Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-255: KEBEBASAN MELAMPAU DALAM BERJENAKA

BAYAN LINNAS 255

 

Mukadimah

Seorang wanita ditangkap dan didakwa baru-baru ini atas kesalahan menghina Islam susulan tular video persembahan lawak pentas di sebuah kelab oleh wanita berkenaan dengan berpakaian menjolok mata sambil mengatakan beliau  seorang yang berbangsa melayu, beragama Islam dan mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran.[1] Perbuatan tersebut telah mencetus kemarahan umat Islam di negara ini kerana dilihat sengaja mempermain dan menyindir ajaran Islam berkenaan kewajipan menutup aurat dan menggambarkan seolah-olah mereka yang menghafal al-Quran juga boleh sahaja berpakaian yang menjolok mata. Bermula dari insiden tersebut, telah tular banyak lagi video-video persembahan jenaka oleh individu lain di kelab berkenaan yang sebahagian kandungannya dilihat sengaja menjadikan isu-isu agama sebagai bahan jenaka.[2]

Trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi. Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci. Justeru agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression) .[3]

Perbuatan ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya:Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Surah al-Taubah (65)

Kedudukan Orang Yang Mempersendakan Agama Disisi Allah SWT

 

Berjenaka sehingga mempersendakan dan menjadikan agama sebagai bahan gurauan adalah dilarang. Ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT:

 

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).

Surah al-An’am (70)

Imam al-Tabari menafsirkan ayat tersebut sebagai peringatan kepada Nabi SAW untuk menjauhi golongan yang menjadikan agamanya sebagai persendaan dan hiburan. Begitu juga mengelak daripada golongan yang menggunakan ketaatan kepada Allah untuk bergurau seperti bermain-main dengan ayat Allah SWT. Hal ini kerana, mereka mempersendakan al-Quran apabila diperdengarkan dan dibacakan kepada mereka serta memalingkan diri daripada al-Quran. Oleh itu, sesungguhnya mereka bakal menghadapi balasan atas perbuatan dan tindakan mereka yang telah diperdayakan dengan keduniaan serta alpa untuk kembali kepada-Nya.[4]

[Lihat Tafsir al-Tabari: 11/441]

Menurut Sheikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan perbuatan mempersendakan agama adalah dilarang dalam mana-mana syariat pun sebelum ini. Orang yang suka mempersendakan agama tidak lain tidak bukan adalah orang yang hatinya cintakan keduniaan dan tidak mengetahui apa-apa pun selain keduniaan. Ia menjadi lebih parah apabila perbuatan ini menjerumuskan pelaku ke dalam lembah kekafiran dek kerana terhalang daripada melakukan kebaikan yang lain.[5]

[Lihat Tafsir al-Munir: 7/251]

 

Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seseorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad.[6] Seterusnya menurut Ibn Hajar al-Haitami, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama.[7]

[Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair: 1/48]

Sementara itu dari sudut undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini, perbuatan berjenaka dengan mempersenda dan menghina agama adalah menjadi suatu kesalahan jenayah syariah. Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina serta mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan. Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 7. Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll agama Islam dan Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith.

 

Etika Berjenaka

Terdapat beberapa kriteria yang perlu dijadikan panduan untuk berjenaka atau mahu membuat pengisian di mana-mana platform media sosial. Antaranya adalah;

1. Tidak melampaui batas dan meninggalkan kewajipan serta tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai bahan gurau senda. Hal ini kerana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

 Surah al-Hujurat (11)

2. Tidak menipu dan tidak mempermainkan syiar agama. Hal ini kerana, perbuatan mempersendakan agama merupakan dosa besar bahkan telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka azab yang amat perit sepertimana sambungan daripada Firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Maksudnya: “Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)."

Surah al-An’am (70)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat tersebut menegaskan umat islam yang lain agar berpaling dan tidak duduk bersama-sama mereka yang terlibat dalam penipuan dan persendaan terhadap agama, al-Quran dan hadis.[8]

[Lihat Tafsir Ibn Kathir: 3/249]

Kesimpulan

Daripada penjelasan ini maka jelaslah perbuatan sama ada menyindir, mempermain,  mengejek-ejek dan menjadikan agama sebagai bahan jenaka adalah haram dan berdosa besar.

Perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama ini pastinya bersumber kejahilan yang tidak dapat tidak hanya boleh diubati dengan ilmu pengetahuan samaada melalui pengajian atau merujuk kepada mereka yang lebih berpengetahuan. Dengan sebab kejahilan itulah maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui senda gurau, momokan, jenaka dan mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi di dalam diri.

Masyarakat di Malaysia seharusnya bersama-sama menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat dan melihat trend ini sebagai ancaman kepada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa yang dinikmati di negara kita selama ini.

Wallahua’lam

 

[1] Safeek Affendy Razali, Wanita Hina Islam Direman Tiga Hari, Berita Harian, 10 Julai 2022,

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/975078/wanita-hina-islam-direman-tiga-hari

[2] Fazli Radzi, Selepas Tanggal Baju dan Tudung, Pelawak ini Dakwa Sekolah Kerajaan Asing Ikut Agama, Ustazah Beritahu Bukan Muslim Masuk Neraka, Malaysia Dateline, 14 Julai 2022,

https://malaysiadateline.com/selepas-tanggal-baju-dan-tudung-seorang-pelawak-dakwa-sekolah-kerajaan-asing-ikut-agama-bukan-muslim-masuk-neraka/

[3] Michael White, In-Theory: Should Religion Be Off Limits to Comedy, Los Angeles Times, 5 Mei 2012,

https://www.latimes.com/socal/glendale-news-press/opinion/tn-gnp-xpm-2012-05-05-tn-pas-0506-in-theory-should-religion-be-off-limits-to-comedy-story.html

[4] Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, Mu’assasah al-Risalah, Jld.11, Hlm.441

قال أبو جعفر: يقول تعالى ذكره لنبيه محمد صلى الله عليه وسلم: ذرْ هؤلاء الذين اتخذوا دين الله وطاعتهم إياه لعبًا ولهوًا، (1) فجعلوا حظوظهم من طاعتهم إياه اللعب بآياته، (2) واللهوَ والاستهزاء بها إذا سمعوها وتليت عليهم، فأعرض عنهم، فإني لهم بالمرصاد، وإني لهم من وراء الانتقام منهم والعقوبة لهم على ما يفعلون، وعلى اغترارهم بزينة الحياة الدنيا، ونسيانهم المعادَ إلى الله تعالى ذكره والمصيرَ إليه بعد الممات

[5] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Beirut: Dar al-Fikr, Jld.7, Hlm.251

[6] Al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Beirut: Dar al-Fikr, Jld.1, Hlm.293

هي قطع الإسلام بنية أو قول كفر أو فعل سواء قاله استهزاء أو عنادا أو اعتقادا فمن نفى الصانع أو الرسل أو كذب رسولا أو حلل محرما بالإجماع كالزنا أو عكسه أو نفى وجوب مجمع عليه أو عكسه أو عزم على الكفر غدا أو تردد فيه كفر والفعل المكفر ما تعمده استهزاء صريحا بالدين أو جحودا له كإلقاء مصحف بقاذورة وسجود لصنم أو شمس

[7] Ibn Hajar al-Haitami, al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, Beirut: Dar al-Fikr, Jld.1, Hlm.48

أَوْ يَسْخَرُ بِاسْمِ اللَّهِ تَعَالَى أَوْ نَبِيِّهِ كَأَنْ يُصَغِّرَهُ أَوْ بِأَمْرِهِ أَوْ نَهْيِهِ أَوْ وَعْدِهِ أَوْ وَعِيدِهِ كَأَنْ يَقُولَ لَوْ أَمَرَنِي بِكَذَا لَمْ أَفْعَلْهُ أَوْ لَوْ جَعَلَ الْقِبْلَةَ هُنَا مَا صَلَّيْتُ إلَيْهَا أَوْ لَوْ أَعْطَانِي الْجَنَّةَ مَا دَخَلْتُهَا اسْتِخْفَافًا أَوْ عِنَادًا أَوْ لَوْ آخَذَنِي بِتَرْكِ الصَّلَاةِ مَعَ مَا بِي مِنْ الشِّدَّةِ وَالْمَرَضِ ظَلَمَنِي.

[8] Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld.3, Hlm.249

وقوله وَإِذا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آياتِنا أَيْ بِالتَّكْذِيبِ وَالِاسْتِهْزَاءِ، فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ أَيْ حَتَّى يَأْخُذُوا فِي كَلَامٍ آخَرَ غَيْرِ مَا كَانُوا فِيهِ مِنَ التَّكْذِيبِ، وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطانُ والمراد بذلك كل فرد، فرد من آحاد الأمة، أن لا يَجْلِسَ مَعَ الْمُكَذِّبِينَ الَّذِينَ يُحَرِّفُونَ آيَاتِ اللَّهِ وَيَضَعُونَهَا عَلَى غَيْرِ مَوَاضِعِهَا، فَإِنْ جَلَسَ أَحَدٌ مَعَهُمْ نَاسِيًا، فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرى بَعْدَ التَّذَكُّرِ مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَلِهَذَا وَرَدَ فِي الْحَدِيثِ «رُفِعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ» .