Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 12: PEMIUTANG MENGHALANG PENGHUTANG DARIPADA MELAKSANAKAN HAJI

 

SOALAN

Adakah dibolehkan bagi seseorang yang memberi hutang untuk menghalang orang yang berhutang dengannya melaksanakan fardhu haji?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hutang merupakan satu perkara yang dibolehkan di dalam Islam. Di dalam al-Quran telah dinyatakan secara panjang lebar dan terperinci berkenaan hutang di dalam Surah al-Baqarah. Hal ini menunjukkan betapa agama Islam amat menjaga hak-hak sesama manusia apabila berlakunya sesuatu proses hutang.

Merujuk kepada persoalan di atas, individu pemiutang adalah dibolehkan untuk menghalang orang yang berhutang dengannya daripada melaksanakan ibadah haji. Hal ini kerana menyelesaikan hutang adalah terlebih aula (terutama) berbanding melaksanakan ibadah yang lain. Ini jelas sepertimana yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith seperti di bawah:

 

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

 

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ

Bermaksud: "Menunda pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman, jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutangnya).” Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)

 

Tambahan pula perkara ini (hutang) akan ia menjadi lebih rumit jika sekiranya penghutang tersebut meninggal dunia dalam keadaaan di mana hutangnya masih belum dilangsaikan. Terdapat satu hadith Nabi SAW berkaitan keadaan roh penghutang yang tergantung disebabkan hutangnya yang tidak diselesaikan.

 

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

 

‏ نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin masih bergantung dengan hutangnya sehingga dia melunasinya”. Riwayat al-Tirmizi (1078) dan Ibn Majah (2506)

 

Tafsiran hadith di atas jelas dan nyata kepada kita bahawa betapa beratnya bebanan yang ditanggung oleh penghutang selagimana hutangnya tidak dilangsaikan. Ini kerana hutang adalah satu perkara yang berkait dengan hak-hak sesama manusia. Maka untuk menyelesaikannya, dia hendaklah membayar semula hutangnya kepada pemberi hutang tersebut.

Justeru itu, para penghutang perlu memainkan peranan dengan baik dan bertangungjawab apabila berhutang daripada seseorang lebih-lebih lagi apabila dia ingin bermusafir ke luar negeri seperti menunaikan haji.

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa pemiutang berhak untuk menghalang penghutang daripada melaksanakan ibadah haji. Hutang yang ada haruslah dilangsaikan terlebih dahulu. Ancaman yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW sebagaimana di dalam hadith amat berat sekali bagi mereka yang tidak menyelesaikan hutang sedangkan mereka mampu. Oleh itu, bagi mereka yang mampu untuk menunaikan ibadah haji sudah pasti mereka turut mampu untuk menyelesaikan hutang mereka memandangkan kos untuk melaksanakan ibadah haji adalah tinggi. Disebabkan hal ini, maka pemiutang boleh menghalang penghutang daripada melaksanakan ibadah haji sekiranya haknya iaitu hutang yang diberi kepada jemaah haji tersebut masih tidak dilangsaikan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam