Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2059: HUKUM MEMBACA AYAT AWAL DAN AKHIR SURAH SAHAJA DALAM SOLAT

HUKUM_MEMBACA_AYAT_AWAL_DAN_AKHIR_SURAH_SAHAJA_DALAM_SOLAT.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Apakah hukumnya jika seseorang membacakan ayat al-Quran dalam solat secara tidak tertib dengan sengaja seperti membaca ayat pertama surah kemudian menyambungnya dengan ayat terakhir surah. Adakah bacaan seperti ini dibenarkan? Mohon pencerahan SS Mufti

Ringkasan Jawapan

Hukum bacaan surah dalam solat dengan cara hanya membaca ayat awal dan akhir sahaja adalah sah selagi mana bacaan itu memenuhi syarat-syarat bacaan al-Quran. Walau bagaimanapun, lebih afdal sekiranya seseorang itu membaca satu surah yang lengkap walaupun surah pendek kerana bacaan seperti ini lebih menepati Sunnah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya berkenaan perintah untuk membacakan al-Quran secara tartil dan bertajwid:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah Al-Quran dengan Tartil.”

Surah al-Muzammil (4)

Imam al-Mawardi dalam tafsirnya menukilkan pendapat Ibn Bahr bahawa perintah membaca al-Quran secara tartil bermaksud membaca al-Quran mengikut susunan dan turutan tanpa mengubah lafaz. Begitu juga tidak mendahulukan ayat yang akhir daripada ayat yang awal ibarat aturan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan tersusun rapi.[1]

Bacaan Ayat al-Quran selepas Bacaan Surah al-Fatihah dalam Solat

Secara asasnya, membaca surah atau ayat-ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah merupakan amalan sunat yang bertujuan menyempurnakan lagi pahala solat. Imam al-Nawawi menyatakan:

ويحصل أصل الاستحباب بقراءة شيء من القرآن، ولكنْ سورةٌ كاملة أفضل، حتى أن سورةً قصيرة أي تامة أفضل من قدرها من طويلة؛ لأنه إذا قرأ بعض سورة فقد يقف في غير موضع الوقف، وهو انقطاع الكلام المرتبط، وقد يخفى ذلك...

Maksudnya: “Dan terhasil pahala sunat dengan membaca sesuatu daripada al-Quran, namun membaca satu surah yang lengkap adalah lebih afdal. Bahkan membaca surah yang pendek iaitu lengkap lebih utama daripada membaca kadar yang sama daripada surah yang panjang. Hal Ini kerana, apabila membaca sebahagian surah, seseorang mungkin berhenti pada tempat yang tidak sepatutnya berhenti iaitu memutuskan perkaitan makna perkataan dan kadangkala perkara itu dilakukan tanpa disedari.”[2]

Dalam hal ini, Syeikh Khatib al-Syirbini juga menyatakan bahawa memulakan bacaan pada awal surah (ibtida’) dan berhenti pada akhir penghujungnya (waqaf) adalah kaedah bacaan yang sahih dan =tepat. Berbeza pula halnya jika seseorang itu membaca pada sebahagian surah sahaja kerana tempat bermula dan berhenti bacaan boleh menjadi tidak jelas. Adapun kaedah bacaan ini hanya terpakai dalam solat-solat selain tarawih.[3]

Selain itu, sunat membaca ayat al-Quran mengikut tertib susunan mushaf sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Qalyubi dalam Hasyiahnya seperti berikut:

وَتُسَنُّ الْقِرَاءَةُ عَلَى تَرْتِيبِ الْمُصْحَفِ وَمُوَالَاتِهِ حَتَّى لَوْ قَرَأَ فِي الْأُولَى سُورَةَ النَّاسِ قَرَأَ فِي الثَّانِيَةِ مِنْ الْبَقَرَةِ أَقَلَّ مِنْهَا.

Maksudnya: “Disunatkan membaca al-Quran mengikut tertib mushaf serta membacanya secara berterusan. Sehingga sekiranya seseorang membaca dalam rakaat pertama Surah al-Nas, maka pada rakaat kedua dia membaca daripada Surah al-Baqarah walaupun dengan kadar yang lebih pendek daripadanya.”[4]

Kesimpulan

Hukum bacaan surah dalam solat dengan cara hanya membaca ayat awal dan akhir sahaja adalah sah selagi mana bacaan itu memenuhi syarat-syarat bacaan al-Quran. Walau bagaimanapun, lebih afdal sekiranya seseorang itu membaca satu surah yang lengkap walaupun surah pendek kerana bacaan seperti ini lebih menepati Sunnah.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Al-Mawardi, ‘Ali bin Muhammad. Tafsir al-Mawardi: Al-Nakt wa al-‘Uyun. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t). Jld 6 Hlm 126.

الثالث: ‌أن ‌تقرأه ‌على ‌نظمه ‌وتواليه ، ‌لا ‌تغير ‌لفظاً ‌ولا ‌تقدم ‌مؤخراً مأخوذ من ترتيل الأسنان إذا استوى نبتها وحسن انتظامها ، قاله ابن بحر.

[2] Al-Nawawi, Muhyiddin bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1347H). Jld 3 hlm 385.

[3] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 1 hlm 361.

وَالسُّورَةُ الْكَامِلَةُ أَفْضَلُ مِنْ قَدْرِهَا مِنْ طَوِيلَةٍ؛ لِأَنَّ الِابْتِدَاءَ بِهَا وَالْوَقْفَ عَلَى آخِرِهَا صَحِيحَانِ بِالْقَطْعِ بِخِلَافِهِمَا فِي بَعْضِ السُّورَةِ فَإِنَّهُمَا يَخْفَيَانِ، وَمَحَلُّهُ فِي غَيْرِ التَّرَاوِيحِ

[4] Qalyubi, Ahmad Salamah. Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah. (Beirut: Dar al-Fikr, 1995). Jld 1 hlm 175.