Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 11: HUKUM BERHUTANG UNTUK MENUNAIKAN IBADAH HAJI

 

SOALAN

Adakah dibolehkan bagi seseorang untuk menunaikan haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima dan wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam yang berkemampuan. Oleh itu, kita sewajarnya berusaha sedaya mungkin untuk meletakkan diri kita sebagai orang yang layak untuk melaksanakan ibadah haji.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dan diharuskan. Namun begitu, pelaksanaan ibadah haji dengan cara ini mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan sepertimana berikut:

Pertama: Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

Kedua: Mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji. Justeru, barangsiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya sekalipun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan.

Ketiga: Pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibn Majah (2883)

 

KESIMPULAN

Kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangannya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pinjaman maka diharuskan baginya untuk melaksanakan ibadah haji. Walaubagaimanapun cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk mambayar semula pinjaman yang telah dibuatnya sekembalinya dari Tanah Suci.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam