Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1947: ADAKAH WAJIB BERKUMUR DAN MEMASUKKAN AIR KE DALAM HIDUNG KETIKA MANDI JUNUB?

ADAKAH_WAJIB_BERKUMUR_DAN_MEMASUKKAN_AIR_KE_DALAM_HIDUNG_KETIKA_MANDI_JUNUB.jpg

 

Soalan:

Adakah kita wajib berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mandi junub?

Ringkasan Jawapan:

Menurut mazhab Syafie, berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tidak diwajibkan ketika mandi junub. Hal ini kerana bahagian dalam mulut dan hidung tidak termasuk anggota zahir yang wajib diratakan air ketika mandi junub.

Huraian Jawapan:

Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

وأقله نية رفع جنابة أو استباحة مفتقر إليه أو أداء فرض الغسل مقرونة بأول فرض وتعميم شعره وبشره.

Maksudnya: Sekurang-kurang (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.[1]

Namun meratakan air ke seluruh bulu dan tubuh badan itu terkecuali pada beberapa tempat, seperti bahagian dalam hidung, bulu yang tumbuh padanya dan bahagian dalam mulut.[2]

Oleh kerana itu menurut mazhab Syafie, berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tidak diwajibkan ketika mandi junub. Imam al-Khatib al-Syirbini berkata:

(وَلَا تَجِبُ) فِي الْغُسْلِ (مَضْمَضَةٌ وَ) لَا (اسْتِنْشَاقٌ) بَلْ يُسَنُّ كَمَا فِي الْوُضُوءِ وَغُسْلِ الْمَيِّتِ

Maksudnya: Tidak diwajibkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung (istinsyaq) ketika mandi junub, bahkan ia hanya sunat, seperti ketika wuduk dan mandi jenazah.[3]

Hal ini kerana bahagian dalam mulut dan hidung bukan bahagian yang wajib diratakan air, seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Sulayman al-Bujairami:

قَوْلُهُ (لَا تَجِبُ مَضْمَضَةٌ إلَخْ) أَيْ لِأَنَّ مَحَلَّهُمَا لَيْسَ مِنْ الظَّاهِرِ وَإِنْ انْكَشَفَ بَاطِنُ الْفَمِ وَالْأَنْفِ بِقَطْعِ سَاتِرِهِمَا

Maksudnya: Kata Syeikh Zakariyya al-Ansari “tidak wajib berkumur dan istinsyaq ketika mandi wajib” kerana kedua-dua anggota perbuatan itu bukan termasuk bahagian badan yang zahir, meskipun bahagian dalam mulut dan hidung itu terbuka disebabkan organ penutupnya terputus.[4]

Wallahu a‘lam.

Rujukan: 

[1] Rujuk Minhaj al-Talibin, hlm. 14

[2] Rujuk juga Fath al-Rahman bi Syarh Zubad ibn Ruslan, hlm. 205

أنه لا يجب غسل باطن العين والفم والأنف، ولا شعر نبت فيها

[3] Mughni al-Muhtaj 1/219

[4] Hasyiyah al-Bujairami ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/94