Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #576 : BOLEHKAH JAMAK DAN QASAR SOLAT BAGI PEMANDU BAS EKSPRES?

Soalan:

Rakan saya bekerja sebagai driver bas ekspres dari selatan ke utara berulang alik antara Melaka dan Penang, setiap. Apakah dibolehkan dia jamak / qasar sembahyang tiap-tiap hari?

Jawapan:

Pertama sekali kami ucapkan syabas dan alhamdulillah atas kesedaran terhadap kewajiban menunaikan solat fardu oleh rakan penanya tersebut. Dewasa kini, ramai manusia yang meninggalkan solat fardu kerana sibuk mencari habuan dunia yang sedikit dan fana ini. Apatahlagi, terdapat sebahagian pemandu bas yang tidak menghormati hak untuk solat bagi para penumpang dengan enggan, atau tidak berhenti, di masjid-masjid atau Kawasan Rehat dan Rawat.

Dibolehkan bagi seseorang yang bermusafir setiap hari atas alasan kerja untuk menjamakkan solat dan mengqasarkan solat ruba`iyyah (empat rakaat). Ini kerana illah pengharusan hukum jamak dan qasar dalam mazhab al-Syafie adalah jarak perjalanan dalam musafir mestilah musafir yang jauh, yakni 2 marhalah (82 kilometer) dan lebih. Ini berbeza dengan mazhab Abu Hanifah yang mensyaratkan keharusan qasar dengan masa perjalanan melebihi 3 hari, bukan berdasarkan jarak perjalanan.

Meskipun begitu, afdal bagi yang bermusafir kurang masa perjalanan 3 hari untuk mengambil azimah (hukum asal yang lebih berat), dan bukan rukhsah, sebagai cara untuk keluar daripada khilaf. Rujuk Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/464-466)

Kami juga berpandangan elok juga diambil kira aspek kesukaran untuk mendapatkan tempat yang sesuai untuk solat, bekalan air, dan kesuntukan masa sebagai sebab mengambil rukhsah jamak dan qasar.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk beramal.