Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-79: PENJELASAN ISU MEMEGANG KAABAH KETIKA TAWAF BAGI AMALAN UMRAH YANG TELAH LEPAS

WhatsApp_Image_2023-08-17_at_10.10.47.jpeg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah pandangan pihak SS Mufti berkenaan isu memegang kaabah ketika tawaf yang menyebabkan cucu tidak sah taraf seperti yang tular di media sosial baru-baru ini? Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Antara syarat sah tawaf ialah orang yang bertawaf mestilah melakukan pusingan di luar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Pandangan muktamad mazhab Syafi’i menyatakan bahawa tidak sah tawaf sekiranya orang yang bertawaf menyentuh dinding kaabah kerana telah melepasi had dalam kaabah. Namun begitu, terdapat pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i yang menyatakan ia tetap sah kerana sebahagian besar anggota badan masih berada di luar kaabah. Dalam situasi ini, individu yang menjalani ibadah umrah tersebut telah meyakini bahawa ibadahnya sah ketika melaksanakannya dahulu dan ini juga adalah selaras dengan pandangan yang kedua dalam mazhab. 

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang kisah seorang lelaki memegang kaabah ketika tawaf umrah yang menyebabkan tawafnya batal. Menurut kisah yang diceritakan, status tawaf lelaki tersebut yang dianggap tidak sah menyebabkan ibadah umrahnya tidak sempurna dan masih berada dalam ihram. Kemudian beliau pulang ke Malaysia dan menikahkan anak perempuannya. Akad pernikahan itu dikatakan tidak sah dan turut mengakibatkan anak daripada hasil perkahwinan tersebut tidak sah taraf, kerana berakad nikah sama ada berijab atau qabul merupakan salah satu daripada larangan ketika berihram. Kisah ini kemudiannya menimbulkan keraguan dan keresahan terutamanya kepada masyarakat muslim di Malaysia. Terdapat juga sebahagian masyarakat yang turut berkongsi kisah ini kepada individu yang lain.

Dalam bertindak balas atau menunjukkan reaksi terhadap isu ini, masyarakat sewajarnya memeriksa kredibiliti sumber maklumat yang diterima terlebih dahulu dengan memastikan informasi yang diperoleh berasal daripada sumber yang memiliki reputasi baik dan juga merupakan pakar dalam bidang tersebut. Masyarakat juga dianugerahkan akal fikiran untuk meneliti dari pelbagai sudut pandang. Ketahuilah bahawa Islam merupakan agama yang bersifat sederhana iaitu tidak memberatkan dan juga tidak terlalu memudahkan kepada umatnya. Ini merupakan keindahan Islam berbanding agama-agama lain yang sebahagiannya bersifat terlalu keras dalam sesuatu perkara.

 

Hukum Menyentuh Kaabah ketika Tawaf

Tawaf menurut istilah syarak ialah mengabdikan diri kepada Allah dengan melakukan pusingan mengelilingi kaabah. Ia dilakukan dengan mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan berserta rukun dan wajibnya.

Tawaf merupakan ibadah yang mempunyai syarat-syarat yang wajib dipenuhi. Sekiranya ia tidak dipenuhi, maka ibadah tawaf menjadi tidak sah. Antara syarat-syarat sah tawaf ialah[1]:

  1. Menutup aurat
  2. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat
  3. Kedudukan kaabah mestilah di sebelah kiri
  4. Bermula tawaf dari hajar aswad
  5. Mestilah dilakukan tujuh pusingan
  6. Melakukan tawaf di dalam masjid
  7. Mestilah di luar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail

Berdasarkan syarat di atas, pusingan tawaf dikira sempurna dan sah sekiranya seluruh badan orang yang bertawaf berada di luar kawasan kaabah termasuk Syazarwan iaitu lebihan binaan di bawah dinding kaabah. Namun persoalannya, adakah sah pusingan tawaf sekiranya orang yang bertawaf menyentuh dinding kaabah melepasi Syazarwan?

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin:

ولو مشى على الشاذروان أو مس الجدرا في موازاته أو دخل من إحدى فتحتي الحجر وخرج من الأخرى لم تصح طوفته

Maksudnya:Sekiranya dia berjalan atas syazarwan, menyentuh dinding yang selari dengannya atau melalui dalam kawasan hijr ismail, maka tidak sah tawafnya.[2]

Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa ini merupakan pendapat yang muktamad dalam kalangan ulama mazhab Syafi’i kerana ketika seseorang itu menyentuh dinding kaabah, sebahagian anggota badannya dikira berada di dalam kaabah. Begitu juga sekiranya dia meletakkan sebelah kakinya di atas syazarwan. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan kedua daripada mazhab al-Syafi’i yang menyatakan sebaliknya[3]. Iaitu sepertimana yang dinukilkan daripada kitab I’anah al-Talibin:

بل لنا وجه: أن مس جدار الكعبة لا يضر؛ لخروج معظم بدنه عن البيت

Maksudnya: “Terdapat pandangan kedua yang menyatakan bahawa menyentuh dinding kaabah tidak memberi kesan kepada tawaf kerana sebahagian besar badan orang yang bertawaf masih berada di luar kaabah.”[4]

Penyelesaian bagi Orang yang Meragui Ibadah Terdahulu

Isu yang dibangkitkan adalah berkenaan seorang lelaki yang mendapati bahawa ibadah umrahnya tidak sempurna setelah beberapa tahun dia pulang ke Malaysia, maka implikasi bagi hukum tersebut akan menyukarkan individu itu lebih-lebih lagi apabila melibatkan pembayaran dam, orang yang berakad nikah, kesesakan untuk kembali ke tanah haram semula bagi menyempurnakannya dan sebagainya.

Berkenaan permasalahan ibadah haji dan umrah lampau, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 menyatakan[5]:

  1. Amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.
  2. Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut mazhab Syafi’i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.

Berdasarkan resolusi yang telah dikeluarkan ini, maka dibenarkan bertaqlid kepada pandangan kedua mazhab Syafi’i yang menghukumkan perbuatan menyentuh kaabah ketika tawaf tidak memberi kesan kepada kesahihan tawaf. Hal ini adalah untuk mengangkat kemudaratan dan kerumitan yang akan berlaku ke atas sebahagian masyarakat Islam yang telah melakukan kesilapan dalam ibadat umrah kerana kejahilan.

Wallahua’lam

 

Rujukan

[1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadat, (Dar al-Mirath al-Nabawi, 1, 1423H – 2003M), 480

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Dar al-Fikr, 1, 1425H – 2005M), 86

[3] Al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 3, 1412H – 1991M), 3:81

وَلَوْ كَانَ يَطُوفُ وَيَمَسُّ الْجِدَارَ بِيَدِهِ فِي مُوَازَاةِ الشَّاذَرْوَانِ أَوْ غَيْرِهِ مِنْ أَجْزَاءِ الْبَيْتِ، فَفِي صِحَّةِ طَوَافِهِ وَجْهَانِ. الصَّحِيحُ بِاتِّفَاقِ فِرَقِ الْأَصْحَابِ: أَنَّهُ لَا يَصِحُّ؛ لِأَنَّ بَعْضَ بَدَنِهِ فِي الْبَيْتِ، فَهُوَ كَمَا لَوْ كَانَ يَضَعُ إِحْدَى رِجْلَيْهِ أَحْيَانًا عَلَى الشَّاذَرْوَانِ، وَيَقْفِزُ بِالْأُخْرَى

[4] Uthman bin Muhammad al-Dimyati, I’anah al-Talibin ala Halli Alfaz Fath al-Mu’in, (Dar al-Fikr, 1, 1418H – 1997M), 2:336. Rujuk: Said bin Muhammad Ba’ali Ba’isyan, Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 1, 1425H – 2004M), 525

[5] Lembaga Tabung Haji, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33, 28 November 2016, 3