Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-208: MENGINSAFI TITAH YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPENA PERTABALANNYA PADA 30 JULAI 2019

BAYAN LINNAS YDPA.JPG

Mukadimah

Kami mulakan dengan lafaz: “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ”

Sekali lagi kami mengucapkan, alhamdulillah dan kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga Baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Sekalung tahniah buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perlantikan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Begitu juga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sejujurnya, hati patik amat tersentuh apabila dapat menyaksikan acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang berlangsung dengan penuh adab dan adat, menjunjung tinggi warisan Kesultanan Melayu dan sudah pastinya meletakkan agama di tempat yang selayaknya. Ini bertepatan dengan peranan Tuanku sebagai sebagai ketua agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan berdasarkan Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, pada Bayan Linnas kali ini kami tajukkan dengan Menginsafi Titah Yang Di-Pertuan Agong Sempena Pertabalannya Pada 30 Julai 2019.

Semoga dengan ibrah dan istifadah dari ucapan ini menjadikan kita sentiasa mematuhi dan mentaati titah Yang Di-Pertuan Agong sebagai pedoman dalam melayari bahtera kehidupan bermasyarakat dan bernegara di tanah watan yang tercinta ini, Malaysia.

 

Amat Bernilai Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong amat penting difahami oleh rakyat dan masyarakat Malaysia. Ini kerana dalam menghadapi situasi kepelbagaian cabaran serta mehnah dan tribulasi ekonomi, politik, sosio-budaya yang berlaku pada masa kini memerlukan hikmah dan iltizam yang sungguh-sungguh untuk mengemudi negara ke arah kemakmuran, keamanan, kemajuan dan kedamaian.

Kami nukilkan di sini pendapat Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong ketika ditanya berkenaan 5 soalan dan berikut kenyataan beliau:

  • “Bagi saya, titah Sultan Abdullah adalah tepat pada masanya dalam keadaan perpaduan negara semakin hari semakin mencabar. Ini diburukkan dengan adanya pelbagai insiden tertentu termasuk menghina agama, institusi diraja dan kaum lain. Jika tidak dibendung boleh mencetuskan rusuhan lebih besar.”
  • “Saya boleh lihat itu sebagai amaran yang paling keras sekali. Hal demikian kerana titah itu disampaikan dalam satu istiadat yang signifikan dalam sejarah negara iaitu Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Titah dalam majlis atau istiadat sebegitu perlu dipandang serius semua pihak.”
  • “Perkara ini juga perlu diambil dengan positif oleh semua apatah lagi ketika ini kita lihat persepsi ramai bahawa institusi diraja itu sekadar simbolik sahaja sedangkan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa institusi ini amat penting kepada pentadbiran kerajaan, bukan sahaja di negeri tetapi juga kerajaan pusat.”
  • “Benar, ramai yang mempunyai persepsi bahawa institusi diraja tiada peranan tetapi masyarakat tidak memahami Perlembagaan Persekutuan kerana sebenarnya banyak perkara dalam undang-undang tertinggi negara menyentuh soal tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong kepada negara. Hal yang sama juga dalam undang-undang tubuh setiap negeri, sultan mempunyai tanggungjawab dan peranan penting kepada pentadbiran.
  • “Kita harus bertindak positif untuk merealisasikan titah Agong itu dengan meletakkan perpaduan sebagai perkara utama. Perlu diingatkan sekiranya tiada lagi keharmonian dikecapi, maka kemajuan negara turut sama terjejas. Kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang tidak stabil. Tiada lagi kesejahteraan dalam negara seterusnya mengundang kepada keruntuhan negara.” (Lihat Utusan Malaysia, Khamis 1 Ogos 2019)

Daripada sudut pandang kami, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong begitu signifikan dengan konsep kebertanggungjawaban yang ditekan dalam Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ فَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَالأَمِيرُ الَّذِى عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهْىَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pengatur dan akan ditanya mengenai apa yang telah diatur. Seorang pemimpin negara adalah pemimpin untuk rakyatnya, dia akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin di rumah untuk keluarganya dan akan ditanya mengenai tanggungjawabnya. Seorang wanita adalah pengatur untuk rumah suami dan anak suaminya, dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba sahaya bertanggungjawab atas harta tuannya, dan dia akan ditanya tentangnya. Ingatlah, setiap kamu mempunyai tanggungjawab dan setiap kamu akan ditanya tentang tanggungjawabnya.”

Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)

Al-Khattabi berkata, “Mereka bersekutu (yakni pemimpin dan seorang lelaki serta semua yang disebutkan dalam hadis) dalam sifat pemimpin namun dengan makna berbeza-beza. Kepemimpinan penguasa tertinggi adalah menjaga syariat dengan menegakkan hukum serta berlaku adil dalam menetapkan hukum. Kepemimpinan seorang lelaki terhadap keluarganya adalah dengan cara menguruskan mereka dan memberikan hak-hak mereka. Kepemimpinan seorang perempuan adalah mengatur urusan rumah, anak-anak, pembantu dan memberi nasihat kepada suami tentang semua itu. Sedangkan kepemimpinan pembantu adalah memelihara apa yang ada dalam tanggungjawabnya serta melakukan apa-apa yang dapat mendatangkan kebaikan padanya.” (Lihat A'lam al-Hadith fi Syarh Sahih al-Bukhari, 1/579)

Imam Nawawi berkata: “Para ulama’ menyebut bahawa al-ra’ie itu adalah merujuk kepada penjaga yang menjaga keselamatan dan kemaslahatan apa yang dia dipertanggungjawabkan untuk mendirikannya, dan apa yang berada di bawah pengawasannya. Dalam konteks itu, sesungguhnya sesiapa sahaja yang suatu perkara itu berada di bawah pengawasannya hendaklah mendapat keadilan dan setiap maslahatnya perlulah dipenuhi, pada maslahat agamanya, dunianya, dan apa-apa yang berkaitan dengannya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 12/213)

 

Istifadah Dari Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong

Kami bahagikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut perenggan bagi memahami serta menyokong dengan hujah serta dalil. Antaranya:

 

Pertama: Jangan Sekali-Kali Mencetuskan Api Perselisihan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara. Baginda menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara. "Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman."[1]

Antara istifadahnya ialah:

  • Perselisihan dan perbalahan sesungguhnya akan melemahkan perpaduan dan menghilangkan kekuatan. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “..dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Janganlah sesekali timbulnya perselisihan dan pertikaian dalam kalangan kamu, kerana yang demikian itu akan menyebabkan hati menjadi gentar, mengalami kegagalan, dan hilangnya kekuatan sehingga akhirnya kamu senang dikalahkan oleh pihak musuh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2627)

Marilah sama-sama kita membetulkan nawaitu, merapatkan saf dan menyatukan masyarakat dengan penuh keharmonian dan aman yang menjadi cita-cita kita semua dalam masyarakat Malaysia ini.

  • Membentuk perpaduan dalam membina suasana keharmonian adalah sangat penting, yang perlu dititikberatkan oleh seorang pemimpin demi kemaslahatan sesebuah negara.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/604) menyebut: “Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.

Allah SWT berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.

Surah Ali Imraan (103)

Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: ‘’Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan.”. (Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/151)

Begitu juga larangan berpecah belah disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ

MaksudnyaSesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).

Riwayat Al-Nasa’ie (4020)

  • "Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman."

Kata bidalan ini memaknakan dengan maksud yang amat mendalam yang bahawa betapa sentimen api perbalahan dan permusuhan apabila dibiarkan akan membakar masyarakat dan negara sehingga ketidakharmonian dan tanpa keamanan membawa malapetaka yang besar serta menatijahkan kemalangan harta benda dan jiwa. Ketika itu, sebuah kerugian besar akan menimpa satu-satu bangsa dan negara.

Kami berdukacita apabila mengetahui terdapat segelintir pihak yang sengaja melemparkan persepsi negatif terhadap institusi beraja dengan menghina para sultan dan raja, dan mempertikaikan kuasa-kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Terdapat juga pihak-pihak yang membakar api perkauman sehingga menyebabkan sebilangan rakyat menganggap para sultan dan raja tidak mengambil berat berkenaan hal ehwal kaum-kaum lain selain Melayu. Ini merupakan tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali kerana sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara kita menjamin kesejahteraan terhadap seluruh rakyatnya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial antara kaum yang pelbagai.

 

Kedua: Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong amat penting dalam sistem kenegaraan Malaysia, yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen raja berperlembagaan. Baginda bertitah bahawa institusi itu bukanlah sekadar simbol atau pun lambang semata-mata, “Ia adalah asas perpaduan, penyatuan bangsa dan pencetus semangat patriotisme kebangsaan. Ia adalah merupakan satu roh yang jika diwarisi dan dihayati oleh setiap anak watan, boleh menerbitkan rasa cinta dan kesetiaan kepada negara."

Antara istifadahnya ialah:

  • Pemimpin utama memainkan peranan yang amat penting dalam membina dan mengekalkan keutuhan perpaduan rakyat. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/604) menyebut: Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.” Justeru, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal fikiran serta tamadun insani di mana keberhajatan kepada ketua negara adalah semestinya diwujudkan.
  • Ini juga jelas menunjukkan bahawa sistem syura seperti Parlimen menjadi tonggak utama dalam menatijahkan sebuah keputusan yang tinggi, tepat lagi ampuh dengan meraikan maslahat dan menolak mafsadah serta merupakan saluran yang terbaik. Firman Allah SWT:

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”

Surah al-Syura (38)

Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menukilkan pendapat al-Dhahak yang menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan padanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 4/150)

Ibn Kathir berkata: “Mereka tidak menetapkan satu-satu keputusan sehingga mereka syura sesama mereka. Ini bertujuan untuk saling menguatkan dengan pandangan mereka seperti isu peperangan dan apa yang berlaku dalam strateginya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/211)

Terdapat banyak faedah dalam syura. Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan membantu mencapai sesuatu tujuan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/987)

Dalam membincangkan maksud syura, Ibn al-`Arabi menyebut bahawa ia adalah satu himpunan pertemuan dalam satu urusan untuk meminta buah fikiran setiap daripada ahli mesyuarat tersebut dan menghasilkan keputusannya.” (Lihat Ahkam al-Quran, 2/129)

Ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris pula menyebut bahawa syura merupakan satu proses pertukaran pendapat dari pelbagai sudut pandangan yang berbeza terhadap suatu isu di mana ia dikaji oleh cerdik pandai sehingga mencapai suatu keputusan yang tepat, ataupun yang paling tepat dan terbaik, untuk melaksanakannya sehingga dapat merealisasikan natijah yang terbaik. (Lihat al-Nizam al-Siyasi fi al-Islam, hlm. 79)

  • Mewujudkan sifat hubb al-watan atau cintakan negara adalah penting. Justeru, cintakan negara adalah obor keamanan yang dapat menjamin kelangsungan sesuatu tamadun dengan usaha untuk membangunkan kehidupan secara kreatif dan inovatif berpandukan ajaran agama.

 

Ketiga: Mewujudkan Perpaduan dan Sikap Toleransi

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berikrar akan berusaha dengan sedaya mungkin untuk mewujudkan perpaduan dan sikap toleransi di antara semua kaum, bangsa dan agama. Titah baginda: "Beta akan mengutamakan rakyat; menghormati yang tua dan memuliakan yang muda. Semua ini akan beta zahirkan dengan penuh rasa tawaduk. Sesungguhnya; 'ular yang menyusur akar; tidak sekali-kali akan hilang bisa-nya'.”

Antara istifadahnya ialah:

  • Nilai akhlak, etika dan adab menjadi neraca utama dan keprihatinan yang tinggi diiltizamkan oleh Tuanku. Penyair dan pujangga arab terkemuka pada kurun ini, Ahmad Syauqi menyebut:

إِنَّمَـا الأُمَـمُ الأَخْـلاقُ مَا بَقِيَـتْ           فَـإِنْ هُمُ ذَهَبَـتْ أَخْـلاقُهُمْ ذَهَبُـوا

Maksudnya: “Sebuah peradaban itu akan tetap terpelihara kewujudannya selama akhlaknya masih ada. Apabila akhlaknya telah lenyap maka lenyaplah peradaban itu.”

Sesebuah negara dan bangsa tatkala akhlak anak bangsanya punah dan hancur, sudah pasti membawa kemunduran sesebuah negara. Justeru, menjadi satu keutamaan bagi umat Islam untuk meninggikan keluhuran akhlak dan budi sehingga ia mampu menawan segenap jiwa yang menyaksikannya.

  • Menghormati yang tua dan memuliakan yang muda termasuk dalam anjuran dalam hadis. Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيْرَنَا وَيَعْرِفْ حَقَّ كَبِيرَنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksud: “Barangsiapa tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak mengenal hak orang tua kami maka bukan termasuk golongan kami.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (271)

Apa yang menakjubkan patik, keluhuran peribadi Tuanku sendiri serta sifat kecaknaan kepada masyarakat yang ditimpa musibah menjadi iltizam utama Tuanku.

  • “Sesungguhnya; 'ular yang menyusur akar; tidak sekali-kali akan hilang bisa-nya'.”

Orang besar atau mulia tidak akan hilang atau jatuh martabatnya apabila merendah diri. Justeru, marilah sama-sama dengan penuh tawaduk, kita sebagai rakyat Malaysia dan pelbagai ras bangsa merendahkan sayap untuk menghormati sesama kita dengan penuh sifat insaniyyatul insan.

 

Keempat: Mengasihi dan Meneladani Ayahanda

Menyingkap tarikh keramat 10 Julai 1980 iaitu ketika Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Sultan Abdullah bertitah telah ditakdirkan Allah SWT bahawa baginda pula ditabalkan hari ini di atas singgahsana dan mahkota yang sama digunakan oleh Almarhum Paduka Ayahanda, 39 tahun lalu. Sultan Abdullah turut mengenang jasa Almarhum Sultan Ahmad Shah[2] yang disifatkan sebagai tegas namun terbuka dalam melontar mutiara pandangan. "Hubungan baginda dengan rakyat adalah begitu akrab yang jelas melambangkan jiwa baginda yang sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat."

Antara istifadahnya ialah:

  • Mengasihi dan menghormati orang tua dan ibu bapa adalah sifat yang terpuji dan merupakan perintah Ilahi. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

  • Mengenang jasa

Dengan mengikuti sebuah panduan yang baik daripada orang tua-tua, ia mempunyai kelebihan serta kemuliaan sepertimana pepatah Arab menyebut:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ       ﺇنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

           Kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan.

  • Pengalaman orang tua

Ia perlu diambil iktibar dan pengajaran dalam meniti kehidupan yang mendatang. Pengalaman adalah guru yang terbaik. Ini kerana tajribah al-hayah adalah ramuan dan hikmah dalam sebuah kehidupan ke arah yang lebih baik dan sempurna.

Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie pernah mengarang kitab yang bertajuk Hakaza ‘Allamatni al-Hayah (Begitulah Kehidupan yang Mengajar Kami). Ia merupakan coretan pengalaman kehidupan yang panjang dengan pelbagai bentuk tribulasi dan mehnah serta resam manusia yang dipelajari untuk dinilai ke arah yang lebih baik. Makanya, mengambil petua dan pengalaman orang tua adalah penting untuk menuju ke arah yang lebih sempurna.

 

Kelima: Pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menarik perhatian bahawa pemerintahan baginda kali ini 'seperti bagai berjanji' kerana Tun Dr Mahathir Mohamad kini merupakan Perdana Menteri ketujuh yang juga perdana menteri keempat ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ahmad Shah. "Maka benarlah bagai dikata 'negarawan ulung tidak lapuk di telan zaman dan tidak usang dimamah usia'," titah Seri Paduka. Justeru, Sultan Abdullah berharap kerjasama erat dan persefahaman yang pernah terjalin antara Almarhum dan perdana menteri dapat diteruskan semasa pemerintahan Seri Paduka demi kesejahteraan negara dan rakyat tercinta. Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir, yang berpengalaman luas lagi bestari, akan dapat mengharungi apa juga rintangan mendatang dan seterusnya membawa negara ke mercu kejayaan.

Antara istifadahnya ialah:

  • YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir juga sempat menjadi Perdana Menteri semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga pada masa kini bersama dengan al-Sultan Abdullah yang menjadi Yang di-Pertuan Agong. Semoga dengan pengalaman YAB Perdana Menteri dapat meningkatkan lagi prestasi pentadbiran kerajaan dalam memacu negara Makmur Wawasan 2030.
  • 'Negarawan ulung tidak lapuk di telan zaman dan tidak usang dimamah usia'

Ucapan ini menggambarkan kelebihan yang dimiliki oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir. Deretan jasa-jasanya dalam membangunkan negara sehingga digelar Harimau Asia pada masa dahulu masih disebut hingga kini. Sejarah mengakuinya. Begitu juga sistem pentadbiran yang bersifat good governance di samping cita-cita dan wawasan yang jelas melonjakkan lagi kemampuan Malaysia untuk bersama-sama negara maju di pentas antarabangsa. Dengan pengalaman dan semangat yang utuh diharap Malaysia dapat terus mengaum untuk kali keduanya.

  • Dalam lawatan Tun Mahathir ke Turki pada 26 Julai 2019, beliau telah dianugerahkan pingat 'Order of The Republic' daripada Erdogan. Presiden Turki juga memuji kemampuan Tun dan menganggap salah seorang pemimpin yang amat dihormatinya dengan wawasan dan keberanian yang jelas di peringkat antarabangsa dalam berdepan dengan isu-isu Islam seperti isu Palestin yang bertembung dengan Israel.

 

Keenam: Mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga bertitah mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam menyusun semula rancangan pembangunan dan mengukuh fiskal negara, selain usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti, memerangi rasuah serta mempertahankan keluhuran undang-undang. "Beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan beta yang berpandangan jauh dalam merencana gagasan ekonomi baru yang dinamakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Beta berharap usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan turut diberikan keutamaan. Kitaran warisan kemiskinan wajar ditangani segera; kerana ia bakal menjejas agenda pembentukan negara maju."

Antara istifadahnya ialah:

  • Penyusunan serta perancangan dalam membangunkan ekonomi yang mampan adalah penting bagi memastikan kemakmuran sesebuah negara dan kemaslahatan rakyatnya. Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan hala tuju baharu ekonomi negara bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama serta menyelesaikan kemelut ekonomi yang dialami.

Tun Dr Mahathir menyebut, inisiatif yang akan diperkenalkan itu mengambil pendekatan ‘Kemakmuran Bersama’ dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah serta jurang rantaian bekalan yang melampau. Kata beliau: “Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.”[3]

Bagi mencapai matlamat tersebut, Tun Dr Mahathir menyatakan, kerajaan menggariskan sekurang-kurangnya tujuh teras strategik yang perlu ada iaitu:

  1. Pembangunan wilayah yang inklusif.
  2. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial.
  3. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
  4. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara.
  5. Sektor pertumbuhan baharu.
  6. Penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara.
  7. Peningkatan modal sosial masyarakat.[4]
  • “Kitaran warisan kemiskinan wajar ditangani segera; kerana ia bakal menjejas agenda pembentukan negara maju.”

Titah ini jelas menunjukkan kecaknaan dan keprihatinan Tuanku terhadap isu kemiskinan dan saraan kos yang menjadi warisan kepada sebahagian masyarakat Malaysia. Menanganinya dengan kebijaksanaan pemerintah serta susun atur pelan strategik dalam pelbagai aspek agar dapat keluar dari kepompong kemiskinan untuk menjadi berdaya saing seterusnya membina kehidupan yang sejahtera dan mengecapi kemakmuran negara secara saksama dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ke arah ini begitu giat dijalankan serta dirancang dengan pelbagai bentuk inisiatif dan intensif agar rancangan membasmi kemiskinan dapat terlaksana dengan jayanya.

 

Ketujuh: Ucapan Penghargaan

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah: “Beta juga ingin mengambil peluang ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang datang dari seluruh dunia untuk menghadiri istiadat gilang-gemilang ini. Kehadiran semua tetamu ini tidak syak lagi menjadikan istiadat ini malah lebih istimewa lagi."

Antara istifadahnya ialah:

  • Sikap yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan memberi penghargaan kepada kerajaan dan mereka yang terbabit secara langsung dalam upacara rasmi pertabalan ini jelas membuktikan betapa tawadhuk dan tinggi nilai budinya Tuanku. Ini jelas membuktikan sifatnya yang sebenar dengan penuh rasa hormat, sopan santun dan tatasusila yang luhur dan tinggi dipamerkan kepada rakyat jelata dan masyarakat. Sesungguhnya ucapan ini menggambarkan betapa besarnya jiwa dan lapangnya hati sehingga mencemar duli dengan kenyataan tersebut.
  • Penghargaan kepada majlis yang memberi seribu satu makna.

Ini kerana, pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi simbol utama negara dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Sesungguhnya Tuanku adalah payung negara yang menjadi tonggak bagi pentadbiran di Malaysia ini. Daulat Tuanku!

 

Penutup

Sebagai penutup, kami nukilkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri yang menyebut: “Dengan ini, beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Benarlah titah Tuanku seperti yang dinukilkan dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/603), antara lain menyebut: “Al-Imamah al-'Uzma (pemimpin utama atau pemerintahan tertinggi) merupakan jawatan agama bagi mengambil alih tugas kenabian. Ini bermakna pemerintah merupakan pengganti (khalifah) kepada Nabi SAW dalam mentadbir urusan umat Islam.”

Kami merafak sembah takzim dan doa agar Seri Paduka Baginda sentiasa dikurniakan kesihatan berpanjangan untuk terus menerajui negara secara bijaksana dan adil, di samping Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Semoga semangat, keprihatinan dan limpah kasih baginda berdua akan sentiasa tersemat di hati kita sebagai rakyat Malaysia demi menjadikan negara lebih harmoni dan dipenuhi kasih sayang.

Kami akhiri dengan doa munajat:

 1.jpg

2.jpg

3.jpg

4.jpg

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
6 Zulhijjah 1440 Hijrah bersamaan 7 Ogos 2019

 

 

 

 

 

Nota Hujung:

[1] Lihat akhbar Sinar Harian dalam laporan Jangan Cetus Api Perselisihan, Titah Agong pada 30 Julai 2019. [https://www.sinarharian.com.my/article/40585/BERITA/Nasional/Jangan-cetus-api-perselisihan-titah-Agong]

[2] Menaiki takhta pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1979 – 25 April 1984. Sultan Ahmad Shah telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ketujuh menggantikan Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang telah mangkat pada 25 April 1979.

[3] Lihat laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri Malaysia di bawah tajuk Kerajaan Perkenal Hala Tuju Baharu Ekonomi Negara – Dr Mahathir pada 9 Mei 2019. [https://www.pmo.gov.my/ms/2019/05/kerajaan-perkenal-hala-tuju-baharu-ekonomi-negara-dr-mahathir/]

[4] Lihat akhbar Utusan Online dalam laporan 7 Teras Strategik Capai Kemakmuran Bersama pada 9 Mei 2019. [https://www.utusan.com.my/berita/nasional/7-teras-strategik-capai-kemakmuran-bersama-1.897800]