
TUNTUTAN MEMELIHARA NYAWA DAN MENTADBIR ALAM DALAM MENANGANI ISU ANCAMAN HAIWAN LIAR
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang mentadbir sekalian alam dengan penuh hikmah dan keseimbangan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Perkembangan mutakhir ini menunjukkan peningkatan kes kematian yang membimbangkan akibat ancaman haiwan liar seperti harimau dan gajah di kawasan pinggir hutan serta petempatan manusia, begitu juga kes-kes kematian disebabkan ancaman buaya di sungai, anjing liar di kawasan perumahan dan seumpamanya. Situasi ini bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah mewujudkan suasana kegusaran yang berpanjangan sekiranya tiada langkah mitigasi yang proaktif dan berkesan diambil oleh pihak berkuasa. Kehilangan nyawa manusia dalam konflik ini merupakan suatu kerugian besar kerana nyawa adalah anugerah daripada Allah SWT yang amat berharga dan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya melalui pendekatan pengurusan risiko yang sistematik.
Kepentingan Memelihara Nyawa dalam Syariat
Islam sebagai agama yang bersifat syamil (lengkap) dan kamil (sempurna) telah menggariskan prinsip-prinsip yang jelas dalam menguruskan hubungan antara manusia dengan alam persekitaran, khususnya dalam mendepani cabaran yang melibatkan keselamatan nyawa dan kelestarian ekosistem.
Syariat Islam meletakkan prinsip pemeliharaan nyawa sebagai keutamaan tertinggi dalam kerangka Maqasid al-Syariah, iaitu Hifz al-Nafs. Penekanan ini dinyatakan secara jelas menerusi dalil al-Quran berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
Surah al-Baqarah (195)
Dalil ini memberikan petunjuk secara umum bahawa menjadi keperluan bagi setiap individu dan pemerintah untuk menjauhi serta menghapuskan segala punca yang boleh membawa kepada kemusnahan nyawa.
Perkara ini kemudiannya dijelaskan lagi menerusi hadis Rasulullah SAW yang melarang daripada perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Bafginda SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.”
(Riwayat Ibn Majah)
Oleh yang demikian, kefahaman daripada hadis di atas juga memberikan maksud bahawa sebarang ancaman yang mendatangkan kemudaratan nyata kepada manusia, termasuklah serangan daripada haiwan liar, mestilah ditangani dengan langkah pencegahan yang tuntas bagi menjamin kelangsungan hidup manusia.
Di samping itu, perbahasan mengenai tuntutan untuk menyelamatkan diri daripada sebarang bentuk ancaman yang berisiko mengakibatkan kecederaan atau kematian juga telah dibincangkan oleh fuqaha terdahulu menerusi bab al-Siyal (الصيال). Antara perkara yang dibincangkan termasuklah hukum wajib bagi seorang muslim untuk mempertahankan dirinya apabila diancam oleh orang kafir, haiwan ternakan, muslim yang melakukan dosa seperti penzina yang telah berkahwin. Bahkan, dibenarkan juga untuk membunuh haiwan sekiranya berisiko mengakibatkan kematian kerana hakikat penyembelihan haiwan seperti haiwan ternakan di atas dunia ini demi memastikan kelangsungan hidup manusia[1].
Manusia dan Nikmat Akal dalam Pengurusan Alam
Dalam memahami realiti alamiah, Allah SWT telah menetapkan bahawa bumi ini dihuni oleh pelbagai makhluk yang saling berinteraksi dalam satu rantaian kehidupan yang kompleks. Sebagai makhluk yang dimuliakan, manusia dikurniakan nikmat akal fikiran yang membezakan mereka daripada hidupan lain. Hal ini telah dinyatakan menerusi firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki dari benda-benda yang baik serta Kami telah melebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Surah al-Isra’ (70)
Dalam konteks pengurusan alam sekitar, keistimewaan akal kurniaan Allah ini seharusnya dimanfaatkan untuk mencari jalan penyelesaian yang bersifat inovatif dan strategik, seperti pembinaan koridor ekologi dan sistem amaran awal, bagi memastikan keselamatan manusia terjamin tanpa perlu memusnahkan habitat asal haiwan secara sewenang-wenangnya.
Tanggungjawab Kolektif dan Syor Tindakan
Pendekatan dalam mendepani isu ancaman haiwan liar ini menuntut kerjasama kolektif dan bersepadu antara pelbagai pihak, memandangkan tindakan secara persendirian sering kali tidak mencapai matlamat keselamatan yang diingini. Pihak kerajaan dan badan berautoriti perlu memperkasakan penguatkuasaan undang-undang perlindungan serta menyediakan infrastruktur keselamatan yang lebih kukuh di kawasan titik panas (hotspot).
Di peringkat komuniti, anggota masyarakat bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran tentang etika berhadapan dengan haiwan liar serta mematuhi garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan. Sementara di peringkat keluarga, pihak ibu bapa atau penjaga perlu memberikan pendidikan dan nasihat kepada anak-anak berkenaan kewujudan haiwan liar yang berisiko mengakibatkan kecederaan dan kematian. Misalnya, ibu bapa melarang anak-anak daripada bermandi-manda di sungai yang diketahui menjadi habitat bagi buaya, memantau terlebih dahulu kawasan di luar rumah untuk mengelakkan daripada serangan anjing liar, mengelakkan anak-anak bermain di lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang haiwan berbisa dan seumpamanya. Pendidikan ini amat penting kerana ia berperanan sebagai langkah awal yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan kes-kes kecederaan atau kematian disebabkan oleh ancaman haiwan liar.
Oleh yang demikian, pendekatan holistik ini bukan sahaja mampu meminimumkan risiko serangan, malah memastikan pengurusan konflik manusia-haiwan dilakukan secara profesional dan beretika mengikut lunas undang-undang dan syariat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, isu ancaman haiwan liar terhadap keselamatan manusia perlu dipandang serius kerana ia melibatkan nyawa manusia. Pada masa yang sama, langkah pencegahan yang diambil dalam menangani isu ini bukanlah bertujuan untuk berlaku zalim ke atas haiwan, kerana kezaliman dalam konteks ini adalah perbuatan mencederakan atau membunuh haiwan secara sengaja dan tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Walhal, kawalan dan pencegahan terhadap ancaman haiwan liar dan binatang buas bertujuan memelihara keselamatan dan keseimbangan ekosistem tanpa memudarat atau memusnahkan alam sekitar yang dikurniakan oleh Allah SWT. Penyelesaian terhadap permasalahan ini selaras dengan prinsip Hifz al-Nafs (Memelihara Nyawa), Hifz al-Amn al-Mujtama’ (Memelihara Keamanan Masyarakat), dan Maqasid Umran (Memakmurkan Bumi). Oleh itu, setiap pihak perlu memainkan peranan berdasarkan kapasiti masing-masing bagi memastikan keharmonian antara manusia dan alam sekitar terus terpelihara di bawah naungan syariat Islam.
Wallahu a'lam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
12 SYAWAL 1447H / 1 APRIL 2026
Rujukan:
[1] Sheikh Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri (Beirut:Dar al-Fikr,2009), 2:369.
ويستثنى من وجوب الدفع على النفس ما لو قصدها مسلم معصوم ولو مجنوناً، فلا يجب الدفع عنها حينئذ بل يتدب الاستسلام له لخبر : كن خيراً بني آدم يعني قابيل وهابيل، بخلاف ما لو قصدتها كافر أو بهيمة أو مسلم غير معصوم كزان محصن، فيجب الدفع عنها حينئذ؛ لأن الاستسلام للكافر فيه ذل ديني، والبهيمة تذبح لاستبقاء الآدمي، فلا وجه للاستسلام لها وغير المعصوم كذلك.