SOALAN:
Saya dulu macam pernah dengar yang seluar kotor disebabkan air mazi boleh dibersihkan dengan renjis dengan air sahaja. Betul ke macam tu? Adakah dia dikira macam najis yang ringan?
RINGKASAN JAWAPAN:
Mengikut mazhab Syafi'i, air mazi dikategorikan sebagai najis mutawassitah seperti air kencing dan seumpamanya. Justeru, tatacara pembersihan pakaian yang terkena air mazi adalah sama sahaja seperti membersihkan pakaian yang terkena najis mutawassitah yang lain, iaitu dengan membasuh kawasan yang terkena najis tersebut menggunakan air mutlak sehingga hilang rasa, bau, dan warna najis tersebut.
HURAIAN JAWAPAN:
Air mazi merupakan salah satu cecair yang keluar daripada kemaluan. Para fuqaha mendefinisikan air mazi sebagai air pekat yang berwarna putih jernih atau kekuningan, melekit, dan keluar ketika permulaan syahwat sebelum kemuncaknya.[1]
Fuqaha dari kalangan empat mazhab bersepakat bahawa air mazi ini adalah dikira sebagai najis mutawassitah.[2] Justeru, pakaian yang terkena air mazi ini mestilah dibersihkan seperti juga pakaian yang terkena najis mutawassitah yang lain seperti air kencing dan seumpamanya. Hal ini adalah berdasarkan kepada arahan Rasulullah SAW untuk membersihkan kawasan yang terkena air mazi seperti yang diceritakan oleh Saidina ‘Ali seperti berikut:
كنتُ ألقَى مِنَ المذْيِ شدةً وعناءً ، فكنتُ أُكْثِرُ منه الغسلَ . فذكرْتُ ذلِكَ لِرَسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ وسألتُهُ عنْهُ ؟ فقال : إِنَّما يجزِئُكَ منْ ذلِكَ الوضوءُ فقلتُ يا رسولَ اللهِ ، كيْفَ بما يُصِيبُ ثوبِي منْهُ ؟ قال : يكفيكَ أنْ تأخُذَ كفًّا مِنْ ماءٍ فتنضَحَ بِهِ ثوبَكَ حيثُ ترَى أنَّهُ أصابَ مِنْهُ
Terjemahan: “Aku dahulunya merasakan penat dan berat disebabkan air mazi, kerana aku kerap mandi disebabkannya. Maka aku pun menceritakan hal ini kepada Rasulullah SAW dan bertanyakan kepada Baginda. Baginda menjawab: “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau basuhkan pada pakaian yang engkau lihat pada bahagian yang terkena itu”.
[Riwayat al-Tirmizi]
Arahan Rasulullah SAW di atas agar membersihkan pakaian yang terkena air mazi jelas menunjukkan bahawa air mazi ini dikira sebagai najis, dan mestilah dibersihkan.
Seseorang yang terkeluar air mazi daripada kemaluannya dikira sebagai seorang yang berhadas kecil. Justeru, dia mestilah membersihkan kemaluan dan pakaian yang terkena air mazi tersebut, dan seterusnya berwuduk untuk mengangkat hadas kecil.
Tatacara Penyucian Pakaian Yang Terkena Air Mazi
Manakala tatacara pembersihan pakaian yang terkena air mazi pula adalah sama sahaja seperti membersihkan sesuatu pakaian yang terkena najis mutawassitah lain, iaitu pakaian tersebut perlu dibasuh dengan air mutlak sehingga air mazi tersebut hilang.
Walaupun di dalam hadis yang dinyatakan tadi Rasulullah SAW menggunakan perkataan "نضح", yang boleh membawa kepada makna "merenjiskan air", namun perkataan ini juga turut boleh membawa kepada makna "membasuh".[3]
Dalam konteks hadis ini, perkataan "نضح" difahami sebagai makna “basuh” kerana berdasarkan kepada riwayat lain yang menunjukkan Rasulullah SAW mengarahkan agar seseorang yang terkeluar air mazi untuk membasuh kemaluannya.[4] Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina ‘Uthman bin ‘Affan:[5]
أَرَأَيْتَ إذَا جَامع الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ فَلَمْ يُمْنِ؟ قالَ عُثْمَانُ: يَتَوَضَّأُ كما يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ويَغْسِلُ ذَكَرَهُ قالَ عُثْمَانُ: سَمِعْتُهُ مِن رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَسَأَلْتُ عن ذلكَ عَلِيَّ بنَ أبِي طَالِبٍ، والزُّبَيْرَ بنَ العَوَّامِ، وطَلْحَةَ بنَ عُبَيْدِ اللَّهِ، وأُبَيَّ بنَ كَعْبٍ - رَضِيَ اللَّهُ عنْهمْ - فأمَرُوهُ بذلكَ.
Terjemahan: “Apa pandangan kamu jika seseorang lelaki bermesra-mesra dengan isterinya tetapi tidak terkeluar air mani? Uthman berkata: dia perlu ambil wuduk seperti wuduk untuk Solat, dan perlu membasuh kemaluannya. Uthman berkata: Aku mendengar yang demikian daripada Rasulullah SAW, lalu aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib, al-Zubayr bin al-‘Awwam, Talhah bin ‘Ubaydillah, Ubayy bin Ka’b -R.Anhum- maka mereka juga menyuruh demikian”.
[Riwayat al-Bukhari]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
- Air mazi adalah merupakan salah satu cecair yang keluar daripada kemaluan ketika terdapat rangsangan nafsu syahwat, dan ia dikira sebagai salah satu najis sederhana (mutawassitah).
- Tatacara pembersihan pakaian yang terkena air mazi adalah sama sahaja seperti membersihkan pakaian yang terkena najis mutawassitah yang lain.
- Pakaian yang terkena air mazi hendaklah disucikan dengan membasuh kawasan yang terkena najis tersebut sehingga hilang rasa, bau, dan warna najis tersebut.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Abu Bakr 'Uthman Shata al-Dimyati (1997). I'anah al-Talibin 'ala Hall Alfaz Fath al-Mu'in, Beirut: Dar al-Fikr li al-Tiba'ah wa al-Nashr wa al-Tawzi', 1:100.
[2] Muhammad bin ‘Aliy al-Shawkaniy (1993), Nayl al-Awtar Sharh Muntaqa al-Akhbar min Ahadith Sayyid al-Akhyar, Mesir: Dar al-Hadith, 1:73.
وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ الْمَذْيَ نَجِسٌ، وَلَمْ يُخَالِفْ فِي ذَلِكَ إلَّا بَعْضُ الْإِمَامِيَّةِ مُحْتَجِّينَ بِأَنَّ النَّضْحَ لَا يُزِيلُهُ وَلَوْ كَانَ نَجِسًا لَوَجَبَتْ الْإِزَالَةُ وَيَلْزَمُهُمْ الْقَوْلُ بِطَهَارَةِ الْعَذِرَةِ
[3] Muhyi al-Din Nawawi (1392H), al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 3:213.
فَإِنَّ النَّضْحَ يَكُونُ غَسْلًا وَيَكُونُ رَشًّا
[4] Muhyi al-Din Nawawi (1392H), al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 3:213.
وَقَدْ جَاءَ فِي الرِّوَايَةِ الْأُخْرَى يَغْسِلُ ذَكَرَهُ فَيَتَعَيَّنُ حَمْلُ النَّضْحِ عَلَيْهِ
[5] Hadis riwayat al-Bukhari (292).