Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 55/2025: ADAB MELUDAH DI JALANAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

TintaMufti.jpg

ADAB MELUDAH DI JALANAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Islam mengaitkan kebersihan dengan keimanan serta menjadikannya sebahagian daripada tuntutan agama. Jalanan dan tempat awam merupakan hak bersama yang wajib dipelihara daripada sebarang bentuk pencemaran dan gangguan. Rasulullah SAW dalam sebuah hadis telah menjelaskan bahawa menghilangkan perkara yang menyakiti orang lain di jalanan adalah perbuatan yang mulia. Sabda Nabi SAW:

الإيمان بضع وستون شعبة. فأفضلها قول لا إله إلا الله. وأدناها إماطة الأذى عن الطريق. والحياء شعبة من الإيمان

Maksudnya: “Iman itu mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Antara yang paling utama adalah ucapan ‘Tiada Tuhan selain Allah’, manakala yang paling rendah adalah menghilangkan bahaya daripada jalan. Dan sifat malu (haya’) juga termasuk salah satu cabang iman.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa menghilangkan sesuatu yang menyakitkan seperti duri, ranting yang berduri, batu yang boleh membuat orang tersandung, kotoran, bangkai dan seumpamanya daripada jalan serta membersihkan bahaya daripada laluan, termasuklah cabang-cabang keimanan sebagaimana disebut dalam hadis sahih. Di dalamnya terdapat peringatan tentang keutamaan segala perkara yang memberi manfaat kepada umat Islam dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah[1].

Hukum Meludah di Jalanan dan Tempat Awam

Pada asasnya hukum meludah adalah harus kerana ia merupakan perbuatan tabi‘i manusia. Namun, keharusan ini terikat dengan adab dan keadaan. Meludah di jalanan, di hadapan orang ramai atau di tempat awam tanpa keperluan adalah perbuatan yang tidak beradab, malah boleh menjadi haram sekiranya membawa kepada kemudaratan, pencemaran atau penularan penyakit. Hal ini selari dengan kaedah umum syarak yang berpaksikan larangan mendatangkan mudarat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”

(Riwayat Ibn Majah dan al-Daruqutni)

Islam juga melarang perbuatan meludah di tempat-tempat yang dimuliakan atau digunakan untuk ibadah. Rasulullah SAW bersabda:

الْبُصَاقُ فِي الْمَسْجِدِ خَطِيئَةٌ، وَكَفَّارَتُهَا دَفْنُهَا

Maksudnya: “Meludah di dalam masjid adalah satu kesalahan, dan kaffarahnya ialah dengan menanam (membersihkannya).”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa meludah di dalam masjid adalah suatu kesalahan secara mutlak, sama ada seseorang itu benar-benar perlu meludah atau tidak. Bahkan jika seseorang meludah pada pakaiannya, tetapi ia meludah di dalam masjid, maka dia telah melakukan kesalahan. Untuk menebus kesalahan ini, dia wajib menutupi atau membersihkan ludah tersebut[2].

Adab Meludah Menurut Tuntutan Syarak

Sekiranya terdapat keperluan untuk meludah, Islam mengajar agar ia dilakukan dengan penuh adab dan tanggungjawab. Antaranya ialah mengelakkan meludah di hadapan orang lain, tidak melakukannya di jalanan atau tempat awam, serta memastikan ia tidak mendatangkan gangguan. Dalam keadaan tertentu, penggunaan tisu dan pembersihan segera adalah lebih menepati tuntutan adab dan kebersihan.

Prinsip ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang membersihkan diri.”

Surah al-Baqarah (222)

Penegasan syarak terhadap adab di jalanan bertujuan memelihara maslahah umum, khususnya penjagaan kebersihan, kesihatan awam dan maruah manusia. Dalam konteks semasa, perbuatan meludah secara terbuka juga berpotensi menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit, justeru ia lebih wajar dijauhi sebagai langkah pencegahan dan tanggungjawab sosial.

Kesimpulan

Kesimpulannya, perbuatan meludah di jalanan dan tempat awam tanpa keperluan serta tanpa menjaga adab adalah bercanggah dengan nilai akhlak Islam dan tuntutan syariah. Seorang Muslim dituntut untuk menzahirkan keindahan Islam melalui sikap beradab, menjaga kebersihan serta menghormati hak orang lain. Inilah manifestasi sebenar syariat Islam yang berpaksikan maslahah, pencegahan kemudaratan dan pembinaan masyarakat yang berakhlak mulia.

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

11 REJAB 1447H / 1 JANUARI 2026

 

Rujukan:

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1392H), 16:171.

هذه الأحاديث المذكورة في الباب ظاهرة في فضل إزالة الأذى عن الطريق سواء كان الأذى شجرة تؤذي أو غصن شوك أو حجرا يعثر به أو قذرا أو جيفة وغير ذلك وإماطة الأذى عن الطريق من شعب الايمان كماسبق في الحديث الصحيح وفيه التنبيه على فضيلة كل ما نفع المسلمين وأزال عنهم ضررا

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1392H), 5:41.

أن البزاق في المسجد خطيئة مطلقا سواء احتاج إلى البزاق أو لم يحتج بل يبزق في ثوبه فإن بزق في المسجد فقد ارتكب الخطيئة وعليه أن يكفر هذه الخطيئة بدفن البزاق هذا هو الصواب أن البزاق خطيئة كما صرح به رسول الله صلى الله عليه وسلم