Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 78/2026: MENCEGAH KEHAMILAN LUAR NIKAH DALAM KALANGAN REMAJA: PENDEKATAN ISLAM

TintaMufti.jpg

MENCEGAH KEHAMILAN LUAR NIKAH DALAM KALANGAN REMAJA: PENDEKATAN ISLAM

MUQADIMAH

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan rekod data kehamilan luar nikah oleh remaja berusia 19 tahun ke bawah. Laporan menunjukkan sebanyak 21,114 kes telah direkodkan sepanjang tempoh 2019 sehingga 2024. Angka ini bukan sahaja mencerminkan cabaran sosial yang serius malah menunjukkan wujudnya jurang dalam aspek bimbingan agama, pendidikan seksual, sokongan keluarga serta kawalan sosial dalam kalangan generasi muda. Fenomena kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja perlu diteliti secara menyeluruh terutamanya dari Syarak kerana hal ini memberi implikasi besar terhadap masa depan generasi muda, institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat. Justeru, penulisan kali ini menuntut kepada penelitian ilmiah bagi memahami pendekatan dan penyelesaian yang berlandaskan nilai agama Islam.

Perbuatan zina merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang mendapat kemurkaan Allah SWT sehinggakan Dia melarang hamba-hambanya daripada mendekati zina atau mukadimah yang membawa kepada zina. Hal ini kerana, zina jelas menyebabkan nasab keturunan tidak terjaga dan mengakibatkan pengabaian terhadap anak-anak yang lahir tanpa perkahwinan yang sah. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan.

[Surah al-Isra’ (32)]

Saranan Perkahwinan

Islam mensyariatkan perkahwinan sebagai jalan yang sah untuk memenuhi fitrah naluri manusia serta memelihara keturunan. Sepertimana firman Allah SWT:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui.”

[Surah an-Nur (32)]

Perkahwinan bagi golongan remaja yang bersedia dari segi akal, emosi dan fizikal dapat membantu menanam tanggungjawab, disiplin dan kasih sayang yang betul. Ia juga merupakan salah satu jalan untuk membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah sekaligus mengekalkan nasab yang terpelihara dan membentuk generasi yang beriman serta berakhlak mulia.

Dengan itu, pensyariatan perkahwinan bukan sekadar memenuhi fitrah semata-mata tetapi juga merupakan langkah pencegahan yang strategik untuk mencegah maksiat, melindungi maruah dan memelihara keturunan bagi kesejahteraan masyarakat.

Kawalan Pergaulan Bebas

Antara langkah asas dalam menangani isu kehamilan luar nikah ialah memastikan pergaulan antara lelaki dan perempuan sentiasa terkawal serta berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh syarak. Islam tidak menolak fitrah manusia untuk berinteraksi namun interaksi tersebut hendaklah dipandu oleh adab dan tujuan yang jelas serta batas yang terpelihara. Pergaulan yang tidak bersempadan, amalan berdua-duaan tanpa mahram, serta komunikasi yang melampaui keperluan sering kali menjadi titik permulaan kepada perlakuan yang lebih serius dan akhirnya membawa kepada perbuatan yang dilarang.

Sehubungan dengan itu, Islam menetapkan langkah pencegahan sejak dari peringkat awal dengan memerintahkan agar menjaga pandangan sebagai asas dalam memelihara kesucian diri dan kehormatan. Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

[Surah an-Nur (30)]

Membina Sifat Malu

Selain itu, remaja perlu dididik dengan sifat malu (al-haya’) sebagai benteng utama daripada terjerumus ke dalam perbuatan zina dan segala jalan yang membawa kepadanya. Dalam sepotong hadis menyatakan bahawa malu merupakan salah satu cabang daripada iman. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang atau lebih daripada 60 cabang. Cabang yang paling utama ialah pengakuan bahawa tiada Tuhan selain Allah. Manakala cabang yang paling rendah ialah menyingkirkan sesuatu yang memudaratkan dari jalan dan malu adalah salah satu cabang daripada iman.”

(Riwayat Muslim)

Remaja hari ini perlu dididik dengan penghayatan makna malu yang sebenar sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Sifat malu yang berpaksikan iman akan mendorong remaja menjaga batas pergaulan, menutup aurat, memelihara maruah diri, mengawal pandangan serta menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsang syahwat. Namun, usaha mendidik generasi muda dengan nilai ini bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dalam era teknologi yang pesat berkembang sehingga membuka ruang akses tanpa batas kepada pelbagai kandungan yang tidak bermanfaat.

Walau bagaimanapun, cabaran ini perlu ditangani secara bijaksana dan berterusan bagi mengelakkan mafsadah yang lebih besar. Pendidikan tentang sifat malu boleh dipupuk melalui bimbingan agama yang konsisten, teladan yang baik daripada ibu bapa, pembentukan persekitaran sosial yang sihat serta pemantauan penggunaan media sosial dan teknologi secara berhemah.

Pendidikan Seks Yang Seimbang

Langkah penyelesaian seterusnya adalah dengan memberikan pendidikan seksual yang seimbang serta mengikut taraf pendidikan remaja. Pendidikan seksual kepada golongan remaja adalah diharuskan jika ia dilaksanakan dalam kerangka syariat yang betul serta mematuhi adab-adab Islam yang bertujuan mendidik, mencegah maksiat serta memelihara maruah diri selaras dengan maqasid syariah yang memelihara kehormatan diri (hifz al-nasl). Hakikatnya, pendidikan seksual telahpun dipraktikkan pada zaman Rasulullah SAW dan jelas terbukti bahawa pendidikan pada ketika itu bukanlah bertujuan untuk membangkitkan syahwat semata-mata tetapi merupakan satu bentuk tarbiyah.

Contohnya, pendidikan seksual yang diterapkan dalam fiqh ibadah seperti persoalan tentang taharah dan mandi janabah dengan tujuan mendidik manusia tentang kebersihan alat sulit dan keperluan bersuci. Tambahan pula dalam perbincangan fiqh munakat, terdapat larangan berhubungan antara suami isteri ketika haid dan nifas, bab kehamilan, perancangan keluarga (tanzim al-nasl) dan perkara yang berkaitan hak dan tanggungjawab suami isteri yang lain. Bahkan, pendidikan seksual juga dibincangkan dari sudut pandang fiqh jinayah seperti kesalahan hudud bagi zina dan sebagainya.

Penutup

Isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja merupakan satu cabaran besar yang menuntut penyelesaian yang menyeluruh dan tersusun. Pendekatan Islam tidak hanya bersifat menghukum bahkan lebih menekankan aspek mendidik, mencegah serta memulihkan dengan penuh hikmah dan rahmah. Pensyariatan perkahwinan, kawalan pergaulan, pembinaan sifat malu serta pendidikan seksual yang seimbang merupakan antara langkah penting yang selaras dengan maqasid syariah dalam memelihara agama, maruah dan keturunan.

Justeru, menjadi tanggungjawab bersama ibu bapa, pendidik, masyarakat dan pihak berautoriti untuk bersama-sama menangani gejala ini dengan kesungguhan dan keprihatinan. Semoga usaha yang berterusan ini dapat membendung masalah yang kian membimbangkan serta melahirkan generasi muda yang beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Mudah-mudahan segala ikhtiar yang dilakukan menjadi asbab kepada terpeliharanya kesejahteraan ummah dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

26 SYAABAN 1447H / 14 FEBRUARI 2026