Soalan:
Apakah status hadith orang yang tidak diampunkan dosanya di bulan Ramadhan akan dimasukkan ke dalam neraka dan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sentiasa dinantikan oleh para pencinta ibadah. Ini kerana, terdapat banyak kelebihan yang Allah SWT sediakan bagi hambanya dalam bulan ini. Untuk itu, rugilah kepada sesiapa yang tidak berusaha bersungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.
Matan Hadith
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ
Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907]
Makna Hadith
Di dalam hadith ini, jelas menunjukan bahawa orang yang tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT di dalam Ramadhan termasuk di dalam orang-orang yang rugi. Bagi yang berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan, kita disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan sunguh-sungguh dalam mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti bagi mereka yang beribadah bersungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.
Persoalan
Benarkah doa Jibril AS menjelang Ramadhan dengan lafaz ini ?
“Ya Allah, abaikan puasa umat Muhammad jika sebelum masuk Ramadhan dia tidak melakukan tiga hal ini:
- Tidak minta maaf kepada kedua orang tuanya.
- Tidak bermaafan dengan sahabat-sahabatnya.
- Tidak bermaafan dengan orang sekitarnya.
Maka Rasulullah SAW mengaminkan sebanyak tiga kali (untuk tiga hal ini)”.
Ulasan Berkaitan Persoalan Di Atas
Bagi menjawab persoalan di atas, hadith di atas sudah tersebar dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Untuk itu, kami nyatakan di sini bahawa hukum hadith tersebut adalah palsu dan direka oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab dan kita tidak boleh sesekali menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat sebuah hadith yang sama seperti di atas tetapi hal-hal yang terdapat di dalam hadith yang sahih ini adalah berbeza dengan hadith di atas kecuali hal yang pertama.
Hadith yang sahih berkaitan hal ini adalah seperti yang kami nyatakan di awal perbincangan ini iaitu yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صَعِدَ المِنْبَرَ فَقَالَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ قِيْلَ يَا رَسُوْلَ اللهِ إنَّكَ صَعِدْتَ المِنْبَرَ فَقُلْتَ آمِيْنَ آمِيْنَ آمِيْنَ فَقَالَ إنَّ جِبْرِيْلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَانِيْ فَقَالَ مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يَبِرَّهُمَا فَمَاتَ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ فَأَبْعَدَهُ اللهُ قُلْ آمِيْنَ فَقُلْتُ آمِيْنَ
Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa sempat dengan kedua orang tuanya tetapi tidak berlaku baik kepada meraka. Kemudian dia meninggal maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin. Dan barangsiapa yang disebut kepadanya dan dia tidak berselawat kepadaku, maka dia akan dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/57]
Berdasarkan hadith ini, tiga hal yang disebut di dalam hadith yang sahih ini adalah:
- Orang yang bertemu bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.
- Orang yang tidak berlaku baik kepada kedua orang tuanya sehingga dia meninggal.
- Orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW apabila disebut kepadanya.
Penutup
Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Untuk itu, seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat dalam bulan tersebut agar kita meraih segala kelebihan yang terdapat di dalamnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam setiap perbuatan yang kita lakukan. Amin.