yang ada di dalam tangki tersebut menjadi najis. Ianya tidak boleh digunakan untuk berwuduk mahupun mandi junub. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah bahawa Nabi SAW bersabda :
الْمَاءُ لاَ يَنْجُسُ إِلاَّ مَا غَيَّرَ رِيحَهُ أَوْ طَعْمَهُ
Maksudnya : “ Air tidak boleh menjadi najis melainkan jika berubah bau atau rasanya.”
Riwayat Al-Baihaqi (1274) di dalam Al-Sunan Al-Kubra
Namun begitu, jika najis-najis tersebut tidak mengubah mana-mana sifat air sama ada warna, bau atau rasanya, maka para ulama membezakan hukumnya melalui dua keadaan :
- Jika air tersebut sedikit atau kurang dari dua qullah, maka air tersebut dianggap sebagai najis walaupun najis tersebut tidak mengubah bau, warna atau rasanya.
- Jika air tersebut mencapai dua qullah[1] atau lebih, maka najis yang ada di dalam air tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah mana-mana tiga sifat utama air. (Rujuk Minhaj Al-Talibin Wa Umdah Al-Muftin, 1/17-19)
Akan tetapi jika air tersebut mencapai dua qullah atau dalam kata lainnya banyak, namun najis yang ada di dalam air tersebut mengubah bau atau rasa atau warnanya maka air tersebut dianggap sebagai najis. Ini adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi. Beliau menukilkan ijmak daripada ulama mazhab Syafi’i bahawa air jika banyak atau sedikit, yang mengalir atau bertakung jika najis yang ada di dalam air tersebut mengubah mana-mana sifat sama ada warna, bau atau rasa, maka air tersebut dihukum sebagai najis. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 1/160).
Kesimpulannya, jika isipadu air melebihi dua qullah iaitu lebih kurang 200 liter atau 52 gallon, maka najis bangkai yang ada di dalam tangki tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air yang ada di dalam tangki tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah rasa, bau atau warna air itu. Jika najis tersebut menyebabkan berubahnya tiga sifat tersebut maka air tersebut dihukumkan sebagai najis. Ianya tidak boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk mahupun mandi wajib.
Apa yang kami sebutkan ini adalah jika adanya najis di dalam tangki air tersebut dan berubahnya mana-mana sifat secara yakin. Ini berdasarkan kaedah :
اليقين لا يزول بالشك
“Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak”
Adapun jika adanya keraguan pada air tersebut, maka air tersebut kekal suci dan boleh digunakan untuk berwuduk dan sebagainya. Ini kerana hukum air tersebut adalah suci sehinggalah dibuktikan adanya najis yang boleh menyebabkan perubahan pada air tersebut seperti adanya individu yang bertanggungjawab memberitahu bahawa air tersebut telah bertukar sifat menjadi najis. Ianya berdasarkan kepada kaedah :
الأصل بقاء ما كان على ما كان
"Asal bagi sesuatu adalah mengekalkan hukum seperti mana sebelumnya.”
Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahua’alam.
[1] Qullah adalah antara cara klasik dalam mengira isipadu air. Jika ditukarkan kepada unit yang moden, dua qullah bersamaan 200 Kg atau 204 kg yang mana ianya bersamaan dengan 200 Liter. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/41)
Kami telah mengulas berkenaan isu qullah ini di dalam Al-Kafi siri ke 1263. Artikel tersebut boleh dirujuk di dalam pautan ini https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3413-al-kafi-1263-hukum-menyelam-ke-dalam-air-yang-kurang-daripada-dua-kolah