
PENDIDIKAN TVET MENURUT PERSPEKTIF SYARAK : SUATU SOROTAN MAQASID SYARIAH DAN MAQASID ‘UMRAN
Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini menjadi komponen penting dalam pembangunan modal insan negara. Sehingga tahun 2024, Malaysia mempunyai lebih daripada 1,398 institusi TVET yang merangkumi institusi awam dan swasta di bawah pelbagai kementerian dan agensi[1]. Penyertaan pelajar juga menunjukkan trend meningkat apabila pendaftaran TVET bagi tahun 2024 mencapai 423,267 pelajar, iaitu peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya[2].
Kadar kebolehpasaran graduan TVET turut berada pada tahap yang memberangsangkan. Laporan semasa merekodkan kadar penempatan kerja graduan TVET sekitar 94.5% hingga 95.1%, mencerminkan kecekapan latihan dan kesesuaian kurikulum dengan keperluan industri[3]. Sokongan kerajaan melalui peruntukan kewangan khusus dan strategi pengukuhan ekosistem TVET juga mengukuhkan kedudukan pendidikan ini sebagai pemacu pembangunan negara[4].
Dalam konteks ini, pelaksanaan TVET wajar dinilai daripada perspektif syarak khususnya melalui kerangka maqasid syariah dan maqasid ‘umran yang menekankan pembangunan insan dan kemakmuran alam.
Pendidikan Menurut Perspektif Islam
Secara asasnya, syariat Islam meletakkan kewajipan menuntut ilmu sebagai asas utama dalam membentuk peribadi dan ketamadunan. Perkara ini telah dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"
Surah al-Zumar (9)
Rasulullah SAW juga telah bersabda dalam sebuah hadis mengenai kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.”
(Riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, sejarah para nabi terdahulu juga memberi gambaran jelas bahawa kemahiran teknikal dan pembangunan material tidak bercanggah dengan ajaran agama. Sebagai contoh, Nabi Daud AS diajarkan kepakaran membuat baju besi dan Nabi Nuh AS mahir membina kapal. Perkara ini dibuktikan menerusi firman Allah SWT:
وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ ﴿١٠﴾ أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ
Maksudnya: “Dan juga telah melembutkan besi baginya; (10) (Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki.”
Surah Saba’ (9-10)
وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا
Maksudnya: “Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya).”
Surah Hud (37)
Di samping itu, para ilmuan Islam pada zaman kegemilangan tamadun Islam turut menghasilkan penemuan dalam bidang mekanikal, astronomi, perubatan dan kejuruteraan. Sebagai contoh, al-Jazari dianggap sebagai bapa kejuruteraan robotik pada abad ke-13 masihi. Beliau bukan sahaja mereka bentuk, malah mendokumentasikan secara terperinci binaan mesin-mesinnya termasuk penggunaan pam omboh dwi-tindakan (double-acting piston pump) yang dianggap sebagai asas kepada enjin wap moden sebelum era Revolusi Industri[5]. Kesemua contoh ini membuktikan bahawa pembangunan teknologi dan kemahiran adalah sebahagian daripada usaha memakmurkan bumi yang selari dengan tuntutan syarak.
Pendidikan TVET Menurut Maqasid ‘Umran
Maqasid ‘Umran merupakan antara cabang maqasid syariah yang menumpukan objektif pemakmuran bumi melalui pembangunan insan, struktur sosial dan kemajuan material. Dalam kerangka ini, aliran pendidikan TVET jelas memainkan peranan penting kerana ia menekankan kecekapan insani serta kemahiran teknikal yang secara langsung menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.
Pelaksanaan dasar untuk memperkukuh TVET bukan sahaja meningkatkan tenaga mahir negara, malah memupuk budaya ilmu dan profesionalisme dalam kalangan masyarakat. Dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini menepati prinsip dalam maqasid syariah khususnya prinsip memelihara akal (hifz al-‘aql) melalui pendidikan serta prinsip memelihara harta (hifz al-mal) melalui peningkatan produktiviti dan ekonomi negara.
Justeru, pembangunan sektor TVET merupakan salah satu manifestasi maqasid ‘umran kerana ia menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak, produktif dan beradab, seterusnya memakmurkan bumi sebagaimana dituntut oleh syarak.
Kesimpulan
Perkembangan semasa menunjukkan bahawa TVET semakin menjadi arus perdana dalam sistem pendidikan negara dengan pertambahan institusi, peningkatan jumlah pelajar dan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi. Dasar kerajaan turut memberi sokongan kukuh bagi memastikan TVET kekal relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan industri masa kini dan masa depan.
Sementara dari perspektif syarak, TVET bukan sahaja selari dengan tuntutan menuntut ilmu, bahkan merupakan sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah dalam usaha merealisasikan maslahat bagi kehidupan manusia yang menepati maqasid syariah dan maqasid ‘umran. Oleh itu, masyarakat wajar menyokong dan mengangkat sektor TVET sebagai jalan untuk memajukan negara dan memakmurkan bumi sesuai dengan panduan syariat Islam.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Department of Statistics Malaysia, TVET Statistics Malaysia 2024 (Series 67), Oktober 2024, https://www.statistics.gov.my
[2] “Record Number of TVET Students Recorded in 2024, Dewan Rakyat Told,” The Star, 19 Februari 2025, https://www.thestar.com.my
[3] “TVET Graduates’ Employability at 94.5 pct, Says Zahid,” The Edge, 19 Februari 2025; “Kebolehpasaran Graduan TVET Capai 95.1%,” RTM Berita Nasional, 11 Jun 2025.
[4] “TVET Participation Expected to Reach 70pct by End of 13MP,” New Straits Times, 29 Oktober 2025, https://www.nst.com.my
[5] Dirik, Mahmut. "Al-jazari: The ingenious inventor of cybernetics and robotics." Journal of Soft Computing and Artificial Intelligence 1, no. 1 (2020): 47-58.