DOHA, 4 FEBRUARI 2025 – Delegasi yang diketuai oleh Tuan Hj. Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan mengadakan kunjungan hormat kepada Syeikh Dr. Ali Qaradhaghi, Presiden Kesatuan Ulama Muslimin. Turut bersama Ustaz Ahmad Fawwaz Fadhil, Ahli MAIWP dan beberapa pegawai MAIWP.
Kesempatan kunjungan ini diambil dengan mengadakan perbincangan bersama mengenai kepentingan fiqh dan ijtihad sebagai asas utama dalam memajukan Islam yang berteraskan prinsip syariah. Delegasi bersama dengan Dr. Ali Qaradhagi turut membincangkan keperluan memperhalusi pandangan bersama dan merapatkan jurang perbezaan yang boleh membawa kepada ketidaksefahaman yang tidak produktif. Hal ini bertujuan untuk membentuk kerangka pemikiran yang lebih holistik dalam memperkukuh kesatuan umat Islam dalam menangani isu-isu besar semasa.
Kunjungan hormat ini merupakan sebahagian daripada siri pertemuan ilmiah dan pemikiran yang bertujuan untuk memperkukuh kesepaduan fiqh dan pemikiran Islam serta menghubungkan ijtihad kontemporari dengan prinsip-prinsip syarak. Usaha ini diharapkan dapat memperkasa peranan fiqh Islam dalam menyelesaikan cabaran semasa dengan pendekatan yang berlandaskan pembaharuan dan ketulenan sumber syariah serta memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan.