Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 304 (27 JUN 2016 M / 22 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Assalammualaikum tuan.

Saya ada kemusykilan tentang waktu imsak.adakah masuknya waktu imsak kita tidak dibenarkan makan/minum atau imsak itu sendiri adalah masuk waktu subuh. Terima kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Ada waktu imsak yang yang disunatkan kita berhenti makan sebagai sikap berhati-hati dengan munculnya fajar yang menandakan subuh.

Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW dan Zaid bin Tsabit bersahur bersama. Apabila selesai daripada sahur mereka berdua, Nabi SAW bangun lalu bersolat. Kami (para sahabat) bertanya kepada Anas, ‘Berapa kadar masa antara waktu sahur mereka dan masuknya mereka untuk bersolat?’ Anas menjawab, ‘Kadar apa yang boleh dibaca oleh seorang lelaki sebanyak lima puluh ayat.’

Hadis riwayat Imam Bukhari (550) dan Imam Muslim (1097).

Tujuan penandaan waktu imsak ini ialah sebagai langkah mengelakkan syak, sama ada sudah terbit fajar atau belum, dengan afdal meninggalkan makan dan minum sedikit masa sebelum terbitnya fajar.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/189)

Manakala waktu imsak dalam erti kata puasa itu sendiri ialah wajib menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, bermula terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari, seperti mana firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).

(Surah al-Baqarah, 2:187)

Wallahua’lam.