Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-356: MENONTON PERLAWANAN BOLA SEPAK MENURUT ISLAM: ANTARA HIBURAN DAN TUNTUTAN ADAB

 MENONTON_PERLAWANAN_BOLA_SEPAK_MENURUT_ISLAM_-_ANTARA_HIBURAN_DAN_TUNTUTAN_ADAB.jpg

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Piala Dunia FIFA sekali lagi kembali menjadi tumpuan masyarakat dunia. Kejohanan yang berlangsung setiap empat tahun ini bukan sahaja menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari pelbagai negara, bahkan turut menarik perhatian jutaan peminat yang mengikuti setiap perlawanan dengan penuh minat dan keterujaan. Di Malaysia, demam Piala Dunia turut dirasai oleh sebahagian besar masyarakat tanpa mengira latar belakang dan usia.

Dalam keghairahan menyaksikan pertandingan yang berlangsung, timbul beberapa persoalan hukum yang sering dibangkitkan oleh masyarakat. Apakah hukum menonton perlawanan bola sepak menurut syarak? Adakah ia termasuk dalam bentuk hiburan yang diharuskan? Apakah batasan dan adab yang perlu dipelihara oleh seorang Muslim ketika menonton perlawanan bola sepak? Bagaimanakah seseorang dapat menzahirkan minat terhadap sukan ini tanpa mengabaikan tanggungjawab agama dan nilai akhlak yang dituntut oleh Islam?

Justeru, dalam Bayan Linnas kali ini, kami akan menjelaskan hukum menonton perlawanan bola sepak menurut perspektif syarak, di samping menggariskan beberapa adab dan panduan yang wajar diperhatikan agar minat terhadap sukan ini kekal berada dalam kerangka yang dibenarkan oleh agama serta selari dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam.

Islam Tidak Menghalang Manusia Untuk Berhibur

Islam merupakan agama yang meraikan fitrah dan keperluan manusia, termasuk keperluan untuk berehat, beriadah dan berhibur. Justeru, Islam tidak menghalang umatnya daripada menikmati bentuk-bentuk hiburan yang harus dan tidak bercanggah dengan syariat.

Saidina Hanzalah RA, salah seorang sahabat Nabi SAW pernah bertemu dengan Saidina Abu Bakar RA dalam keadaan menangis menceritakan bahawa beliau berasa serba salah apabila berbeza keadaan ketika berada di hadapan Rasulullah SAW dengan keadaan apabila mereka pulang ke rumah masing-masing. Kata Hanzalah RA:

نافَقَ حنظلةُ يا أبا بَكْرٍ ، نَكونُ عندَ رسولِ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ يذَكِّرُنا بالنَّارِ والجنَّةِ كأنَّا رأيَ عينٍ ، فإذا رجَعنا إلى الأزواجِ والضَّيعةُ نسينا كثيرًا

Maksudnya: Hanzalah telah menjadi munafik, wahai Abu Bakar! Kami berada di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda mengingatkan kami tentang neraka dan syurga sehingga seolah-olah kami melihatnya dengan mata kepala sendiri. Tetapi apabila kami kembali kepada isteri-isteri kami dan urusan kehidupan (harta benda serta pekerjaan), kami melupakan banyak daripada peringatan itu”.

Saidina Abu Bakar RA apabila mendengar keluhan Saidina Hanzalah RA tersebut, beliau pun merasakah hal yang sama dan membuat keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk mendapatkan komentar daripada Baginda SAW. Apabila perkara ini dikhabarkan kepada Rasulullah SAW, Baginda pun lantas menjawab:

لَو تدومونَ على الحالِ الَّتي تقومونَ بِها من عندي لصافحَتكمُ الملائِكَةُ في مجالسِكُم، وفي طرقِكُم، وعلى فُرُشِكُم، ولَكِن يا حنظلةُ ساعةً وساعةً ساعةً وساعةً

Maksudnya: Sekiranya kamu sentiasa kekal dalam keadaan (iman dan kekhusyukan) seperti yang kamu rasakan ketika berada di sisiku, nescaya para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di majlis-majlis kamu, di jalan-jalan kamu, dan di atas tempat tidur kamu. Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada waktunya begini dan ada waktunya begitu; ada waktunya begini dan ada waktunya begitu”.

[Riwayat al-Tirmizi dan Muslim]

Sungguhpun begitu, namun hiburan dalam Islam bukanlah suatu kebebasan tanpa batas, sebaliknya ia tertakluk kepada garis panduan yang memastikan manusia tidak terjebak dalam perkara yang melalaikan, merosakkan akhlak atau menyebabkan pengabaian kewajipan terhadap Allah SWT. Oleh itu, setiap bentuk hiburan, termasuk aktiviti menonton perlawanan bola sepak, hendaklah dinilai berdasarkan prinsip keseimbangan (wasatiyyah) yang menjadi tunjang ajaran Islam.

Malah, sesuatu bentuk hiburan yang pada asalnya harus boleh bertukar menjadi ibadah dan diberikan ganjaran pahala apabila disertai dengan niat yang baik serta dilaksanakan dalam batasan syarak. Sebagai contoh, seseorang yang berhibur bagi merehatkan minda agar lebih bertenaga untuk beribadah, melaksanakan tugas dengan lebih baik atau mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga dan sahabat, maka aktiviti tersebut boleh menjadi sebahagian daripada amal yang diberi ganjaran oleh Allah SWT. Inilah yang diungkapkan oleh Saidina Mu’adz bin Jabal RA kepada Saidina Abu Musa al-Ash’ari:

أنامُ أوَّلَ اللَّيلِ، فأقومُ وقد قَضَيتُ جُزئي مِنَ النَّومِ، فأقرَأُ ما كَتَبَ اللهُ لي، فأحتَسِبُ نَومَتي كما أحتَسِبُ قَومَتي

Maksudnya: Aku tidur pada awal malam. Kemudian aku bangun setelah aku mendapat bahagianku daripada tidur. Lalu aku membaca (al-Quran dan beribadah) sebanyak yang Allah tetapkan untukku. Dan aku mengharapkan pahala daripada tidurku sebagaimana aku mengharapkan pahala daripada qiyamku (ibadah malamku)”.

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bukankah Lutut Itu Aurat? Bolehkah Menonton Perlawanan Bola Sepak?

Secara asasnya, lutut bukanlah dikira sebagai aurat dalam mazhab Syafi’i, namun ia tetap wajib ditutup bagi memastikan paha dapat ditutup dengan sempurna. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang menetapkan bahawa segala perkara yang wajib tidak sempurna melainkan dengan perkara yang lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib.[1] Kata Imam al-Ramli berkaitan isu lutut lelaki:

أن الركبة والسرة ليستا بعورة وهو الأصح، لكن يجب ستر بعضهما ليحصل سترهما

Maksudnya: Lutut dan pusat bukanlah aurat, dan itulah pandangan yang lebih sahih. Namun, wajib menutup sebahagian daripada kedua-duanya supaya penutupan aurat (antara anggota di bawah pusat dan di atas lutut) dapat disempurnakan”.

Dalam konteks sukan, hukum asal menonton pertandingan atau permainan adalah harus. Para ulama berbeza pandangan mengenai hukum menonton sukan yang melibatkan pemain yang tidak menutup aurat secara sempurna. Sebahagian ulama mengharamkannya secara mutlak, manakala sebahagian yang lain mengharuskannya dengan syarat tidak disertai unsur-unsur haram seperti syahwat, perjudian, pergaulan bebas atau pengabaian kewajipan agama. Pandangan yang lebih sederhana mengambil kira tujuan sebenar penonton yang lazimnya menyaksikan kemahiran, strategi permainan dan semangat kesukanan, bukannya untuk melihat aurat pemain.

Berdasarkan pertimbangan tersebut, menonton sukan seperti bola sepak, badminton, hoki dan sepak takraw boleh diharuskan selagi pakaian pemain masih dalam batas kesopanan dan tidak terlalu mendedahkan tubuh badan. Namun, sukan yang melibatkan pendedahan aurat secara ketara seperti renang, gimnastik dan acara terjun tidak termasuk dalam kelonggaran ini. Para pembaca boleh meneliti permasalahan ini secara terperinci di pautan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/2640-irsyad-fatwa-247-hukum-menonton-acara-sukan-yang-mendedahkan-aurat.

Penonton Yang Bermusafir Untuk Menyaksikan Pertandingan Bola Sepak Boleh Mendapatkan Rukhsah Dalam Beribadah

Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai hukum menonton acara sukan yang melibatkan pendedahan aurat, namun pandangan yang terpilih ialah keharusan menontonnya dengan syarat tidak membawa kepada unsur maksiat seperti meninggalkan solat, mengabaikan tanggungjawab pekerjaan, sengaja melihat aurat atau terlibat dalam perlakuan yang dilarang agama.

Berdasarkan prinsip yang sama, seseorang yang bermusafir semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak, sama ada di dalam atau luar negara, diharuskan untuk mengambil rukhsah solat musafir seperti menjamakkan dan menqasarkan solat, mengikut syarat-syaratnya yang telah ditetapkan. Hal ini kerana tujuan musafir tersebut tidak dianggap sebagai maksiat pada asalnya. Namun, keharusan tersebut tertakluk kepada syarat bahawa perjalanan itu tidak dicemari dengan tujuan atau perlakuan yang haram seperti pergaulan bebas, meminum arak, mengambil dadah, meninggalkan solat atau melakukan maksiat yang lain. Bagi bacaan lanjut mengenai permasalahan ini, para pembaca boleh merujuk ke pautan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4603-al-kafi-1750-hukum-jamak-dan-qasar-kerana-musafir-menonton-bola.

Bolehkah Tidur Lewat Kerana Menontot Perlawanan Bola Sepak?

Islam mengajar umatnya supaya mengurus masa dan kehidupan secara seimbang mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Antara hikmah penciptaan malam ialah sebagai waktu untuk berehat, menenangkan badan dan memulihkan tenaga setelah penat melakukan pelbagai aktiviti pada waktu siang. Firman Allah SWT menunjukkan bahawa malam dijadikan sebagai waktu ketenangan dan tidur, manakala siang dijadikan untuk manusia mencari rezeki dan menjalankan urusan kehidupan: Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا ‎﴿١٠﴾‏ وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا ‎﴿١١﴾‏

Maksudnya: Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (10) Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki? (11)”.

[Surah al-Naba’]

Justeru, amalan berjaga malam tanpa keperluan yang jelas bukanlah sesuatu yang digalakkan, bahkan terdapat hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW tidak menyukai perbuatan berjaga malam selepas solat Isyak untuk perkara yang tidak berfaedah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ سَمَرَ إِلاَّ لِمُصَلٍّ أَوْ مُسَافِرٍ

Maksudnya: Tidak ada perbualan pada waktu malam melainkan untuk orang yang menunaikan solat atau bermusafir”.

[Riwayat Al-Tirmizi]

Dalam isu berjaga malam kerana ingin menonton perlawanan bola sepak, hukumnya perlu dinilai berdasarkan tujuan dan kesan yang terhasil daripadanya. Menonton bola sepak pada asalnya adalah harus sebagai satu bentuk hiburan yang dibenarkan syarak. Oleh itu, berjaga malam untuk menyaksikan sesuatu perlawanan juga tidak boleh dihukum haram secara mutlak. Namun, keharusan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya tidak menyebabkan seseorang mengabaikan kewajipan agama, tanggungjawab pekerjaan, pelajaran atau urusan kehidupan yang lain. Jika seseorang mampu mengurus masanya dengan baik serta tetap menunaikan kewajipan yang ditetapkan, maka perbuatan tersebut berada dalam ruang yang diharuskan.

Walau bagaimanapun, sekiranya berjaga malam untuk menonton bola sepak menyebabkan seseorang terlepas solat Subuh, bangun lewat sehingga menjejaskan kerja dan pelajaran, atau membawa kepada kelalaian yang berterusan, maka perbuatan tersebut menjadi makruh dan boleh membawa kepada dosa apabila mengakibatkan pengabaian kewajipan. Oleh sebab itu, seorang Muslim hendaklah bersikap sederhana dalam menikmati hiburan dan sentiasa mengutamakan perkara yang lebih penting. Minat terhadap sukan tidak salah, tetapi ia tidak boleh mengatasi tujuan utama penciptaan malam sebagai waktu rehat dan tidak boleh menjadi sebab seseorang mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT dan sesama manusia. Untuk bacaan lanjut, rujuk artikel di pautan: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2730-al-kafi-876-hukum-berjaga-sehingga-lewat-malam.

Nasihat Umum

Sebagai nasihat umum, mereka yang ingin menonton perlawanan bola sepak hendaklah memastikan hiburan tersebut kekal dalam batas syarak. Jauhilah percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, sama ada ketika menonton di stadium, kedai makan, rumah rakan atau tempat awam. Kegembiraan menyokong pasukan tidak boleh menjadi alasan untuk meremehkan adab pergaulan dan batas agama.

Selain itu, jagalah lisan ketika bersorak dan berbual. Elakkan kata-kata lucah, makian, hinaan, provokasi atau ungkapan yang tidak baik terhadap pemain, pengadil, penyokong lawan mahupun pasukan tertentu. Seorang Muslim hendaklah menzahirkan akhlak yang mulia walaupun dalam suasana hiburan dan persaingan.

Bagi perlawanan yang berlangsung lewat malam atau awal pagi, ambillah kesempatan bangun pada waktu tersebut untuk memperbanyakkan ibadah, khususnya solat tahajjud, berdoa dan beristighfar. Janganlah semangat menonton bola melebihi semangat menghadap Allah SWT, dan pastikan solat Subuh tetap ditunaikan pada waktunya.

Akhirnya, berpada-padalah dalam menonton perlawanan bola sepak. Jangan sampai ia mengganggu tanggungjawab hakiki seperti kerja, pelajaran, keluarga dan kesihatan. Elakkan juga fanatik melampau yang boleh membawa kepada perbalahan, pergaduhan atau permusuhan. Bola sepak hanyalah hiburan, sedangkan menjaga agama, akhlak dan persaudaraan adalah kewajipan yang lebih utama.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam Bayan Linnas ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Hukum menonton perlawanan bola sepak adalah harus selagi tidak melibatkan perkara yang diharamkan atau mengabaikan kewajipan agama.
  2. Segala keharusan dan rukhsah berkaitan bola sepak tertakluk kepada pemeliharaan syariat, termasuk menjaga solat, pekerjaan dan tanggungjawab harian.
  3. Peminat bola sepak hendaklah bersikap sederhana dan berakhlak, serta mengelakkan fanatik, perbalahan dan perkara yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

[1] ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب