Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

adab selepas pernikahan

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 186 (16 FEBRUARI 2016 M / 7 JAMADILAWAL 1437 H)

SOALAN

Assalamualaikum al-Fadhil Tuan Mufti.

Saya ingin bertanyakan soalan, apakah amalan yang paling baik dan bertepatan mengikut sunnah semasa majlis akad nikah dan kenduri? Betulkah amalan yang dibuat masyarakat di Malaysia seperti meletakkan tangan di atas kepada pengantin perempuan selepas akad? Apa hukum solat sunat pengantin selepas akad dan upacara membatalkan air sembahyang?

 

Terima kasih tuan mufti.
JAWAPAN: Waalaikumussalam wbt,

Sunat hukumnya mendoakan isteri  yang baru dinikahi dengan doa sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْ

 

Maksudnya: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.

 

Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain.

 

Solat sunat pengantin juga digalakkan melakukannya berdasarkan amalan para sahabat. Seorang lelaki datang bertemu Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma  dan berkata: Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dara tetapi aku amat takut kalau-kalau dia membenci aku. Maka berkata Abdullah: Sesungguhnya kemesraan itu datangnya daripada Allah, dan kebencian itu datang daripada Syaitan, kerana Syaitan itu akan mendatangkan benci pada apa yang Allah halalkan, maka ketika kamu mendatangi isteri kamu, arahkan dia untuk bersolat di belakang kamu (yakni jadi makmum) sebanyak dua rakaat.

 

Abdullah Ibn Mas`ud juga mengajarkan doa:

 

اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ

  Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.”

Hadis riwayat Abdurrazzaq (10460)  

Ulama juga menyebut  adab solat sunat ini dilaksanakan di tempat tertutup supaya terjaga aurat isteri. Manakala, upacara membatalkan air sembahyang bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat semata-mata.

 

Wallahua`lam.