Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #580 : BERMAIN BOLA KETIKA AZAN

 

Soalan: Apakah yang perlu dilakukan ketika bermain bola apabila azan berkumandang?

Jawapan:

Hukum mendiamkan dan menjawab azan adalah disunatkan. Ini juga disebut di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili. Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Sunat diam bagi orang yang mendengar azan dan menjawabnya sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini berdasarkan hadis, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar azan ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin.”

Riwayat al-Bukhari (586) dan Muslim (383)

Nabi SAW bersabda:

وَإِذَا قَالَ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ. قَالَ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ. ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ. قَالَ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ. وَجَاءَ فِي آخِرِ الحَدِيْثِ أَنَّ: مَنْ قَالَ ذَلِكَ مِنْ قَلْبِهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Apabila muazzin berkata (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ) jawablah dengan berkata (لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ), dan apabila dia berkata (حَى عَلَى الْفَلاَحِ) jawablah dengan berkata  (لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ). Pada akhir hadis dinyatakan bahawa sesiapa yang menjawab begitu dengan ikhlas hatinya dia akan masuk syurga.”     

Begitu juga sunat menjawab tathwib (التثويب) dengan berkata:

صَدَقْتَ وَبَرَرْتَ

Maksudnya: “Benarlah seruan engkau dan engkau menjadi orang yang baik.

Berdoa dan berselawat ke atas Nabi SAW selepas azan. Apabila azan selesai, sunat bagi muazzin dan orang yang mendengarnya berselawat ke atas Nabi SAW serta berdoa dengan doa yang dianjurkan kepada kita oleh Nabi SAW.

Ini berdasarkan hadis, daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang di kalangan hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.

Riwayat Muslim (394) dan yang lainnya

Hadis seterusnya, daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِى وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdoa ketika mendengar seruan azan dengan doa yang bermaksud, Ya Allah! Tuhan yang memiliki seruan azan yang sempurna dan solat yang akan didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad SAW kedudukan yang tertinggi lagi mulia dan tempatkanlah Baginda pada kedudukan terpuji yang telah engkau janjikan, dia pasti mendapat syafaatku pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (579)

Demikianlah nas-nas di atas menunjukkan kemuliaan azan dan jaminan bagi sesiapa yang menjawab azan pada hari akhirat kelak.

Mengangkat dan mengagungkan syiar-syiar Islam seperti azan adalah merupakan satu jihad yang besar di akhir zaman ini, kerana maklum di akhir zaman ini syiar-syiar Islam semakin dihakis dan ditinggalkan oleh umat Islam sendiri.

Justeru itu berhentilah buat sementara waktu perkara-perkara dunia untuk melaksanakan syiar Islam yang lebih teramat mulia. Dan selepas selesai melaksanakan perkara yang dituntut di dalam Islam sama ada daripada perkara yang merupakan kewajipan atau tuntutan sunat, maka tidak mengapa untuk kembali semula melakukan perkara dunia seperti sukan bermain bola atau sebagainya.

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita insan yang mendapat kurnia dan balasan pahala daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak. Amiin.