Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-269: MEMBINA NEGARA DENGAN POLITIK YANG BERETIKA

MEMBINA_NEGARA_DENGAN_POLITIK_YANG_BERETIKA.jpg

 

Hari pembuangan undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung pada tanggal 12 Ogos 2023 di enam buah negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dengan tarikh yang semakin hampir, bahang pilihan raya mulai terasa bukan sahaja di negeri-negeri berkenaan, malah tempiasnya turut dirasai rakyat Malaysia seluruhnya. Setiap parti serta calon masing-masing giat berkempen untuk memenangi hati para pengundi supaya rakyat memilih mereka pada hari pengundian kelak. Pesta demokrasi ini wajar diraikan kerana ia memberi peluang untuk kita memilih pemimpin terbaik yang akan mentadbir urusan seharian serta wakil yang akan menyuarakan hasrat rakyat.

Menurut perspektif Islam, bidang kepimpinan merupakan satu bidang yang amat dititikberatkan. Kepimpinan dan Islam tidak dapat dipisahkan, memandangkan tujuan penciptaan manusia sendiri adalah untuk menjadi khalifah yang akan memakmurkan bumi. Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".                                         

Surah al-Baqarah (30)

Nabi SAW juga pernah bersabda:

‏إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik sebagai ketua.”

Riwayat Abu Daud (2708)

Namun dalam keghairahan berkempen, pihak-pihak yang terlibat perlu mengelak daripada tutur kata serta tindakan melampau dan berlebih-lebihan, hingga menyebabkan berlakunya kegusaran dan kekacauan dalam masyarakat, serta menimbulkan salah faham terhadap agama Islam itu sendiri.

Bentuk kempen politik berunsurkan agama atau kaum yang boleh  mencemarkan kemuliaan agama Islam serta kemurnian hukum-hakamnya serta mewujudkan ketidakselesaan hubungan antara kaum  wajib dielakkan.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ

Maksudnya: Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar…”

Surah al-Ma‘idah (77)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

وَإِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Maksudnya: Kalian hendaklah menjauhi sikap melampau dalam beragama, kerana generasi sebelum kamu telah binasa disebabkan mereka melampau dalam beragama.

Sunan Ibn Majah (3057)

Budaya dan kefahaman agama yang melampau, lebih-lebih lagi jika dibawa ke dalam  bidang percaturan politik tidak beretika dibimbangi akan menyebabkan kucar-kacir dalam masyarakat, lebih-lebih di Malaysia yang berbilang agama, bangsa, serta latar belakang pendidikan.

Politik dan kepimpinan sememangnya merupakan salah satu cabang dalam agama. Namun seperti yang dibahaskan oleh para ulama, politik pada dasarnya bukan sebahagian daripada perbahasan akidah, seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali:

النظر في ‌الإمامة أيضاً ليس من المهمات، وليس أيضاً من فن المعقولات، بل من الفقهيات

Maksudnya: Perbahasan berkenaan kepimpinan juga bukan sebahagian daripada perkara akidah dan ilmu-ilmu akli (seperti mantik), tapi ia sebahagian daripada isu fiqh.[1]

Justeru, politik merupakan medan untuk perbincangan serta perbezaan pendapat, lantaran sedikitnya nas-nas syarak berkenaan politik, seperti yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Raisuni:

أن النصوص والأحكام المتعلقة بهذا المجال قليلة، أكثرها يتسم بالعموم والكلية....ومعنى هذا أن الأحكام والمتطلبات التفصيلية في هذا المجال متروكة – بنسبة كبيرة جدا – للاجتهاد والتجربة والتعارف.

Maksudnya: Sesungguhnya nas dan hukum yang berkaitan dengan bidang politik adalah sedikit jumlahnya, dan kebanyakannya pula bersifat umum. Maknanya, kebanyakan hukum dan kewajipan yang terperinci dalam bidang politik ini terbuka kepada ijtihad, eksperimen dan kesepakatan sesama manusia.[2]

Tambahan pula, pemerintahan hanya sekadar wasilah (medium) bagi mencapai maqasid dan matlamat yang lebih besar. Imam ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam menyebut:

أَنَّ نَصْبَ الْقُضَاةِ وَالْوُلَاةِ مِنْ الْوَسَائِلِ إلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ الْعَامَّةِ وَالْخَاصَّةِ

Maksudnya: Melantik hakim dan pemimpin merupakan wasilah untuk mencapai maslahah umum dan maslahah individu. Adapun melantik pembantu bagi para hakim dan pemimpin itu pula merupakan sekadar wasilah untuk mencapai wasilah yang pertama tadi.[3]

Justeru, sistem demokrasi  yang diamalkan sekarang sekadar merupakan wasilah untuk mencapai wasilah yang pertama.

Jika hal ini dapat difahami, nescaya kita akan lebih bersederhana dan bersikap matang dalam berpolitik, sekali gus menumpukan segala usaha ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, aman dan stabil.

Justeru, sewajarnya bagi semua pihak tanpa mengira warna parti bekerjasama dalam membendung sebarang bentuk kempen politik  yang melampau dan berlebih-lebihan, tanpa menafikan bahawa  soal kepimpinan dan pemerintahan negara berasaskan syarak itu merupakan salah satu tuntutan dalam Islam.

Para ahli politik dan mereka yang terlibat dalam pilihan raya hendaklah sentiasa menjaga akhlak, etika dan profesionalisme bukan sahaja sewaktu tempoh berkempen. Memfitnah, memaki hamun, dan mengamalkan politik kotor seperti ugutan dan sogokan bagi mencapai kepentingan politik merupakan satu tindakan yang sangat dilarang dalam Islam. Walaupun berbeza fahaman politik dan parti, setiap pihak wajar mengambil pendekatan yang baik dan matang dalam berkempen tanpa memburuk-burukan pihak lawan. Tawaran-tawaran perkhidmatan jika terpilih dalam pilihanraya hendaklah bersifat realistik, ikhlas untuk kebaikan rakyat dan bukan untuk tujuan raihan politik bersifat murahan. Rakyat di negara ini perlu dibimbing ke arah berfikir secara rasional dalam memilih pemimpin dan  bukannya diajar secara ‘membina persepsi’ dengan mengabaikan segala etika dalam berkempen.

Akhir kalam, semoga Allah SWT menganugerahkan Malaysia negara yang aman dan makmur dalam keredaan-Nya, serta mengurniakan kepada kita pemerintah yang melaksanakan keadilan kepada setiap rakyat, memelihara hak golongan tertindas dan yang menegakkan Islam dalam setiap sudut kehidupan.

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Rujuk al-Iqtisad fi al-I‘tiqad oleh Imam al-Ghazali, hlm. 127

[2] Rujuk Fiqh al-Thawrah: Muraja‘at fi al-Fiqh al-Siyasi al-Islami oleh Syeikh Ahmad al-Raisuni, hlm. 12

[3] Rujuk Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam oleh ‘Izzuddin ‘Abd al-Salam, 1/58