Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-192: PENYUCIAN JIWA DARIPADA AMALAN SAKA, SUSUK DAN SEBAGAINYA MEMBANTU KEMABRURAN HAJI

penyucian jiwa haji mabrur.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.

Sempena dengan musim haji 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masihi, kami kemukakan di sini dalam Bayan Linnas dengan tajuk Penyucian Jiwa Daripada Amalan Saka, Susuk Dan Sebagainya Membantu Kemabruran Haji. Ia merupakan kertas kerja yang pernah kami bentangkan dalam Muzakarah Haji Kebangsaan pada 2017 yang lalu.

Semoga ia dapat memberi manfaat ketikamana dhuyuf al-rahman melangkah kaki menyahut panggilan haji agar manasik yang dilakukan benar-benar mendapat mabrur dan pulang dalam keadaan maghfur dari sebarang dosa. Amin.

 

Haji Kemuncak Rukun Islam

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Ia dianggap puncak perhambaan manusia kepada Allah. Mereka datang dari segenap pelusuk muka bumi seperti yang dinyatakan dalam Nas Ilahi:

...مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “…dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj: 27)

Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran seperti berikut:

...وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا...

Maksudnya: “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…”

(Surah Ali-Imran: 97)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Seterusnya, Nabi SAW juga turut menegaskan berkenaan hal tersebut di dalam sabdanya yang berikut:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Hadis ini adalah sebuah perumpamaan Islam yang diturunkan oleh Tuhan dengan satu binaan agar kefahaman begitu jelas. Melaksanakan rukun Islam yang lima ini akan menzahirkan dua hubungan yang ampuh iaitu Hablum Minallah dan Hablum Minannas. Justeru, pelaksanaan rukun Islam yang lima sudah barang tentu membawa kebaikan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. (Rujuk al-Kafi Syarah Hadith 40, hal. 33)

Betapa hebatnya haji hanya ditaklifkan sekali seumur hidup sebagai fardhu, sedangkan ibadat-ibadat lain bersifat harian atau tahunan. Ini menunjukkan masyaqqah yang ditanggung oleh Jemaah haji begitu nyata dan ketara. Justeru, alangkah baiknya seseorang yang diberi peluang dan ruang untuk menuju ke Kota Suci Mekah sentiasa bersiap siaga dengan kefahaman yang jelas, amalan yang soleh serta selamat dari sebarang unsur syirik sebagaimana yang diiqrarkan oleh Jemaah haji ketika melafazkan alunan talbiah. Semoga Bayan Linnas pada kali ini benar-benar memberi sebuah kefahaman yang baik kepada kita semua.

 

Pertama: Definisi Tajuk

Sebelum dibincangkan dengan lebih lanjut lagi, kami kemukakan di sini beberapa takrif atau definisi yang terkandung di dalam tajuk agar kefahaman lebih jelas.

Definisi Haji dan Haji Mabrur

Haji dari segi bahasa memberi maksud kepada empat:

  • Menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat.
  • Dalam bahasa arab hijjah dengan makna tahun.
  • Tulang yang membulat sekeliling dua mata.
  • (Rujuk Mu’jam al-Maqayis al-Lughah, 2/29-31)

Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu (bulan-bulan haji) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17/23)

Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya adalah wajib sekali seumur hidup. Setiap para tetamu Allah (duyuf al-Rahman) menginginkan haji yang mabrur kerana ganjarannya cukup besar iaitu syurga Allah SWT.

Haji Mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut sebagaimana kata Imam al-Qurtubi. Adapun, al-Hasan al-Basri memberi jawapan maksud haji mabrur adalah apabila seseorang itu pulang ke tanah airnya dengan perasaan zuhud pada dunia dan keinginan yang mendalam terhadap akhirat.

 

Definisi Penyucian Jiwa

Perkataan ini dalam bahasa arab disebut Tazkiyyah al-Nufus. Perkataan tazkiyyah memberi maksud pembersihan atau penyucian. Keduanya yang memberi maksud penambahan.

Sedangkan al-nafs dengan maksud jiwa manusia yang menerima bagi tubuh dalam sebarang tindakan yang terdedah kepada unsur kebaikan dan kejahatan. Nafsu juga dinisbahkan kepada perasaan dan kehendak untuk mendapatkan (idrak), gerakan (harakiyyah), tindak balas (infi’aliyyah) dan akhlak ataupun keluhuran budi (akhlaqiyyah). (Rujuk Mafhum al-Nafs al-Insaniyyah fi al-Fikr al-Tarbawi al-Hadis oleh Muhammad Mahmud Darwisy, hal. 363)

Imam al-Ghazali menyifatkan Tazkiyah al-Nafs sebagai satu proses penyucian jiwa daripada kekejian dan kekotoran yang berpunca daripada akhlak yang tercela. Dengan itu, ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kekuatan dan ketahanan diri yang mantap bagi melawan musuh-musuh batin ini dengan cara memperbanyakkan ibadah serta amalan-amalan sunat yang boleh membantu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara bentuk atau wasilah untuk islah jiwa atau Tazkiyah al-Nufus antaranya:

  • Menunaikan segala fardhu dan kewajipan.
  • Menunaikan sunat-sunat rawatib.
  • Membanyakkan zikir dan istighfar.
  • Hadir ke majlis ilmu.
  • Muhasabah diri secara berterusan. (Rujuk Maratib al-Nafs wa Fadhlu Mujahadatiha)

  

Definisi Saka

Perkataan saka merujuk kepada sejenis makhluk halus daripada golongan jin atau syaitan yang dipelihara bagi tujuan memelihara diri. Saka ini dikatakan terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saka ini biasanya diwarisi turun-temurun oleh waris walaupun tanpa pengetahuan mereka.

Saka merujuk kepada semua jenis jin seperti bajang, toyol, hantu raya, pelesit dan lain-lain.

Berdasarkan takrifan di atas jelas menunjukkan ia dipelihara untuk menjaga diri dan harta benda daripada musuh. Pada saat yang sama, ia boleh digunakan untuk menganiayai orang lain. Benarlah firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

(Surah al-Jin: 6)

Al-Sobuni berkata adanya makhluk manusia meminta perlindungan dengan lelaki-lelaki jin. Maka bertambahlah kesesatan dengan sebab memohon mereka dan berdosa serta melampau. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 3/435)

Abu al-Su’ud berkata adalah lelaki apabila bermalam di satu lembah dan dia merasa takut dan bimbang mengancam dirinya maka dia berdoa: “Aku berlindung dengan tuan tempat lembah ini dari orang-orang yang bodoh daripada kaumnya (dikehendaki dengan jin dan pembesarnya). Apabila mereka mendengar demikian itu maka bertambahlah sombong dan bongkak dan berkatalah: “Kami telah menguasai manusia dan jin.” Justeru bertambahlah takabbur jin dan melampaunya mereka. (Rujuk Tafsir Abi al-Su’ud, 5/200)

 

Definisi Susuk

Susuk bermaksud merujuk kepada memasukkan sesuatu bahan ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan. Pelbagai bahan boleh digunakan dan ia bergantung kepada keinginan seseorang itu.

Dikatakan dengan memakai susuk adalah muka sentiasa dipandang manis, tidak berusia, kebal dan sebagainya. Antara jenis susuk adalah logam seperti emas, perak, besi dan raksa. Begitu juga berlian dan juga susu. Susuk adalah haram dipakai bagi orang Islam kerana ia adalah sejenis ilmu hitam yang menyesatkan. Ini kerana menjadikan makhluk yang boleh memberi kesan.

 

Definisi Sihir

Kami kemukakan di sini definisi sihir pada bahasa dahulu.

  • Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
  • Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar. (Rujuk Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, hal. 55)
  • Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya.

Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:

  • Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi mengatakan: Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh samada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia. (Rujuk Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Sor’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, hal. 171)
  • Ibnu Khaldun berkata: Sihir ialah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas manusia dengan menggunakan anasir-anasir jahat serta kekuatan ghaib sama ada berperantaraan atau tidak bagi tujuan jahat yang tersembunyi. (Rujuk Rawatan Sihir Akibat Sihir, oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, hal. 3)
  • Imam al-Qurtubi berkata: Sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana. (Rujuk Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, hal. 57)
  • Dr Abdullah bin Muhammad bin Ahmad al-Tayyar berkata: Sihir adalah azimat dan jampi mantera sihir yang dilakukan oleh pengamalnya yang memberi kesan negatif kepada hati dan emosi seseorang menyakiti atau membunuhnya. (Rujuk Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Sor’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, hal. 171)
  • Imam al-Alusi berkata: Sihir ialah perkara yang ganjil dan luar biasa yang diperolehi dengan mempelajari daripada syaitan.
  • Muhammad Isa al-Maghribi berkata: Sihir sebagai suatu yang mengenakan kemudaratan ke atas mangsa menerusi amalan tertentu secara berasosiasi (perkaitan atau pertalian antara satu dengan yang lain) dengan kekuatan jahat makhluk halus dengan kaedah-kaedah yang tertentu.
  • Syeikh Wahid Abd al-Salam Bali berkata: Sihir adalah kesepakatan, permuafakatan dan persetujuan bersama ahli sihir dengan syaitan. Ahli sihir akan melakukan sesuatu yang diharamkan syarak menerusi amalan-amalan syirik kepada Allah SWT bagi mengenakan kemudaratan ke atas manusia. Syaitan pula akan membantu melaksanakan apa jua permintaan ahli sihir itu untuk melakukan kerja-kerja jahat. (Rujuk al-Sarim al-Battar fi al-Tasaddi li al-Sihr al-Asrar, hal. 17)

 

Hukum Amalan-Amalan Ini

Amalan-amalan di atas (saka, susuk dan sihir) adalah termasuk di dalam dosa besar yang boleh membawa kepada syirik (menyengutukan Allah dengan sesuatu). Ini kerana, kita meyakini bahawa ada benda lain yang lebih berkuasa selain Allah SWT dan kita juga meyakini bahawa perkara-perkara tersebut yang memberi manfaat dan mudharat. Tambahan pula, memakai susuk bagi tujuan kecantikan adalah haram kerana terdapat unsur pemalsuan dan juga unsur penipuan terhadap orang yang melihatnya. Di dalam sebuah hadith, Nabi SAW mengingatkan kita agar menjauhi perkara-perkara seperti sihir atau saka:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai, Rasulullah, apakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan haq, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari daripada peperangan, menuduh zina terhadap wanita-wanita yang menjaga kehormatan, beriman dan yang bersih.”

Riwayat al-Bukhari (3456) dan Muslim (2669)

Dalam sihir, berhimpunnya antara kufur dan memudaratkan manusia kerana sangkaan orang awam dan jahil bahawa penyihir boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya. Ini bertentangan dengan firman Allah SWT:

...وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ...

Maksudnya: “…Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah...”

(Surah al-Baqarah: 102)

Telah sepakat para ulama’ tentang pengharaman mempelajari sihir, mengajarnya dan mengamalkannya. Para ulama’ telah menghukumkan mereka yang melakukan sihir kepada dua:

  • Mereka dianggap kafir yang mewajibkan hukuman bunuh. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Ahmad dan ramai dari kalangan sahabat dan tabi’in.
  • Mereka dianggap fasiq (dosa besar) tetapi dikenakan hukuman pancung. Mereka tidak dianggap terkeluar dari agama Islam sepertimana Mazhab Syafi’i kecuali apabila melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kufur seperti mendakwa mampu dan berkudrat untuk menukarkan ciptaan Allah SWT.

Para sahabat dengan tegas menghukum bunuh kepada penyihir. Antaranya:

  • Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A membunuh penyihir-penyihir. (Riwayat Ahmad dalam Musnad 1/190, Abu Daud 3/431, Abd al-Razzaq dalam Musannafnya 10/179 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136. Sanadnya sahih)
  • Ummul Mukminin Hafshah R.Anha membunuh hamba perempuannya yang menjadi tukang sihir. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ 2/871 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136)
  • Jundub bin Abdullah R.A telah membunuh seorang tukang sihir yang bermain bersama al-Walid bin ‘Uqbah dengan memenggal kepala lelaki kemudian diserunya dan terus hidup. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir 2/222 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 8/136)

Berkenaan dengan pergi dan meminta rawatan daripada penyihir juga adalah haram. Ini berdasarkan kepada dua hadis Rasulullah SAW:

  • Daripada Sofiyyah R.Anha, daripada sebahagian isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang datang mengunjungi penenung nasib dan bertanya tentang sesuatu maka tidak diterima solatnya 40 malam.”

Riwayat Muslim (2230)

  • Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن أَتَى كَاهِنًا أَوْ عرَّافًا فصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفرَ بِمَا أُنزِلَ عَلَى محمَّدٍ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada tukang ramal atau penenung nasib dan membenarkannya dengan apa yang dikatakan maka sebenarnya dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (9532). Kata Syeikh Syuaib al-Arna’ut, hadis hasan.

 

Kami nyatakan di sini beberapa pendapat ulama’ berkenaan dengan isu ini:

  • Ibnu Kathir ketika menafsirkan firman Allah SWT:

...وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ...

Maksudnya: “…Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka...”

(Surah al-Baqarah: 102)

Menafsirkan ayat di atas, sepertimana disebut di dalam Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir:

يَضُرُّهُمْ فِي دِينِهِمْ ، وَلَيْسَ لَهُ نَفْعٌ يُوَازِي ضَرَرَهُ

Maksudnya: “Ia memberi kemudaratan dalam agama mereka (Islam) dan tiada padanya sebarang manfaat yang mengimbangi mudaratnya.”

  • Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari mengambil ayat dalam Surah al-Baqarah ayat 102 sebagai dalil pengharaman sihir kerana Allah SWT mengkufurkan syaitan kerana ajaran sihirnya itu. Oleh itu, mempelajarinya adalah merosakkan aqidah.
  • Imam al-Nawawi berkata pekerjaan sihir adalah pekerjaan merosakkan akidah secara menyeluruh atau ijmak. (Rujuk Fath al-Bari, 10/ 224)
  • Imam Ibnu Qudamah menyebut mempelajari, mengajar dan mengamalkan sihir adalah haram dan tidak diketahui ada khilaf di kalangan ulama’ muktabar dalam kerosakan akidah. (Rujuk al-Mughni, 8/151)
  • Syeikh Atiyyah Saqr menyebut sihir banyak dipelajari oleh orang awam dengan tujuan menyakiti dan memudaratkan orang lain bukan bertujuan untuk kebaikan dan mengambil manfaat. Nas dalam al-Quran dan hadis jelas menunjukkan bahawa amalan sihir adalah dosa besar bahkan kufur yang jelas apabila meyakini ianya dapat memberi kesan dengan sendirinya bukan dengan kuasa Allah.

Oleh itu, ilmu sihir dan seumpamanya adalah haram untuk kita pelajari, mengajar dan mengamalkannya. Jika pengamal itu seorang Islam, ia boleh merosakkan akidah dan kami katakan bahawa ilmu sihir merupakan ilmu yang paling hampir ke arah menjerumuskan manusia kepada syirik.

 

Perlindungan Daripada Sihir

Kami nukilkan secara ringkas daripada buku Rawatan Penyakit Akibat Sihir antara lain menyebut berkenaan dengan tajuk ini untuk berlindung daripada sihir antaranya:

  • Mengamalkan ayat-ayat al-Quran iaitu Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah al-Naas, surah al-Baqarah ayat 1-5, surah al-Baqarah ayat 163-164, ayat Kursi, surah al-Baqarah ayat 256-257, surah al-Baqarah ayat 284-286 dan lain-lain.
  • Begitu juga dengan doa tertentu.
  • Zikir dan wirid yang tertentu. Sila rujuk dalam al-Azkar oleh Imam al-Nawawi dan juga al-Ma’thurat oleh Syeikh Hasan al-Banna.

 

Tafsir surah al-Falaq

Kami sengaja ingin membawa secara ringkas tafsir surah al-Falaq:

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ﴿١﴾ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ﴿٢﴾ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ﴿٣﴾ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ﴿٤﴾ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ 

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (ikatan-ikatan). (4) Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya. (5)

(Surah al-Falaq: 1-5)

Surah al-Falaq adalah surah ke-113 di dalam al-Qur’an. Surah ini merupakan salah satu daripada surah Makkiyah yang mengandungi perintah agar memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada segala keburukan yang tersembunyi. Al-Falaq bermaksud cahaya waktu Subuh atau seluruh makhluk. Kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat di dalam Surah al-Falaq. Ayat pertama bermaksud sebagaimana yang dinyatakan oleh Sayyid Qutub bahawa boleh ditafsirkan dengan kedua pengertian di atas iaitu “aku mohon perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi” atau dengan “aku mohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.”

Ayat kedua pula bermaksud semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan keturunannya. Setiap makhluk di dunia ini mempunyai kebaikan dan kejahatan masing-masing. Maka telah menjadi lumrah kepada setiap manusia sukakan kebaikan dan bencikan keburukan. Kata al-Maraghi, “aku berlindung, memohon perlindungan kepada zat Tuhan bagi semua makhluk, Pencipta segala-galanya yang ada daripada segala penyakit dan keburukan yang menimpaku.” Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat ini juga bermaksud berlindung daripada kejahatan seluruh makhluk.

Ayat seterusnya, bermaksud “matahari apabila tenggelam” atau “malam yang berlabuh”. Ini kerana, pada waktu itulah keluarnya binatang buas, serangga dan juga orang-orang jahat. Tambahan pula, kegelapan malam mendorong syaitan untuk berusaha menggugat keimanan manusia yang sudah sedia goyah.

Adapun ayat keempat di dalam ayat ini dinyatakan an-Naffathaat iaitu tukang sihir wanita. Umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita. Namun, ayat ini juga termasuklah tukang sihir lelaki dan wanita. (Rujuk Ruh al-Ma’ani Tafsir Juz ‘Amma, hal. 295)

Dalam al-Bahr al-Muhit menyebut: Dari kejahatan ahli sihir wanita yang mengikat simpulan benang dan meniupkannya untuk memberi mudarat kepada hamba Allah dengan sihir mereka dan meruntuhkan serta memisahkan suami dengan isteri. (Rujuk al-Bahr al-Muhit, 8/530)

Ayat terakhir menceritakan berkaitan hasad dan hasad adalah bercita-cita untuk menghilangnya nikmat yang ada pada orang lain baik agar berpindah kepada dirinya ataupun tidak. Akhirnya, Allah menutup surah ini dengan hasad, sebagai peringatan bahayanya perkara ini kerana hasad adalah seperti memusuhi nikmat Allah.

 

Perkara-Perkara Yang Membantu Untuk Mendapatkan Haji Mabrur 

Antara beberapa perkara yang penting dan perlu dititkberatkan dalam meraih haji mabrur adalah:

  • Sumber Rezeki Yang Halal Lagi Baik

Amat penting seseorang itu memastikan yang masuk ke dalam perutnya dan ahli keluarganya daripada sumber yang halal dan ini juga merupakan salah satu syarat untuk sesuatu doa itu diterima oleh Allah SWT. Imam Ahmad ketika ditanya berkenaan makna al-Muttaqin, yakni orang yang bertaqwa, lantas dijawabnya iaitu “seseorang yang menjaga daripada sesuatu dan tidak berlaku daripada perkara yang tidak dihalalkan”.

Di dalam sebuah hadith ada diceritakan akan kepentingan mencari sumber rezeki yang halal dan baik ini:

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحاً – وَقاَلَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ – ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ ياَ رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ

 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, “Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.” Dan firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu.” Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Riwayat Muslim (1015)

Imam Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Daripada sebesar-besar yang menghasilkan amalan yang baik bagi orang yang beriman adalah baik makanannya, iaitu daripada punca dan sumber yang halal. Dengan demikian akan membawa kepada baik dan suci amalannya. Hadith ini menunjukkan bahawa tidak diterima amalan dan tidak suci bersih melainkan daripada makanan (sumber) yang halal.”

  • Taqwa

Ibn ‘Athaillah berkata: “Taqwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”

Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa taqwa boleh menjadikan seseorang itu melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di samping taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan amalan-amalan sunat. Kepentingan taqwa amat jelas apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya.

Takwalah yang menjadikan amalan seseorang itu diterima. Benarlah firman Allah SWT:

...إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: "…Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;”

(Surah al-Maidah: 27)

  • Talbiah

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para jemaah haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki daripada laungan talbiah ini adalah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau dialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Talbiyah mengandungi beberapa isi penting menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

  • Pujian kepada Allah yang merupakan ibadah yang sangat Allah cintai daripada hamba-Nya.
  • Pengakuan terhadap seluruh nikmat-Nya. Untuk itu, perkataan nikmat (النعمة) didatangkan dalam bentuk ma’rifah kerana ia termasuk seluruh nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.
  • Pengakuan bahawa seluruh kekuasaan milik Allah semata-mata. Tidak ada pemilik yang sebenar selain daripada-Nya. (Rujuk Mukhtasar Tahzib al-Sunan, 2/335-339)

Dengan memahami maksud talbiyah yang dilafazkan ketika menjadi tetamu Tuhan dengan sebenar-benarnya, maka telah terbuanglah dalam hati dan sanubarinya sebarang bentuk syirik kepada Tuhan tetapi datang dengan hati yang bersih mentauhidkan Allah dan menzahirkan yang segala pujian, kenikmatan dan juga kerajaan adalah milik-Nya sahaja.

  • Membaca al-Quran dan Tadabbur Dengannya

Di kota suci Mekah dan Madinah, sebaik-baiknya, kita berusaha untuk membaca dan mengamati secara tadabbur ayat al-Quran dengan penuh iltizam. Ini kerana tempat yang mulia lagi suci ditambah dengan penghayatan yang mendalam akan menatijahkan kebaikan dalam kehidupan ini. Sebuah keinsafan dan pengislahan diri akan dapat dijana dengan sebaik mungkin. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ...

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam)…”

(Surah al-Isra’: 9)

Sebenarnya galakan membaca al-Quran disebut di dalam hadis:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ ، فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana ia datang pada Hari Kiamat dalam bentuk memberi syafaat kepada tuan-tuannya.”

Riwayat Muslim (804)

Berdasarkan kepada nas-nas di atas jelas menunjukkan kelebihan membaca al-Quran sehingga dikurniakan pelbagai keistimewaan yang tidak diberikan kepada yang lain.

Benarlah kata al-Harith al-Muhasibi: “Saudara-saudaraku, apabila seseorang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya, maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu untuk tadabbur dan iktibar daripadanya.”

Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan ketika berada di dua Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menjinakkan diri kita dengan al-Quran dan tadabbur dengannya. Sementalahan lagi, kota Madianh dan Mekah merupakan mahbat al-wahyi.

 

  • Banyakkan berzikir

Dari segi bahasa zikir bermaksud mengingati. Sementara dari segi istilah pula zikir merupakan mengingati Allah SWT bilamana dan di mana sahaja berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau dengan hati.

Zikir terbahagi kepada dua sama ada qalbi (dalam hati) atau lisani (iaitu pada lafaz lidah). Imam Nawawi menjelaskan bahawa zikir yang terbaik adalah yang dilakukan bersama hati dan lisan. Di antara zikir dengan hati dan zikir dengan lisan yang lebih baik adalah zikir dengan hati.

Terdapat banyak nas yang menghubungkan haji dengan zikrullah sama ada semasa haji atau selepas haji. Firman Allah SWT:

وَاذْكُرُوا اللَّـهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ...

Maksudnya: “Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya.”

(Surah al-Baqarah: 203)

Al-Sobuni berkata: Hendaklah kamu bertakbir membesarkan Allah setiap kali selesai solat dan ketika melontar di Jamrah pada hari-hari tasyriq yang tiga selepas Hari Nahar. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 1/116)

Firman Allah SWT:

...وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ...

Maksudnya: “…dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu…”

(Surah al-Hajj: 28)

Imam al-Razi berkata: Mereka menyebut nama Allah pada Hari Korban ketika sembelihan binatang korban sebagai tanda syukur kepada Allah atas kurniaan nikmatnya yang banyak dan rezeki yang dikurniakan sehingga dapat memiliki haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri. Beliau berkata ini sebagai peringatan bahawa matlamat asal zikir nama Allah ketika sembelihan untuk menyalahi perbuatan orang musyrikin ketika itu kerana mereka sembelih untuk berhala. (Rujuk Tafsir al-Razi, 23/29)

Firman Allah SWT:

...فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Maksudnya: "…Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya."

(Surah al-Baqarah: 198)

Al-Sobuni berkata: Apabila kamu berangkat meninggalkan Arafah selepas wuquf, hendaklah kamu zikir kepada Allah dengan berdoa, tadarru’, takbir dan tahlil di Masy’ar al-Haram di Muzdalifah dan kamu zikirlah kepada Allah dengan zikiran yang baik sebagaimana Dia memberi petunjuk hidayah kepada kamu. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 1/116)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا...

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi...”

(Surah al-Baqarah: 200)

Sayyid Qutb antara lain menyebut: Oleh itu, tukarkan amalan menyebut kemegahan datuk nenek dengan amalan menyebut kebesaran Allah SWT. (Rujuk Tafsir fi Zilali al-Quran)

 

Penutup

Kesimpulannya, yang menentukan mabrur atau tidak haji seseorang itu adalah hak milik Allah SWT. Para ulama’ hanya menjelaskan berkaitan tanda-tandanya dan cara-cara untuk mendapatkannya. Justeru itu, kita perlulah sentiasa berharap kepada Allah SWT agar amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT dan kita juga perlu sentiasa berdoa agar dikurniakan haji yang mabrur. Selain itu, kita juga perlu sentiasa membersihkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada dosa besar atau syirik kepada Allah SWT kerana ini merupakan penting bagi meraih haji yang mabrur.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Di antara tanda diterimanya haji adalah dengan meninggalkan maksiat yang dilakukan dahulu, mengubah sahabat yang buruk agar menjadi sahabat yang baik dan menggantikan majlis yang melalaikan dengan majlis zikir dan kesedaran (muhasabah).”

Kami juga berpendapat bagi mereka yang hendak menunaikan ibadah haji hendaklah juga membersihkan dahulu sebarang bentuk amalan khurafat, bid’ah dan yang bercanggah dengan syariat seperti sebarang unsur sihir yang boleh merosakkan ibadat haji seseorang. Begitu juga mulakanlah haji dengan mempelajari ilmu sejak dari tanah watan lagi seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Idhah. Selain itu, hendaklah bertaubat dari segala maksiat dan segala perkara yang makruh. Dengan saranan yang dinyatakan, maka haji kita insha Allah mendapat haji yang mabrur yang dinyatakan di dalam hadis tiada balasannya melainkan syurga. (Lihat kitab kami, Kitab al-Taudhih Syarah al-Idhah dalam Mukaddimah, hal. 4-31)

Akhirnya, semoga Allah SWT membersihkan diri kita daripada segala sifat-sifat atau perkara yang membawa kepada syirik atau dosa besar serta memohon kepada Allah SWT agar direzekikan haji yang mabrur. Amin.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan