Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-140: KISAH NABI SULAIMAN AS BERSAMA PEMUDA SOLEH

 

 

Soalan: Apakah sahih kisah Nabi Sulaiman AS bersama pemuda soleh yang berbakti kepada ibu dan bapanya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak menemui kisah ini di dalam kitab-kitab yang muktabar dan kami juga tidak dapat mengetahui akan status berkaitan kisah ini. Akan tetapi kisah ini ada dinyatakan di dalam kitab al-Nawadir yang dikarang oleh Ahmad Syihab al-din al-Qalyubi pada muka surat ke 45. Karya beliau ini tidak disertai dengan sanad atau rujukan yang membolehkan kita mengkaji atau menganalisis akan kesahihan kisah tersebut.

 

Berbakti Kepada Ibubapa

Walaubagaimanapun, berbakti atau berbuat kepada ibubapa adalah satu tuntutan bagi setiap insan. Antara dalil yang diwajibkan kita untuk berbakti kepada ibubapa adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua (dalam jagaan dan peliharaan) maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ahh" serta janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. [al-Isra’:23]

 

Nasihat Kami

Dalam kita mengutip mutiara ilmu dan juga mengambil manfaat daripada kitab-kitab maka sewajarnya dilihat dari sudut kesahihan maklumat lebih-lebih lagi datang dalam bentuk israiliyyat atau sumber yang tidak ada dalil atau tidak disahkan dalilnya oleh ulama’ yang muktabar lagi thiqah seperti Imam al-bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi, Imam al-Nawawi dan lain-lain lagi. Begitu juga, amat perlu seseorang itu melihat sighah (acuan) yang dilafazkan boleh jadi dalam bentuk sighah tamridh (sakit dan lemah) yang sudah pasti tidak boleh menjadi hujah. Seperkara yang menjadi penting juga ialah sifat logik mantiq dan aqli diambil kira agar ia tidak bercanggah dengan aqal yang sihat. Kecualilah jika ia sebagai mukjizat, karamah dan ma’unah yang kita imani dan yakini. Justeru, mengambil jalan ihtiyath (berhati-hati) sekalipun terdapat dalam kitab adalah amat penting dalam disiplin ilmu bagi seseorang Islam. Satu kaedah yang masyhur menyebut:

 

إَنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيْحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيْلِ

Maksudnya: “Jika kamu menukilkan satu-satu berita maka hendaklah kamu mentashihkannya dan jika sekiranya kamu mendakwa maka hendaklah kamu datangkan dalil, hujah dan bukti”.

 

Penutup

Kesimpulannya, di sana terdapat beberapa buah karya berkaitan kisah atau sirah nabi-nabi terdahulu yang boleh dijadikan rujukan. Antaranya, karya Imam Ibn Kathir yang bertajuk Qasas al-Anbiya’ dan juga sebuah karya yang moden iaitu Qasas al-Qur’ani oleh Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah para nabi terdahulu agar dapat dijadikan pedoman dalam hidup kita. Amin. 

 

Wallahua’lam