Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 113/2026: KEPENTINGAN MENYIMPAN DI TABUNG HAJI UNTUK MENUNAIKAN HAJI BERBANDING BERHUTANG

TintaMufti.jpg

Soalan

Mengapakah umat Islam di Malaysia dituntut untuk menyimpan di Tabung Haji berbanding berhutang bagi menunaikan ibadah haji?

Jawapan Ringkas

Hukum asal seseorang tidak wajib berhutang untuk menunaikan haji kerana kewajipan haji hanya tertakluk kepada mereka yang mempunyai kemampuan. Oleh itu, menabung secara konsisten, khususnya di institusi rasmi seperti Lembaga Tabung Haji, adalah langkah paling tepat dan sangat digalakkan bagi mencapai tahap kemampuan tersebut.

Walaupun berhutang diharuskan bagi mereka yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk melunaskannya, amalan menabung lebih diutamakan bagi memastikan ibadah dilakukan dengan tenang, mengelakkan bebanan kewangan, serta menjauhkan diri daripada risiko hutang yang tidak dapat dibayar atau unsur riba.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

​Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat-syaratnya. Antara syarat utama kewajipan haji ialah kemampuan dari sudut kewangan, fizikal dan keselamatan perjalanan. Firman Allah SWT:

​وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

​Maksudnya: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.”

(Surah ali-Imran: 97)

Justeru, bagi merealisasikan tuntutan kemampuan ini, perancangan kewangan yang rapi melalui amalan menabung, terutamanya menerusi kemudahan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji, amat ditekankan berbanding mengambil jalan singkat dengan cara berhutang.

​Menabung Sebagai Jalan Mencapai Kemampuan

​Pada asasnya, Islam tidak membebankan umatnya, sehingga seseorang itu tidak diwajibkan berhutang semata-mata untuk menunaikan haji. Majoriti fuqaha daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa seseorang tidak dituntut meminjam wang untuk menunaikan haji. Perkara ini secara tidak langsung mengangkat kepentingan berusaha dan menabung.

​Imam al-Nawawi menyatakan:

​لا يلزمه الاستقراض للحج بلا خلاف عندنا

​Maksudnya: "Tidak diwajibkan ke atasnya meminjam untuk menunaikan haji, tanpa khilaf dalam mazhab kami."

 

​Begitu juga Ibn Qudamah menyebut:

​لا يلزمه أن يستقراض للحج لأنه لا يكون بذلك مستطيعاً

​Maksudnya: "Tidak wajib baginya meminjam untuk menunaikan haji kerana dengan itu dia belum dianggap sebagai orang yang berkemampuan."

​Pandangan para ulama ini jelas menunjukkan bahawa kewajipan haji tidak terbina di atas kemampuan seseorang mendapatkan pinjaman, sebaliknya bergantung kepada kemampuan sebenar yang dimiliki hasil daripada simpanan atau sumber kewangan sendiri.

Walaupun dalam keadaan tertentu berhutang untuk menunaikan haji adalah harus terutama sekiranya pembiayaan tersebut patuh syariah, individu itu mempunyai kemampuan kukuh untuk melunaskannya, dan ia tidak menjejaskan nafkah diri serta tanggungan, namun tabungan adalah jalan yang lebih selamat dan terjamin. Di Malaysia, inisiatif menyimpan di Tabung Haji bukan sahaja memudahkan pendaftaran haji, malah simpanan tersebut diuruskan secara patuh syariah serta memberikan pulangan yang halal.

​Berbanding berhutang, usaha menabung menghindarkan seseorang daripada risiko bebanan kewangan jangka panjang, kemungkinan tidak dapat melunaskan hutang, dan bahaya terjerumus ke dalam kancah riba. Ibadah yang dilakukan hasil titik peluh tabungan sendiri juga pastinya lebih mendatangkan ketenangan hati dan khusyuk.

Penekanan terhadap amalan menabung ini juga amat bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah, terutamanya dalam aspek pemeliharaan harta (hifz al-mal) dan pemeliharaan agama (hifz al-din). Melalui perancangan kewangan yang diurus dengan baik dan dipercayai seperti Tabung Haji, kemaslahatan ekonomi individu serta institusi kekeluargaan dapat dipelihara daripada sebarang kemudaratan hutang pada masa hadapan. Pada masa yang sama, kelapangan fikiran tanpa ikatan pinjaman memastikan tuntutan agama dalam melaksanakan haji dapat disempurnakan dengan jiwa yang tulus, penyerahan diri yang bulat kepada Allah SWT, dan terpelihara daripada sebarang gangguan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat disimpulkan bahawa menabung adalah jalan yang paling afdal dan diutamakan untuk menunaikan haji. Memandangkan hukum asal berhutang untuk ibadah ini adalah tidak wajib dan kurang digalakkan, maka membina kemampuan kewangan secara berperingkat dengan menyimpan di Tabung Haji adalah solusi terbaik yang selari dengan kehendak syarak.

​Adapun seseorang yang sedang berusaha menabung dan belum mencapai tahap kemampuan kewangan yang mencukupi tidak berdosa menangguhkan ibadah haji, sehinggalah Allah SWT mengurniakan kemampuan kepadanya.

Wallahu a'lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

13 MUHARAM 1448H / 29 JUN 2026