Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-63: MASJID & KANAK-KANAK

 

Alhamdulillah mutakhir ini, dengan kedatangan bulan Ramadhan menjadikan ramai masyarakat Islam datang ke masjid membawa anak-anak mereka bersama-sama untuk memeriahkan serta mengimarahkan masjid dengan solat tarawih, iftar, serta menunaikan solat fardhu.

Dalam kemeriahan itu, timbul pula persoalan bagaimana dengan kedudukan kanak-kanak di sisi masjid. Adakah mereka boleh di bawa bersama ke masjid? Bagaimana pula dengan kedudukan saf kanak-kanak? Bagaimana cara ingin menegur kanak-kanak yang membuat bising di masjid?

Persoalan ini ada pro dan kontranya. Maka Bayan Linnas pada kali ini cuba untuk memberikan kefahaman dengan sebaik mungkin menurut neraca Islam yang sebenar.

 

Takrif Masjid

Dari segi bahasanya  masjid bermaksud tempat untuk sujud. Ianya merupakan isim makan (kata nama tempat) di dalam Bahasa Arab yang mana berasal dari perkataan sajada yang bermaksud sujud. Manakala makna masjid dari sudut istilah pula ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid oleh Al-Imam Al-Zarkasyi).

Menurut al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, pada umumnya masjid adalah tempat solat, tempat melakukan ibadah harian dan ini sebagai salah satu tonggak kekuatan dalam Islam. Solat juga adalah tiang agama. Barang siapa yang mendirikan solat, bererti dia menegakkan agama dan barang siapa yang menninggalkannya bererti dia meruntuhkan agamanya.

 

Kelebihan Menuju Ke Masjid

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi  antara kelebihan menuju ke masjid adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْمَشَّاؤُونَ إِلَى الْمَسَاجِدِ فِي الظُّلَمِ، أُولَئِكَ الْخَوَّاضُونَ فِي رَحْمَةِ اللَّهِ

Maksudnya: “Orang-orang yang banyak berjalan ke masjid ketika gelap, mereka adalah orang-orang menceburkan diri dalam rahmat Allah”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 771][al-Dhimyathi mengatakan sanad hadith ini cacat]

 

Hadith ini bermaksud, sesiapa yang berjalan menuju masjid khususnya dalam kegelapan malam, mereka itulah orang-orang yang menceburkan diri dalam rahmat Allah SWT.

  • Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”. [Riwayat Abu Daud, no Hadith 474, al-Tirmizi, no Hadith 207 dan Ibn Majah, no. Hadith 773][al-Albani menghukum hadith ini sahih]

 

Oleh yang demikian setiap langkah menuju ke masjid sama ada pada waktu pagi atau petang akan sentiasa mendapat pahala daripada Allah SWT.

 

  • Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى المَسْجِدِ وَرَاحَ، أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi di waktu pagi ke masjid atau di waktu petang, Allah menyediakan baginya suatu tempat setiap kali dia pergi di waktu pagi dan petang”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 662 dan Muslim, no. Hadith 285]

 

Berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan, ternyata begitu tinggi pahala bagi orang-orang yang sentiasa beribadat atau pun solat di masjid. Oleh yang demikian orang-orang yang sentiasa pergi ke masjid dan memakmurkan dengan solat, zikir, ataupun membaca al-Quran merupakan bukti-bukti keimanan. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abi Sa’id RA, bahawa Nabi SAW:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ المَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالإِيمَانِ

Maksudnya: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 11651 dan 11725, al-Tirmizi, no. Hadith 3093 dan Ibn Majah, no. Hadith 802][Imam al-Tirmizi mengatakan hukum hadith ini Hasan Gharib]

 

Kelebihan Mengimarahkan Masjid

 

Firman Allah SWT:                          

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah”.

 

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata:

Daripada Abu Sa'id Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila kamu melihat seorang lelaki biasa pergi ke masjid, maka saksikanlah oleh kamu bahawa dia adalah seorang yang beriman”. Allah SWT telah berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian”.

Memakmurkan masjid tidak hanya dengan membangunkan masjid secara fizikal semata-mata. Oleh yang demikian, sesiapa pun yang pergi ke masjid untuk solat, bertasbih, membaca, duduk di dalam halaqah ilmu, menunggu untuk solat atau membaca al-Quran termasuk di dalam orang yang memakmurkan masjid.

Dalam Islam, masjid memiliki kedudukan penting kerana pada zaman Nabi SAW, masjid menjadi pusat dakwah, pusat pentadbiran, tempat penyebaran dakwah dan suasana negara akan tercermin melalui institusi masjid.

Nabi SAW menyambut duta dan utusan dari pelbagai negara di masjid, menemui para sahabat di masjid, menyampaikan ilmu di masjid dan tentera bergerak dari masjid. Semua ini menunjukkan masjid adalah pusat kehidupan Islam dan pusat seluruh kegiatan Islam.

 

Gangguan Kanak-Kanak Ketika Solat

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]

Berdasarkan hadith ini, dapat diambil pengajaran bahawa pergerakan kerana mendukung bayi tidak membatalkan solat. Ini kerana, di dalam sebuah hadith yang lain pula, Rasulullah SAW pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya Hasan dan Husein telah memanjat di belakang baginda SAW dan bermain-main di atas belakang baginda SAW. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad.

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ

Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])

 

Hadith ini tidaklah boleh dijadikan sandaran berdasarkan amalan atau sunnah yang berlaku kepada Baginda SAW sendiri. Kedudukan hadith ini daripada sudut usul fiqh tidak memungkinkan untuk berhujah dengan hadith yang sahih seperti riwayat Muslim di atas.

Justeru, memberi galakan ke masjid lebih utama dan aula sebagai latihan dan tamrin untuk memupuk rasa cinta ke masjid.

Namun, sekiranya kanak-kanak itu dikhuatiri menganggu jemaah yang lain maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid. Ini merupakan zahir jawapan daripada al-Imam Malik apabila ditanyakan kepada beliau mengenai kanak-kanak yang di bawa ke masjid, maka jawab al-Imam: “Sekiranya kanak-kanak itu tidak mengganggu orang lain maka tidak mengapa, jika sebaliknya maka sebaiknya tidak di bawa ke masjid”. (Lihat al-Mudawwanah, 1/195)

 

Kedatangan Kanak-Kanak Ke Masjid

Sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu. Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjamaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Institusi masjid juga boleh mengajar kita erti persamaan. Persamaan manakah yang lebih terserlah berbanding persamaan kaum Muslimin di dalam masjid ? Orang tua duduk di samping anak-anak kecil, orang kaya di samping orang yang miskin, menteri di samping buruh, pemimpin di sebelah rakyat, dan ternyata kesemuanya tidak ada perbezaan di antara mereka. Lihat Masjid Parlimen Umat (Hlm. 30).

 

Hukum Membawa Kanak-Kanak Ke Dalam Masjid

Para fuqaha terbahagi kepada dua pendapat dalam isu ini. Berikut kami kongsikan pendapat dan hujah mereka:

Pertama: Kanak-Kanak Dilarang Untuk Dibawa Ke Masjid

Sebahagian fuqaha Malikiyyah, Hanabilah, dan Syafieyyah berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dilarang atau tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang menyebut:

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ

Maksudnya: “Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian”. [Riwayat al-Baihaqiy, no. Hadith 750] (Imam al-Baihaqiy mengatakan hadith ini marfu’ tetapi tidak sahih [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 10/177])

 

Kedua: Kanak Kanak Dibolehkan Untuk Hadir Ke Masjid

Pendapat ini dipegang oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam al-Syaukani, dan lain lain. Mereka berhujahkan dengan sebuah hadis daripada Abu Qatadah R.anhu beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Hadis ini menjadi dalil bahawa hukum kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/276).

Mereka juga berdalilkan sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأُخَفِّفُ

Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat).

Riwayat al-Bukhari (666) & Muslim (723)

 

Kata al-Imam al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini: Pada hadis ini menunjukkan keharusan untuk membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid. Lihat Nailul Authar, al-Syaukani (5/48).

 

Hukum Meletakkan Kanak-Kanak Di antara Saf Lelaki Dewasa

Di dalam Sahih al-Bukhari[1] terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Menurut al-Khatib al-Syarbini: “Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang) ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa. Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia sepertimana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya. Beliau memperakukan hal tersebut. Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita. Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas, kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)

Adapun mengenai terputusnya saf, setakat pencarian kami (wallahu a’lam), kami tidak mengetahui salah seorang dari ulama’ yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut.

Pendapat ulama’ kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz[2] Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn ‘Uthaymeen[3] Rahimahullah mengatakan bahawa ianya tidak terputus. Ianya juga adalah pendapat Syeikh Soleh al-Munajjid. Wallahu a’lam.

 

Tarjih

Setelah meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan, kami lebih cenderung dengan hujah golongan yang kedua bahawa kanak-kanak diBOLEHkan untuk hadir ke masjid berdasarkan dalil-dalil yang sahih lagi sarih berkenaan hal tersebut.

 

Kedudukan Kanak-Kanak Di Dalam Saf Solat

Berikut merupakan beberapa keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

Pertama: Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

Kedua: Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

Ketiga: Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36-37).

 

Cadangan & Syor

Setelah kami bahaskannya maka kami dapati dan mencadangkan seperti berikut:

  1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.
  2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Kami syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
  3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak.
  4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kank dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Setelah kami meneliti dan menekuni perbahasan serta nas-nas yang telah disebutkan di atas, kami berpendapat bahawa galakan membawa kanak-kanak untuk hadir ke masjid adalah bertepatan dengan ruh syarak.

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya yang masyhur Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:

  • Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
  • Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
  • Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.

Justeru, telah menjadi suatu adat kelaziman para ulama dan salafussoleh mengajar anak-anak mereka untuk hadir ke masjid. Bahkan di zaman mutakhir ini telah terdapatnya halaqah atau majlis pengajian ilmu untuk kanak-kanak yang dijalankan di masjid-masjid seperti di Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, Masjid al-Umawi, dan masjid-masjid yang terdapat di Mesir.

Menjadi saranan buat ibubapa, hendaklah mereka memainkan peranan penting dengan memerhatikan tingkahlaku anak-anak mereka di dalam masjid, mendidik dan mengingatkan anak-anak mereka akan tingginya kehormatan dan kedudukan masjid di dalam Islam, serta memahamkan anak-anak mereka akan fungsi atau peranan masjid itu sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَيُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ

Maksudnya: Pada rumah-rumah (masjid-masjid) yang Allah telah mengizinkan supaya diangkat dan disebutkan nama-Nya di dalamnya. Di situ juga tempat Allah S.W.T disucikan pada waktu pagi dan petang.

Surah al-Nur (36)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat Ibn Abbas R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini yang mana beliau berkata: Allah S.W.T melarang perbuatan lagha (sesuatu yang sia-sia dan melalaikan) di dalamnya. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/62).

Kami juga mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak. Sebaliknya pamerkanlah akhlak yang baik serta tunjuk ajar supaya terjalin binaan kasih sayang di antara ibubapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu sendiri.

Pendekatan yang diambil oleh Masjid Wilayah juga perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan masjid-masjid yang lain supaya kesemua pihak baik ibubapa, kanak-kanak, dan juga  jemaaah yang lain dapat hadir ke masjid dengan perasaan yang tenang. Semoga dengan pencerahan ini, kesemua pihak dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan tenteram. Santunilah anak-anak kecil dan saling menghormatilah sesama yang tua. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

 لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا

Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.

Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad (358)

Kami sangat mengharapkan agar pihak masjid benar-benar dapat memainkan peranan yang penting sebagai institusi penyatuan ummah, tempat penyebaran ilmu, serta medan zikrullah. Semoga semua pihak dapat berusaha mengimarahkan masjid dan seterusnya menjadikan mereka sebagai golongan yang layak mendapat naungan Allah S.W.T di akhirat kelak. Ameen.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

10 Jun 2016 bersamaan 5 Ramadhan 1437H

 

[1] Sahih al-Bukhari. Kitab al-Solat. Bab Solat ‘ala al-Hasir. No. Hadith (380).

[2] http://www.binbaz.org.sa/noor/11675

[3] https://www.youtube.com/watch?v=f1LC1AU0VfQ