
PENGAJARAN AYAT 63 SURAH AL-FURQAN
Pendahuluan
Islam amat menitikberatkan pembentukan akhlak mulia dalam setiap aspek kehidupan, termasuk kepimpinan, pentadbiran dan pengurusan perbezaan pandangan. Justeru, al-Quran menggariskan panduan agar setiap Muslim sentiasa mengamalkan sifat tawaduk, sabar, bijaksana dan santun ketika menghadapi cabaran.
Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya kepada warga Kementerian Kewangan, telah mengingatkan kepentingan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan serta kesabaran menghadapi kritikan dan kecaman. Beliau turut mengaitkan perkara tersebut dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 63:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
Maksudnya: Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.
Surah al-Furqan (63)
Antara ungkapan beliau ialah:
“Mungkin Menteri, mungkin Ketua Pengarah, mungkin Pengarah, mungkin Ketua Unit, tapi semua kita tanpa kecuali adalah Ibadurrahman – hamba Tuhan.”
Beliau turut menegaskan bahawa kecaman dan provokasi tidak sewajarnya dibalas dengan makian atau fitnah, sebaliknya dengan pendekatan qalu salama.
Sehubungan itu, tinta kali ini akan menghuraikan pengajaran ayat tersebut berdasarkan pandangan ulama tafsir, khususnya berkaitan kepimpinan dan adab menghadapi kritikan berlandaskan prinsip mizan, iaitu keseimbangan antara kesantunan, keterbukaan menerima teguran serta tuntutan keadilan dan kebenaran.
Tawaduk Merupakan Asas Kepimpinan
Allah SWT menyifatkan golongan Ibad al-Rahman sebagai mereka yang:
يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا
Maksudnya: Berjalan di bumi dengan sopan santun.
Imam al-Tabari menjelaskan bahawa ungkapan ini menggambarkan sifat santun, ketenangan dan kewibawaan, tanpa kesombongan dan keangkuhan.
Dalam konteks kepimpinan, ayat ini mengingatkan bahawa pangkat dan kedudukan bukanlah alasan untuk seseorang berasa lebih mulia daripada orang lain. Sebaliknya, semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar tuntutan untuk memiliki sifat tawaduk dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Justeru, peringatan Perdana Menteri bahawa setiap individu, tanpa mengira kedudukan, merupakan hamba Allah SWT adalah selari dengan semangat kehambaan yang ditekankan oleh al-Quran. Namun, gelaran Ibad al-Rahman dalam konteks ayat ini secara khusus merujuk kepada hamba-hamba yang memiliki sifat terpuji sebagaimana dijelaskan dalam rangkaian ayat tersebut.
Memahami Maksud al-Jahilun
Dalam memahami maksud golongan al-jahilun dalam ayat ini, Imam al-Tabari menjelaskan bahawa ia merujuk kepada mereka yang mengucapkan perkataan yang tidak disenangi terhadap hamba-hamba Allah SWT.
Istilah al-jahilun tidak semestinya merujuk kepada individu yang tidak mempunyai ilmu, bahkan turut menggambarkan mereka yang berkelakuan kasar, menghina dan tidak menjaga adab ketika berkomunikasi.
Oleh itu, tidak semua kritikan atau perbezaan pandangan dikira sebagai satu bentuk kejahilan. Hal ini kerana, kritikan yang berasaskan fakta dan bertujuan melakukan penambahbaikan merupakan sebahagian daripada amalan nasihat yang dituntut oleh Islam. Perkara ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ
Maksudnya: Agama itu adalah nasihat.
(Riwayat Muslim)
Panduan Menghadapi Kritikan
Ungkapan qalu salama merupakan antara ciri penting golongan Ibad al-Rahman, khususnya dalam menguruskan keadaan yang boleh mencetuskan kemarahan dan pertelingkahan.Imam al-Tabari menjelaskan bahawa ungkapan qalu salama bermaksud memberikan jawapan dengan perkataan yang baik, benar dan tepat. Selain itu, Imam al-Qurtubi pula menukilkan pandangan Mujahid bahawa maksud salama ialah sadadan. Sadadan merujuk kepada perkataan yang baik dan tepat. Beliau turut menghuraikan bahawa ayat ini membawa pengertian memberikan respons terhadap golongan yang jahil dengan cara yang lembut dan tidak mencetuskan permusuhan.
Ini menunjukkan bahawa seseorang Muslim tidak seharusnya membalas penghinaan dengan penghinaan atau provokasi dengan tindakan yang sama. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Maksudnya: Bukanlah orang yang kuat itu orang yang mahir bergusti, tetapi sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.
(Riwayat al-Bukharidan Muslim)
Sehubungan itu, seruan Perdana Menteri agar penjawat awam tidak membalas makian dengan makian atau fitnah dengan fitnah adalah bertepatan dengan tuntutan akhlak Islam.Walau bagaimanapun, prinsip qalu salama tidak bermaksud seseorang perlu berdiam diri terhadap semua kritikan. Sebaliknya, setiap teguran yang berasas perlu diberikan perhatian dan dijawab secara berhikmah, khususnya apabila melibatkan amanah dan kepentingan masyarakat.
Penutup
Surah al-Furqan ayat 63 menekankan kepentingan sifat tawaduk, kesantunan dan kebijaksanaan dalam menghadapi kritikan. Penghayatan ayat ini menuntut agar setiap pemimpin bukan sahaja bersabar menghadapi provokasi, bahkan bersikap terbuka menerima teguran yang berasas serta berlaku adil terhadap perbezaan pandangan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita akhlak yang mulia dalam melaksanakan setiap amanah.
Wallahu a'lam.
SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN