Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #4: KENAPA ORANG ISLAM BERPUASA PADA BULAN RAMADHAN?

 

Soalan: Seorang kawan saya bukan Muslim bertanya, "Kenapakah umat Islam berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan? Apakah faedah puasa?" Boleh Datuk berikan jawapan yang sesuai?

Jawapan:

Semasa Ramadhan, Muslim berpuasa bermula terbit matahari sehingga tenggelam matahari selama sebulan. Puasa itu adalah dengan tidak mengambil makanan dan minuman semasa siang hari. Bagi pasangan yang berkahwin, mereka juga tidak dibenarkan melakukan persetubuhan semasa berpuasa di siang hari. Dalam Bahasa Arab, puasa dipanggil sebagai al-saum (الصوم). Umat Islam akan bangun awal pagi untuk bersahur. Pada penghujung hari (ketika tenggelam matahari), puasa dikira selesai dengan Muslim dibenarkan makan seperti biasa. Selepas berbuka puasa, Muslim akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak seperti biasa serta ditambah dengan solat Tarawih di masjid. Dalam bulan Ramadhan, Muslim digalakkan bersedekah, berzikir, membaca al-Qur'an dan melakukan pelbagai kebaikan. Kebiasaannya, al-Qur'an yang mempunyai 114 surah yang merangkumi 6236 ayat dibaca dan ditamatkan dalam tempoh sebulan Ramadhan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa al-Qur'an adalah satu-satunya kitab suci yang dibaca dan dikhatamkan setiap masa.

Kenapa Muslim Berpuasa?

Muslim berpuasa kerana ia adalah perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

 يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah:183)

 

Mungkin sudah terlalu banyak kajian-kajian saintifik yang boleh dibaca berkenaan kelebihan berpuasa. Di sini, kami cuma ingin memfokuskan 3 faedah utama puasa di sisi seorang Muslim. Bagi Muslim, terdapat pelbagai faedah berpuasa. Antaranya adalah:

  1. Ia membantu seseorang untuk menghayati kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dengan berlapar dan rasa dahaga sebagaimana yang dirasai oleh mereka. Dalam erti kata lain, seseorang itu akan lebih bersyukur dengan kesenangan hidupnya dan tidak lokek yang membantu mereka yang dalam kekurangan.
  2. Ia memberi seseorang kemampuan untuk mengawal kehendak diri dan nafsu. Semasa berpuasa, umat Islam belajar untuk mengawal kehendak diri seperti lapar dan dahaga serta mengelakkan diri daripada berbuat kejahatan. Seterusnya, ia mengelakkan Muslim bagi melakukan perkara yang lebih membawa kerosakan kepada diri dan aktiviti-aktiviti lain yang tidak bermanfaat.
  3. Ia menawarkan masa bagi Muslim untuk mensucikan jiwa mereka dan membangunkan kesedaran kemanusian dan spiritual. Ramadhan adalah bulan pembersihan jiwa bagi Muslim dan mereka biasanya menjemput sanak saudara dan sahabat handai berbuka puasa di rumah dan solat berjemaah. Begitu juga sifat pemaaf dan jujur disuburkan dalam bulan Ramadhan ini.

Selain itu, antara kebaikan puasa dari sudut kesihatan adalah:

    1. Mengurangkan berat badan
    2. Menstabilkan gula dalam darah dan meningkatkan kepekaan insulin.
    3. Mengurangkan tahap kolestrol LDL (low density lipo-protein) dengan meningkatkan kolestrol HDL (high density lipo-protein).
    4. Mengurangkan tekanan darah tinggi.
    5. Memberi rehat kepada sistem penghadaman.
    6. Mengawal stres

Ini bermakna, seorang Muslim yang benar-benar berpuasa dan patuh kepada agama semestinya akan menjadi Muslim yang baik dan disenangi semua lapisan masyarakat. Itulah faedah-faedah terbesar berpuasa dalam agama Islam yang mana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya sahaja bahkan seluruh masyarakat sekitarnya tanpa mengira agama dan bangsa.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
23 Mei 2017 bersamaan 26 Sya'ban 1438H