Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN KEPADA MENTERI HAL EHWAL UGAMA DAN MUFTI KERAJAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

23 NOVEMBER 2023, BRUNEI – Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti dan Encik Ahmad Noor Syaiful Azmi bin Mohammad Noor, Penolong Mufti Bahagian Khidmat Sokongan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Hj Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada Khamis lepas.

SS Datuk Prof. Madya Dr. Luqman dan delegasi turut berkesempatan mengunjungi Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam di Darulifta’ Brunei Darussalam.

Turut hadir daripada DarulIfta’ Brunei Darussalam ialah YBhg. Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta’), YBrs. Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, YBrs. Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap KHEU dan YBrs. Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap bagi mengalu-alukan kehadiran delegasi kunjungan.

Pelbagai perkara kepentingan dua hala dalam bidang kefatwaan dipersetujui termasuk penganjuran program sangkutan (attachment) melibatkan para pegawai kedua-dua buah negara. PMWP juga menjemput YB Pehin Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Program Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PMWP pada tahun depan.

Semoga kehadiran SS Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah dan delegasi ke sana dapat mengutuhkan lagi hubungan kerjasama baik yang dibina antara dua negara serantau ini serta memberi manfaat kepada semua pihak.

Sumber Gambar: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam