Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 245: ADAKAH SAH SOLAT SUNAT HARI RAYA SEKIRANYA TIDAK MENDENGAR KHUTBAH RAYA?

ADAKAH SAH SOLAT SUNAT HARI RAYA SEKIRANYA TIDAK MENDENGAR KHUTBAH RAYA

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang itu tidak mendengar khutbah hari raya? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya termasuk dalam perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya hukumnya adalah makruh.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، يُصَلُّونَ العِيدَيْنِ قَبْلَ الخُطْبَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW, Abu Bakar, dan Umar R.Anhuma menunaikan solat dua hari raya sebelum khutbah.”

Riwayat al-Bukhari (963)

Berdasarkan kepada riwayat hadis inilah, disunatkan untuk membaca dua khutbah selepas daripada mengerjakan dua solat sunat hari raya sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha, rukun-rukun dan sunnah-sunnahnya pula adalah sama seperti pelaksanaan khutbah Jumaat[1], namun tidak pada syarat-syaratnya[2].

Adapun sekiranya khutbah raya tersebut dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya, maka ia tidak baik dan tidaklah diambil kira kerana berlawanan dengan sunnah Rasulullah SAW[3].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan iaitu berkenaan adakah sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Berhubung isu ini, Syeikh al-Damiri ada mengulas, sekiranya imam menyampaikan khutbah secara sendirian, atau seseorang itu meninggalkan khutbah, atau seumpamanya, maka perbuatan itu adalah tidak baik, dan tidak perlu lagi mengulangi penyampaian khutbah[4].

Sememangnya disunatkan ke atas orang ramai untuk mendengar khutbah raya. Akan tetapi, khutbah raya dan juga perbuatan mendengarnya bukanlah suatu syarat sah solat hari raya, maka sekiranya seseorang itu meninggalkan khutbah raya, atau berbicara ketika khutbah disampaikan, ataupun seseorang itu berpaling daripadanya lalu meninggalkan khutbah, maka dihukumkan makruh ke atasnya, dan khutbah tidak perlu diulang[5].

Kesimpulannya, sah solat sunat hari raya sekiranya tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya adalah perkara sunat, dan ia bukanlah syarat kepada sahnya solat hari raya. Meskipun begitu, meninggalkan khutbah atau tidak mendengarnya, hukumnya adalah makruh. Akhir kalam, sebaiknya kita perbanyakkan amalan-amalan sunat pada pagi raya sebagai tanda meraikan hari berbahagia ini mengikut neraca syariat dan juga menuruti sunnah Nabi SAW.

Wallahu A‘lam

 

Rujukan:

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdat al-Muftiin, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (t.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H), hlm.52.

ويسن بعدها خطبتان أركانهما كهي في الجمعة ويعلمهم في الفطر الفطرة وفي الأضحى الأضحية يفتتح الأولى بتسع تكبيرات والثانية بسبع ولاء.

[2] Muhammad bin Ahmad bin ‘Umar al-Syatiri, Syarh al-Yaqut al-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, (Beirut: Dar al-Minhaj, cetakan ke-5, 1436H), hlm. 176.

ويخطب بعدها ندبًا خطبتين كخطبتي الجمعة في الأركان والسنن، دون الشروط، يكبر في الأولى تسعًا، وفي الثانية سبعًا.

[3] Muhammad bin Musa bin ‘Isa bin ‘Ali al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, (Jeddah: Dar al-Minhaj, cetakan pertama, 1425H), 2/542.

 قال: (ويسن بعدها خطبتان) اقتداء برسول الله صلى الله عليه وسلم والخلفاء الراشدين؛ ففي (الصحيحين)] خ 963 - م 888 [عن ابن عمر: (أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يصلون العيد قبل الخطبة). فلو خطب قبلها .. أساء ولا يعتد بها، وكذا قبل طلوع الشمس قطعا.

Lihat juga: Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/220.

قَوْلُهُ: (وَيَخْطُبُ بَعْدَهُمَا) وَلَوْ خَرَجَ الْوَقْتُ كَمَا فِي شَرْحِ الرَّوْضِ، وَلَوْ قُدِّمَتْ الْخُطْبَةُ عَلَى الصَّلَاةِ لَمْ يُعْتَدَّ بِهَا

[4] Al-Damiri, al-Najm al-Wahhaj, 2/545.

ولو خطب واحدة، أو ترك الخطبة، أو شيئا منها .. أساء ولا إعادة عليه.

[5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/555-556.

ويستحب للناس استماع الخطبة، ولكن خطبة العيد واستماعها ليست شرطًا لصحة صلاة العيد، فلو ترك استماع خطبة العيد، أو تكلم فيها، أو انصرف وتركها، كره له ذلك، ولا إعادة عليه.