Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 248 : SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA

 

WANITA min

 

Mukadimah

Wanita adalah  makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai sifat kekuatan dan kasih sayang yang tinggi. Islam mengangkat hak wanita untuk menjalani kehidupan, mempunyai harta, mendapatkan kasih sayang dan hak untuk berkeluarga.[1][2] Menurut World Economic Forum, hari wanita sedunia disambut pada tanggal 8 Mac setiap tahun sebagai tanda menghargai pengorbanan wanita.[3] Sambutan ini menemui titik awal daripada peristiwa tahun 1908-1910 di mana seramai 15,000 wanita pekerja buruh berkumpul untuk bersolidariti menuntut hak waktu bekerja yang lebih singkat, pembayaran gaji yang munasabah dan hak untuk wanita mengundi di dalam pilihanraya. Seorang aktivis wanita bernama Clara Zetkin mencadangkan agar hari wanita sedunia disambut bagi memperingati jasa wanita.[4]

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperjuangkan hak wanita pada waktu dunia menghadapi krisis perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana alam adalah satu cabaran global pada abad ke-21. Wanita dikenal pasti sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada bencana perubahan iklim berbanding lelaki kerana wanita membentuk majoriti orang miskin yang paling ramai. Pada masa yang sama, wanita juga merupakan pemimpin dan ketua yang kompeten serta pembuat perubahan polisi yang penting. Oleh yang demikian, Hari Wanita Sedunia disambut bagi memperkasakan suara, peluang dan hak wanita untuk membina generasi dan pembangunan yang mampan.[5]

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Malaysia pada tahun ini beberapa inisiatif telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Parlimen Malaysia contohnya telah menganjurkan forum bual bicara bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada Yang Berhormat dan ahli akademik dari kalangan wanita.[6] Manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula memilih tema ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini.

Kedudukan Wanita dalam Islam

Islam memandang tinggi kemuliaan setiap muslim tanpa mengira jantina serta meletakkan amanah kepada kedua-duanya dalam tanggungjawab beribadah kepada Allah SWT. Begitu juga kemuliaan seseorang bukan dilihat dari jantinanya lelaki mahupun perempuan tetapi pada nilai ketakwaannya kepada Allah. Malahan, proses kejadian semua manusia adalah bermula dari penciptaan diri yang satu iaitu Nabi Adam AS sebagaimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

 ۚيَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. 

Surah al-Nisa’ (1)

Kedatangan Islam telah menghapuskan amalan-amalan masyarakat zaman jahiliah yang menindas golongan wanita dengan mengangkat dan mengiktiraf kedudukan wanita serta memberikan kemuliaan dan haknya sepertimana lelaki.

Sebagai contoh, Islam telah mengangkat hak pewarisan harta oleh wanita yang sebelum itu terhalang. Allah swt telah menetapkan hak serta bahagian bagi ahli waris wanita dalam pewarisan harta ahli keluarganya yang telah jelas disebutkan dalam al-Quran:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Surah al-Nisa’ (32)

Selain itu, wanita berpeluang melaksanakan tanggungjawabnya dan berhak mendapatkan haknya sebagai seorang rakyat yang merdeka sama seperti lelaki. Pengiktirafan ini telah bermula dari zaman Rasulullah SAW ketika golongan wanita beriman telah berbai’ah kepada Rasulullah dalam peristiwa pembukaan kota Makkah[7]berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Mumtahinah (12)

Meraikan Keistimewaan dalam Perbezaan antara Lelaki dan Wanita

Islam telah memberikan keistimewaan dalam beberapa perkara serta keseimbangan antara peranan lelaki dan wanita yang berbeza dan mempunyai kepentingan masing-masing. Peranan yang berbeza ini bukanlah lambang kehebatan atau kelemahan mana-mana pihak, malahan ia bertujuan meraikan kebolehan dan kemampuan selari dengan fitrah kejadian lelaki dan wanita sama ada dari sudut fizikal, rohani serta emosi tanpa mengira umur mahupun status sosial.  Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

 

أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا، وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap daripada kalian semua ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki ialah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya, maka dia bertanggungjawab terhadap mereka semua. Seorang hamba ialah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap harta tersebut. Maka, setiap kalian ialah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya.

Riwayat al-Bukhari (7138)[8]

Dalam erti kata lain, peranan dan sumbangan wanita dan lelaki adalah seiring dengan kelebihan masing-masing. Bahkan dalam keadaan dunia sekarang, lelaki dan wanita boleh bersaing secara bebas mengikut keupayaan masing-masing tanpa diskriminasi hampir dalam segenap bidang.

Peranaan dan Sumbangan Wanita di Lapangan

Peranan wanita sering dikaitkan dengan pengurusan hal rumah tangga sehingga muncul gelaran   rabbatul bayt (tuan/pengurus rumah). Namun, sejarah telah membuktikan bahawa muslimah pada zaman salaf terlibat memberi sumbangan dalam aktiviti kemasyarakatan  seperti Asma binti Umais, Ummu Syarik dan  Ummu Sulaim. Asma Umais berhijrah bersama rombongan lelaki ke Habsyah. Sementara itu, Ummu Sulaim aktif menyertai jihad selain merawat tentera-tentera Islam. Ummu Syarik pula aktif membantu kerja-kerja dakwah.[9] Kisah muslimah pada zaman salaf ini jelas menunjukkan bahawa wanita mempunyai peranan dalam aktiviti kemasyarakat dan menyebarkan dakwah. Firman Allah SWT:

 ۚوَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Surah al-Taubah: (71)

Al-Thabari memberi tafsiran lelaki dan wanita yang beriman ialah mereka yang membenarkan kalamullah serta dakwah Rasullullah SAW.  Lelaki dan wanita menjadi penolong antara satu sama lain.[10]  Oleh itu, berdasarkan firman-Nya, dapat difahami bahawa wanita mempunyai peranan dalam tugasan dakwah dan turut  menjadi pelengkap bagi usaha menyeru manusia kepada Islam.  Usaha dakwah itu sangat meluas mencakupi ilmu agama, bimbingan akhlak, didikan mahupun panduan  amalan syariah serta  penjelasan isu -isu akidah.

 

PENUTUP

Hari Wanita Sedunia adalah simbolik penghargaan kepada wanita. Hakikatnya penghargaan ini tidak dihadkan kepada masa mahupun tarikh tertentu bahkan setiap masa dan keadaan khususnya terhadap mereka yang berada di sekitar kita atau dari kalangan ahli keluarga dan saudara mara kita sendiri. Hal ini kerana peranan wanita ternyata tidak terhad dalam mengurus  hal ehwal rumahtangga, bahkan wanita mempunyai peranan yang besar di lapangan bagi membina dan membangun masyarakat sepertimana kisah-kisah srikandi muslimah pada zaman salaf  yang telah dinyatakan. Perkara ini menunjukkan keseimbangan antara peranan lelaki dan wanita selain setiap individu mempunyai  tanggungjawab masing-masing sebagai khalifah di muka bumi ini. 

 

 

 

 

 

 

 

 

[1] Jamal A.Badawi, Gender Equity in Islam, World Assembly of Muslim Youth, diakses pada 9 March 2022

[2] Jamal A.Badawi, Gender Equity in Islam, World Assembly of Muslim Youth, diakses pada 9 March 2022

[3] Kate Whiting, International Women’s Day: What It Is and Why Do We Need It?, World Economic Forum, 7 Mac 2022, https://www.weforum.org/agenda/2022/03/international-women-day-what-why-when/

[4] International Women’s Day 2022: History, Marches, and Celebrations, BBC News, 6 Mac 2022, https://www.bbc.com/news/world-60610678

[5] International Women’s Day 8 March, United Nations, diakses pada 10th Mac 2022,

https://www.un.org/en/observances/womens-day

[6] Sambutan Hari Wanita Sedunia Curi Tumpuan di Dewan Rakyat, Harian Metro, 8 Mac 2022, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/818521/sambutan-hari-wanita-sedunia-curi-tumpuan-di-dewan-rakyat

[7] Al-Mawardi, ali bin Muhammad. Al-Nakt wa al-‘Uyun (Tafsir al-Mawardi) (Beirut: Dar al-Kutu al-Ilmiyyah, t.t) Jld 5, hlmn 524

[8] Al-Bukhari, Abū ‘Abd Allāh Muḥammad Ibn Ismā‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Zuhayr Ibn Nāṣir al-Nāṣir (Beirūt: Dār Ṭūq al-Najāh, 2001). 9/62 (no. Hadis 7138)

[9] Abdul Halim (2002) Tahrir al-Mar’ah fi ‘Asri ar-Risalah.  Cet 6 Kaherah : Dar al-Qalam,  Jld 2 Hlmn 35-45

[10]Al-Thabari, Abu Jaafar. (t.t) al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari  jilid 11. Hlmn 556