Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ
×

Warning

JUser: :_load: Unable to load user with ID: 76

Mukaddimah

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dan kepujian kita sama-sama panjatkan kepada Allah SWT, di atas kesempatan yang dilimpahkan kepada kita pada hari ini, untuk sama-sama berada dalam satu bulan yang dijanjikan segala kebaikkan dan dilipat-ganda amalan. Selawat serta salam kita tujukan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, yang sentiasa mengajari umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan saling hormat-menghormati dan mengikut segala perintah yang diturunkan oleh Allah SWT.

Belum sampai seminggu kita menyambut Ramdhan al-Muabarak dengan berpuasa , maka sudah kedengaran kecederaan anak-anak kita di Malaysia akibat mercun yang kadang-kadang parah sehingga terpaksa berada di akatil hospital dalam tempoh yang lama.

Bayan linnas pada kali ini mengemukkan tajuk Mercun: Budaya Bahaya, untuk sama-sama kita insafi dan menyedari betapa perbuatan yang telah sebati sejak bergenerasi itu tidak memberi sebarang manfaat apatah lagi laba dan keuntungan.

Pada kesempatan pada kali ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung segala tindakan dan kelakuan kita agar tindakan dan kelakuan kita mengikuti segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah SWT, terutamanya kita berada dalam bulan yang penuh dengan kerahmatan dan dijanjikan segala pengampunan.

Definisi Mercun

Mercun ialah sejenis perkakas letupan kecil yang direka terutamanya untuk menghasilkan bunyi bising yang amat kuat, terutamanya dalam bentuk dentuman kuat; apa-apa kesan visual turut bersampingan dengan tujuan ini. Mercun mempunyai sumbu dan dibalut dengan longsongan kertas yang sangat tebal agar dapat menampung letupan besar. Mercun, serta bunga api kini dipercayai berasal dari China.

Budaya

Mercun secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun cuti perayaan, seperti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, Deepavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa Hari Raya Tet terutamanya pada tengah malam Giao Thua (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah.

Hiburan Dalam Islam

Islam pada prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan daripada mafsadah. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam telah menyebut beberapa  bentuk hiburan yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dengan panjang lebar.

Hukum Mercun

Berdasarkan kepada banyak nas, kami mendapati bahawa hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan. Antara asas dan dalil pengharaman tersebut ialah:

Pertama: Ia Amat Berbahaya

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

(Surah al-Baqarah: 195)

 Zahir ayat ini jelas menunjukkan agar kita jangan mencampakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosak dan membinasakan. Antara bahaya mercun ialah:

  • Bahaya pada diri sendiri.
  • Bahaya kepada orang lain
  • Bahaya pada jiran tetangga
  • Boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakkan harta benda.

 

Kedua: Memberi Mudarat Kepada Orang Lain

 Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

 

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

 

Ketiga: Berlaku Banyak Pembaziran

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan

(Surah al-Isra’: 27)

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475]  

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah SAW bersabda

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.

Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kerana membeli mercun yang tidak bermanfaat bahkan memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

  • Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
  • Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.
  • Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Keempat: Wajib Menghormati Jiran Dan Tetangga

Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.

Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47)

 Dengan bermain mercuk kadang-kala menggangu jiran tetangga yang sepatutnya kita hormati hak dan privasi mereka.

 

Kelima: Menyusahkan Ramai Orang

Dengan sebab bermain mercun yang kadang-kadang membawa kepada kecederaan atau kerosakkan aharta benda seperti terbakar dan lain-lain sudah tentu akan menyusahkan orang ramai dan banyak pihak antaranya:

  • Keluarga sendiri
  • Jiran tetangga
  • Masyarakat sekeliling
  • Orang ramai

Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tanganya.

Riwayat Bukhari (10) dan Muslim (41)

Ibn Battal Rahimahullah berkata: Maksud dengan hadis ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain. [Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/38]

 

Keenam: Pencemaran Bunyi

Ini kerana dentuman mercun terkadag-kadang melahirkan gempa sehingga menyebabkan sebahagian orang terkejut, terperanjat dan tersentak disebabkan oleh bunyi tersebut. Kanak-kanak yang sedang tidur akan merengek dan menangis. Begitu juga imam dan makmum yang sedang asyik solat terawih dan berqiyam boleh jadi tersasul dan terkejut dengan bunyi yang kuat itu.

 

Pengharaman Mercun

Secara umumnya, semua mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah. Terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.

Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya Melayu-Muslim semasa musim perayaan Hari Raya. Kes kecederaan walaubagaimanapun semakin meningkat apabila mereka beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu dan mengukuhkan kerjasama yang erat untuk membasmi budaya mercun yang begitu sinonim dikaitan dengan kedatangan Idul Fitri. Menakjubkan hal ini berlaku di Malaysia sahaja dan saban tahun cerita dan kisah pengulangan duka, hiba dan kesedihan sentiasa berlaku.

Alangkah malangnya sifat acuh tak acuh dan sambil lewa dari semua pihak menyebabkan gejala seperti ini seolah-olah tidak mampu dipadamkan dalam kamus masyarakat Malaysia.

Sepatutnya malam-malam Ramadhan yang dianggap penuh dengan keberkatan kita isi dengan pelbagai acara ibadat dan ketaatan kepada Ilahi. Tetapi dengan kemalangan dan kecederaan yang berlaku dik kerana mercun menyebabkan kelaurga terpaksa perkampung di hospital dan mungkin beraya di sana. Di saat masyarakat Islam lain bergembira  pakaian  baju baru dan takbir raya, tetapi keluarga tersebut menghimpunkan sejumlah rasa duka cita dengan apa yang terjadi. Episod seperti ini dapat dikekang dan dinyahkan apabila berlaku keprihatinan dari semua pihak.

Lebih malang lagi, dengan mercun kadang-kadang mengakibatkan pelbagai kerugian harta, nyawa, anggota badan, masa dan tenaga yang sepatutnya dapat dielakkan jika tidak terbabit dengan budaya mercun ini.

Antara langkah yang dicadangkan ialah:

  • Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas lagi.
  • Ibu bapa amat perlu bahkan mesti memantau aktiviti anak-anak perkaitan pembelian dan permainan mercun.
  • Para guru sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada pelajar agar menjarakkan diri daripada budaya mercun ini.
  • Nasihat dan pesanan hendaklah disalurkan juga melalui khutbah dan mimbar Jumaat.
  • Media massa terutamanya tv hendaklah memaparkan kerosakkan dan kemalangan yang diakibatkan oleh bahana mercun ini.

Semoga negara kita Malaysia bebas daripada budaya permainan mercun yang boleh mengakibatkan pelbagai bentuk kemalangan, jiwa dan anggota badan serta kebakaran harta benda yang sudah barang tentu membawa kerugian yang amat besar.

Penutup

Islam mengajar supaya kita nasihat menasihati agar kehidupan sentiasa menjadi harmoni. Ingatlah bahawa kerosakkan yang berlaku akibat mercun amat banyak, begitu juga dengan kemalangan jiwa. Seingatan kita, budaya mercun ini sudah bertapak begitu lama di kalangan masyarakat Islam Malaysia, dan peliknya saban tahun sentiasa kita mendengar pelbagai tragedi yang menimpa anak-anak remaja sedangkan mereka merupakan harapan bangsa dan penyambung legasi yang sedia ada.

Justeru marilah sama–sama kita insafi untuk membendung budaya yang tidak sihat ini agar kita semua selamat dari sebarang kecederaan dan kerosakkan harta benda. Saya berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita semua dari budaya yang tidak baik ini dan natijah kemalangan disebabkan oleh mercun itu. Amin.

Akhukum Fillah,

S.S Datuk Dr Zulkifli bin Muhamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Perseketuan

7 Ramadhan, 1436, bersamaan dengan 24 Jun 2015