Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1063 : HUKUM BERDIRI MENYAMBUT KETIBAAN SESEORANG

ALKAFI1063

Soalan:

Salam tuan Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hukum berdiri ketika menyambut ketibaan individu tertentu, adakah ia dibolehkan ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkaitan isu ini, Imam Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A beliau berkata: Sesungguhnya penduduk Quraizhah apabila mereka bersetuju untuk menerima hukum (pentadbiran) dari Sa’ad maka Nabi S.A.W menghantarnya kepada mereka. Lalu beliau datang menaiki keldai maka baginda Nabi S.A.W berkata:

‏ قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ

Maksudnya: Berdirilah kamu semua kepada tuan kamu.

Dalam riwayat yang lain baginda S.A.W bersabda:

إِلَى خَيْرِكُمْ

Maksudnya: Berdirilah kepada orang yang baik dari kalangan kamu.

Riwayat Abu Dawud (5215)

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Telah berkata sebahagian para ulama: ‘’Hadis ini menunjukkan kepada perbuatan memuliakan golongan yang mempunyai kelebihan dari sudut keilmuan, kesolehan, atau kemuliaan dengan cara berdiri apabila mereka datang’’. Demikianlah pendapat jumhur para ulama yang berhujah dengan hadis ini.

Kami menyatakan bahawa keharusan yang diistinbat daripada hadis tersebut bukanlah datang secara mutlak. Bahkan ia terikat dengan tujuan mereka yang melakukan amalan berdiri menyambut ketibaan seseorang tersebut. Ini bermaksud, sekiranya berdiri itu bagi tujuan ikram dan ihtiram (memuliakan dan menghormati), maka ia dibolehkan. Namun jika ia dilakukan untuk mengagung-agungkan individu tertentu, maka ia ditegah.

Ini berdasarkan pendapat dari Hujjat al-Islam Al-Ghazali yang berkata: ‘’Perbuatan berdiri adalah makruh sekiranya tujuan untuk mengagung-agungkan (seseorang), dan tidak makruh dengan tujuan untuk memuliakan’’. Rujuk Mirqaat Al-Mafatih, Mulla Ali Al-Qari (7/2972).

Manakala Imam Al-Nawawi pula dalam mengulas berkenaan isu ini beliau berkata: ‘’Berdiri disebabkan (kehadiran) ahl al-fadhl (golongan yang memiliki kelebihan dan kebaikan) serta golongan yang mempunyai hak untuk dihormati, dengan tujuan untuk memuliakan mereka, telah datang padanya hadis-hadis dari peninggalan para salaf, dan juga pendapat-pendapat para ulama padanya’’.

Meskipun begitu, terdapat hadis lain yang dijadikan hujah oleh sebahagian ulama dalam mengkritik amalan berdiri ketika menyambut seseorang. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:

لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ 

Maksudnya: Tidak ada seorang pun yang paling dicintai oleh mereka (para sahabat) berbanding Rasulullah S.A.W. Dan mereka itu setiap kali melihat baginda S.A.W, mereka tidak berdiri kerana mereka tahu Rasulullah tidak menyukai perkara tersebut.

Riwayat Al-Tirmizi (2754)

Riwayat ini dengan riwayat yang kami sebutkan sebelumnya pada menyatakan keharusan berdiri apabila menyambut seseorang pada zahirnya kelihatan saling bercanggahan antara satu sama lain. Dalam berhadapan dengan riwayat-riwayat sebegini, cara yang terbaik adalah kita menggunakan kaedah Al-Jam’u wal- Taufiq (menghimpunkan dan mengharmonikan) antara kedua-dua dalil.

Justeru, ia diharmonikan dengan cara meletakkan keharusan dan kemakruhan perbuatan berdiri bagi menyambut seseorang terikat dengan niat mereka yang melakukannya serta melihat kepada siapakah perbuatan tersebut ditujukan.

Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Pendapat yang kami pilih adalah, ia (perbuatan berdiri tersebut) hukumnya mustahab kepada sesiapa yang pada dirinya kelebihan yang zahir dari sudut keilmuan dan juga kesolehan’’. Rujuk Al-Azkar, Al-Nawawi (Hlm. 341).

Manakala di tempat yang lain beliau menyebut: ‘’Pendapat yang kami pilih dan kami beramal dengannya serta merupakan pendapat yang masyhur dari ucapan-ucapan dan perbuatan para salaf adalah keharusan untuk berdiri serta mustahabnya ia berdasarkan wajah (bentuk) yang telah kami sebutkan’’. Rujuk Al-Mantsurat, Al-Nawawi (Hlm. 110).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan berdiri ketika menyambut ketibaan tokoh-tokoh yang dihormati dari sudut keilmuan, kesolehan, kewarakan, dan kemuliaan mereka, hukumnya adalah dibolehkan sekiranya ia bertujuan untuk meraikan dan memuliakan mereka.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.