Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SERTAI LAWATAN RASMI MAIWP KE BAITU ZAKAH WA SADAQAH MESIR

KAHERAH, 6 FEBRUARI 2025 – Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Hj. Abdullah bersama delegasi rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pentadbiran Baitu Zakah Wa Sadaqah (Pusat Zakat) Al-Azhar di Republik Arab Mesir hari ini. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan strategik dalam pengurusan zakat dan sedekah antara kedua-dua institusi Islam.

Ketibaan delegasi yang diketuai oleh YBrs. Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, telah disambut mesra oleh Mejar Jeneral Mohamed Moustafa selaku Penolong Setiausaha Agung Baitu Zakah, bersama pegawai-pegawai kanan pusat zakat tersebut. Lawatan ini turut mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Atase Agama Kaherah.

Dalam sesi taklimat yang diberikan, delegasi diberikan penerangan mendalam berkaitan sistem kutipan dan agihan zakat, serta pengurusan tabung 'Baitul Mal' yang dinaungi oleh Al-Imam Al-Akbar Sheikh Al-Azhar. Perbincangan ini membuka ruang kepada pertukaran idea dan pengalaman dalam memperkasakan pengurusan zakat bagi manfaat ummah.

Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Hj. Abdullah menzahirkan penghargaan kepada pihak Al-Azhar atas kesediaan berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan zakat dan sedekah. Beliau menegaskan kepentingan mempelajari sistem pentadbiran zakat dari institusi tersohor seperti Al-Azhar untuk memperkukuhkan model pengurusan zakat di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Ustaz Ameer Ikhwan dan Encik Muhammad Zuwairi Abu Bakar serta pegawai-pegawai kanan MAIWP. Lawatan ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Al-Azhar dalam bidang pengurusan kewangan Islam serta kebajikan ummah.