Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #432 : TUNTUTAN KERJA HALAL

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 432 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

 

Assalamualaikum wbt,

Anak saya sedang bekerja di sebuah syarikat IT. Baru2 ini beliau dikehendaki membuat pengesanan masalah sistem perisian dan membaikinya di sebuah 'bar'. Apakah hukum bekerja di syarikat ini? Minta penjelasan. Terima kasih.

 

JAWAPAN:

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikummussalam warahmatullahhi wabarakatuh, terima kasih kepada tuan yang bertanya.

Tuntutan mencari pendapatan yang halal
Islam mengiktiraf tanggungjawab setiap individu dalam memenuhi keperluan dirinya dan mereka yang dibawah tanggungannya. Oleh itu Allah Taala mengkehendaki kita untuk mencari pendapatan yang halal.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Jumu’ah, ayat 10

وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Mafhumnya: “Dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan ), supaya kamu berjaya dunia dan akhirat”.

Seseorang yang bekerja ditempat yang syubhah dan haram tentunya terlepas daripada mendapat keberkatan Allah Taala. Sebaiknya dihindari, namun bila terjebak juga, misalnya ia menanggung beban bagi menafkahi diri, keluarga atau lainnya apabila ia tidak menerima pekerjaan itu maka ia akan kelaparan dan kesusahan, maka bolehlah ia terus bekerja ditempat itu dengan syarat terus berusaha mencari pekerjaan yg halal dan lebih baik.

Sesungguhnya jauh berbeza antara orang yang terjebak dalam hal yang haram namun terus berusaha menyelamatkan dirinya agar segera mendapatkan hal pekerjaan atau penghasilan yang diredhainya, berbanding dengan seseorang yang melakukan perkara yang haram tetapi tidak berusaha menghindarinya dan berasa tenang terhadap perkara yang tidak diredai-Nya .

Allah Taala akan melimpahkan keluasan bagi mereka yang berusaha mencari yang halal, paling tidak Allah akan memaafkan hamba-Nya ketika berkerja ditempat tempat itu kerana berusaha untuk mencari yang halal namun belum berhasil.

Mengenai permasalahan anak tuan, sekiranya diminta oleh majikannya untuk memasang atau membaiki perisian di bar atau ke tempat-tempat yang tidak dibenarkan syarak, adalah dinasihatkan agar anak tuan tidak terlibat dalam memasang perisian di bar tersebut supaya tidak terjebak kepada perkara syubhat. Ini kerana keberadaan seseorang muslim berada dalam bar tersebut pun telah mengundang pelbagai fitnah. Apatah lagi dikhuatiri akan terjebak dalam membantu tuan premis tersebut ke arah kemaksiatan. Dinasihatkan agar anak tuan mencari alternatif lain seperti mewakilkan kepada pekerja non-muslim untuk memasang perisian di tempat yang terlarang tersebut. Sekiranya keadaan mengizinkan, mintalah anak tuan untuk berbincang secara harmoni dengan majikannya mengenai perkara yang boleh dilakukan atau tidak bagi seseorang muslim.

Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ الْحَلالَ بَيِّنٌ ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ ، أَلا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى ، أَلا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ ، ألا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، أَلا وَهِيَ الْقَلْب
Mafhumnya: “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara kedua-duanya terdapat perkara yang mushtabahat (tidak jelas status halam dan haram ) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. sesiapa yang menjaga perkara yang mushtabahat itu maka ia telah menjaga kesucian kehormatan dan agamanya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah adalah seperti pengembala yang berada di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Maka larangan Allah di atas muka bumi ini adalah perkara yang diharamkannya. Ketahuilah di dalam badan manusia ada seketul daging apabila baik ia maka baik keseluruhannya, tetapi apabila binasa maka binasalah keseluruhannya, ia adalah jantung (hati )”.(HR Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan menjauhi perkara syubhat itu dapat mengelakkan kita dari terjerumus kepada perkara yang haram.

والله أعلم وأحكم