Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

 

ih417_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah terdapat doa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam memohon hujan kepada Allah SWT?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

al-Ghafir:60

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

 

Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24]

Mutakhir ini, negara kita dilanda dengan jerebu dan keadaan cuaca yang amat tidak sihat. Ini merupakan salah satu daripada peringatan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dengan menuntut mereka agar kembali kepada-Nya dan bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan. Dalam keadaan yang sebegini, hujan amatlah diperlukan agar sedikit sebanyak dapat mengurangkan jerebu yang berlaku.

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan beberapa doa Nabi SAW dalam memohon hujan dari kitab Hisn al-Muslim dan doa ini dibaca oleh Rasulullah SAW di dalam doa Istisqa’ (iaitu solat memohon hujan).

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا

Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami.” [Riwayat al-Bukhari (1014)]

 

Nabi SAW membaca doa ini ketika Baginda SAW sedang berkhutbah apabila seseorang datang mengadu berkaitan hujan tidak turun dalam tempoh yang begitu lama kepada Baginda SAW. Lalu Nabi SAW berdoa dengan doa ini yang mana ia bermaksud agar Allah utuskan hujan kepada mereka. [Lihat: Syarh Hisn al-Muslim, 212]

 

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا، مَرِيئًا مَرِيعًا، نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ، عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ

Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami secara merata, menyegarkan, menyuburkan tanaman, bermanfaat tanpa mudharat serta kami mohon agar diturunkan hujan dengan segera tanpa ditangguh-tangguh.” [Riwayat Abu Daud (1169)]

 

Di dalam doa ini juga terdapat permohonan kepada Allah agar hujan yang diturunkan walaupun ia lebat tetapi ia menghalang daripada berlakunya keruntuhan dan kerosakan. Di samping itu juga, diharapkan daripada hujan tersebut akan kebaikan yang banyak. [Lihat: Syarh Hisn al-Muslim, 212]

 

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ، وَبَهَائِمَكَ، وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ، وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ

Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada hamba-hamba-Mu, binatang ternakan serta luaskanlah rahmat-Mu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati.” [Riwayat Abu Daud (1176)]

 

Di dalam doa termasuk semua jenis binatang atau serangga dan ia bukan hanya khusus kepada binatang ternakan sahaja. Selain itu, menghidupkan negeri yang telah mati adalah dengan mengembalikan kesuburan negeri tersebut seperti sediakala. [Lihat: Syarh Hisn al-Muslim, 213]

 

Penutup

Kesimpulannya, berdoa dengan apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga sunnah adalah lebih baik. Akan tetapi, dibenarkan untuk berdoa dengan doa selain daripada al-Quran dan juga sunnah kerana bab berdoa ini luas. Kita dibenarkan untuk berdoa dengan apa juga doa sekalipun selagimana maksudnya adalah baik dan tidak bertentangan dengan syarak. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam