Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 570: HUKUM MENCIUM DAN MENJUNJUNG AL-QUR'AN

 

Soalan:

Adakah mencium, meletakkan al-Qur’an di atas kepala dan dada selepas membaca al-Qur’an dibolehkan?

 

Jawapan:

Hukum mencium al-Qur’an telah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama’. Di sini kami nukilkan sebahagian pandangan mazhab berkaitan hukum ini berdasarkan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah [133/13]:

 

Telah dinyatakan bahawa pendapat yang masyhur di sisi ulama’ al-Hanabilah adalah dibolehkan mencium al-Qur’an kerana memuliakannya dan ini adalah pendapat mazhab al-Hanabilah. Diriwayatkan daripada Imam Ahmad Rahimahullah bahawa perbuatan tersebut adalah sunat berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Umar RA:

 

كَانَ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ كُلَّ غَدَاةٍ وَيُقَبِّلُهُ، وَيَقُول: عَهْدُ رَبِّي وَمَنْشُورُ رَبِّي عَزَّ وَجَل

Maksudnya: “Beliau mengambil al-Qur’an setiap pagi (antara fajar hingga terbit matahari) lalu menciumnya sambil berkata: “Perjanjian Tuhanku dan penyebaran Tuhanku”.

 

Di samping itu, Uthman RA juga mencium al-Qur’an dan menyapunya di wajahnya.

 

Telah berkata al-Nawawi di dalam al-Tibyan [Lihat: al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Qur’an: 191], diriwayatkan di dalam ’usnad al-Darimi dengan sanad yang sahih daripada Ibn Abi Mulaikah bahawa Ikrimah bin Abi Jahl meletakkan al-Qur’an di wajahnya sambil berkata: “Kitab Tuhanku, Kitab Tuhanku”.

 

Tambahan pula, terdapat fatwa negara Jordan yang dijawab oleh Syeikh Nuh al-Qudhoh bahawa hukum mencium al-Qur’an adalah termasuk di dalam hal memuliakan dan menyucikan al-Qur’an sebagaimana seseorang itu mencium al-Hajar al-Aswad bagi memuliakannya. Untuk itu, tidak menjadi masalah bagi seorang Muslim itu mencium mushaf (al-Qur’an) dan tidak syak lagi bahawa perkara tersebut mendapat pahala berdasarkan. Firman Allah SWT:

 

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. [al-Haj:32]

 

Di dalam ayat di atas, syiar-syiar Islam yang dimaksudkan adalah tanda-tanda yang Allah SWT muliakan samada ia terhad pada zaman (waktu) atau tempat yang tertentu. Walaupun begitu, memuliakan al-Qur’an, memuliakan hadith-hadith Nabi SAW dan seumpama dengannya termasuk juga dalam syiar-syiar Allah SWT.

 

Kami berpendapat bahawa mencium al-Qur’an dibolehkan jika hal tersebut dilakukan dengan tujuan memuliakan kedudukan al-Qur’an kerana ia merupakan kalam Allah SWT. Adapun meletakkan al-Qur’an di dada dan kepala, kami tidak menemui sumber daripada hadith mahupun daripada amalan para sahabat RA. Akan tetapi perbuatan tersebut menyerupai perbuatan mencium al-Qur’an maka ia dibolehkan jika bertujuan memuliakan dan meninggikan al-Qur’an.

 

Wallahua’lam

 

.