Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2048: HUKUM MAKAN DI RESTORAN TIADA LOGO HALAL

HUKUM_MAKAN_DI_RESTORAN_TIADA_LOGO_HALAL.jpg

SOALAN

Assalamualaikum, mohon penjelasan. Bolehkah makan di restoran-restoran viral di shopping mall yang tidak ada logo halal tetapi ramai orang Melayu makan?

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum mencari yang halal adalah wajib. Namun begitu, makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat membeli-belah mahupun di tepi jalan adalah diharuskan selagi makanan tersebut diyakini tidak mengandungi bahan yang haram dan proses penyediaannya menepati kehendak syarak. Sekiranya terdapat keraguan berkenaan status halal makanan tersebut, maka perlu ditinggalkan dan mencari restoran makanan halal yang lain.

Walau bagaimanapun, dinasihatkan agar memilih restoran yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mengelakkan sebarang keraguan dan syubhat.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.

Umat Islam perlu mengambil berat berkenaan status halal dan haram sebelum memilih sesuatu makanan atau minuman. Mencari yang halal merupakan satu kewajipan bagi setiap muslim berdasarkan sabda Rasulullah SAW berikut:

‌أَيُّهَا ‌النَّاسُ! ‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا. ‌وَإِنَّ ‌اللَّهَ ‌أَمَرَ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌بما ‌أمر ‌به ‌المرسلين. فقال: {يا أيها الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بما تعملون عليم}. وقال: {يا أيها الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ}. ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ. أَشْعَثَ أَغْبَرَ. يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ. يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وغذي بالحرام. فأنَّى يُسْتَجاب لِذَلِك؟

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para rasul. Firman Allah: “Wahai para rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” Firman Allah juga: “Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah kami berikan kepada kamu.” Kemudian Rasulullah SAW menceritakan keadaan seorang lelaki yang telah merantau jauh, kusut masai dan berdebu, sambil menadahkan kedua tangannya ke langit (berdoa): “Ya Tuhanku, Tuhanku”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Oleh yang demikian, bagaimana doanya akan dimakbulkan?

(Riwayat Muslim)

Status halal bagi sesuatu makanan atau minuman boleh ditentukan melalui bahan yang terkandung dalam penghasilan makanan atau minuman tersebut. Selagi makanan atau minuman tersebut diyakini tidak menggunakan sebarang bahan yang haram, maka ia dihukumkan halal.

Antara ciri-ciri makanan dalam kategori haiwan yang halal dimakan ialah haiwan yang telah disembelih secara syarak serta tidak mengandungi sebarang campuran khinzir, lemak, gelatin atau daging daripada haiwan yang tidak disembelih secara syarak. Begitu juga makanan lain yang tidak berunsurkan arak. Semua perkara ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-An‘am : 145)

Justeru, sebagai pengguna dan pelanggan, kita wajib mengambil maklum berkenaan bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan atau minuman dan memastikan tiada sebarang bahan yang haram dimakan.

Selain itu, status halal bukan sahaja dilihat berdasarkan bahan yang terkandung dalam makanan tetapi juga diambil kira tahap kebersihan, baik dan selamat selari dengan kaedah halalan toyyiban iaitu halal lagi baik. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.

(Surah al-Ma’idah: 88)

Oleh yang demikian, makanan dan minuman tersebut perlu dipastikan halal lagi baik dan proses penyediaannya menepati kaedah yang ditetapkan oleh syarak walau siapa sahaja yang menyediakannya sama ada beragama Islam mahupun tidak. Sebarang makanan yang berkemungkinan bercampur penyediaannya dengan makanan tidak halal adalah diragui kehalalannya dan perlu ditinggalkan serta berusaha mencari makanan halal yang lain. Keadaan ini sangat bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW berikut:

دَعْ ما يَريبُك إلى ما لا يَريبُك

Maksudnya: “Tinggalkan apa yang kamu ragukan dengan mengambil apa yang kamu tidak ragukan.

(Riwayat al-Tirmidzi)

KESIMPULAN

i. Makan di restoran yang tidak mempunyai logo halal sama ada di pusat membeli-belah mahupun di tepi jalan adalah diharuskan selagi makanan tersebut diyakini tidak mengandungi bahan yang haram dan proses penyediaannya menepati kehendak syarak. Sekiranya terdapat keraguan berkenaan status halal makanan tersebut, maka perlu ditinggalkan dan mencari restoran makanan halal yang lain.

ii. Sebagai pengguna muslim, kita perlu berusaha mencari yang halal dan menjauhi sebarang perkara yang meragukan kerana ia lebih dekat kepada takwa. Berikut merupakan sedikit panduan untuk memilih makanan dan minuman di luar negara:

  • Mencari restoran atau kedai makan yang menyediakan makanan halal atau mempamerkan logo halal.
  • Pastikan makanan dan minuman yang dibeli tidak mengandungi bahan yang diharamkan.
  • Elakkan diri daripada membeli makanan atau minuman yang diragui kehalalannya.

iii. Begitu juga dinasihatkan agar memilih restoran yang mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh pihak berautoriti tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mengelakkan sebarang keraguan.

Wallahu a’lam.