Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 249: MANAKAH YANG LEBIH BAIK, MENERUSKAN BACAAN AL-QURAN TERDAHULU ATAU MEMULAKAN SEMULA DARIPADA AWAL PADA BULAN RAMADAN?

MANAKAH_YANG_LEBIH_BAIK_MENERUSKAN_BACAAN_AL-QURAN_TERDAHULU_ATAU_MEMULAKAN_SEMULA_DARIPADA_AWAL_PADA_BULAN_RAMADAN.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Sepertimana kita tahu, kita digalakkan untuk khatam al-Quran sekurang-kurang sekali dalam bulan Ramadan. Saya mempunyai kebiasaan membaca al-Quran daripada awal hingga khatam secara berturutan pada bulan-bulan biasa. Sekarang ini saya sudah membaca al-Quran sehingga juzuk ke-15 dan Ramadan akan tiba beberapa hari lagi.

Soalan saya, manakah yang lebih baik sama ada saya teruskan bacaan al-Quran pada ketika ini atau saya memulakan bacaan baru supaya dapat khatam pada bulan Ramadan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah di bulan Ramadan termasuklah bacaan al-Quran. Dalam situasi ini, lebih baik seseorang menyambung bacaannya secara berturutan itu apabila tiba bulan Ramadan. Tiada keperluan untuknya untuk memulakan semula bacaan daripada awal. Apa yang penting ialah dia memastikan bacaan al-Qurannya di bulan Ramadan lebih banyak dan berusaha mengkhatamkan sebanyak mungkin berbanding bulan-bulan yang lain.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan. Rasulullah SAW sendiri bertadarus bersama malaikat Jibril pada setiap malam apabila tibanya bulan Ramadan. Ibn ‘Abbas meriwayatkan hadis dengan berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya: Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih cepat daripada tiupan angin.

Riwayat al-Bukhari (3220)

Selain itu juga, antara kebiasaan ulama salaf apabila tibanya bulan Ramadan, mereka akan memperbanyakkan bacaan al-Quran sehingga khatam al-Quran beberapa kali. Contohnya Imam al-Syafie diriwayatkan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan.

Berkaitan persoalan adakah kita dituntut untuk mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan, kami telah bahaskan dalam artikel Irsyad Fatwa Khas Ramadan Siri Ke-178 : Adakah Tuntutan Untuk Mengkhatamkan al-Quran Dalam Bulan Ramadan. Kesimpulan daripada apa yang dibahaskan ialah tiada perintah atau suruhan yang khusus tentang perkara ini yang mewajibkannya. Adapun saranan dan galakan untuk mengkhatam al-Quran dalam bulan Ramadan adalah berbentuk sunat sahaja.

Oleh yang demikian, apa yang menjadi keutamaan adalah memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan termasuk bacaan al-Quran. Jika seseorang mempunyai kebiasaan membaca al-Quran secara berturutan daripada awal sehingga khatam pada bulan-bulan yang biasa, maka sebaiknya diteruskan bacaan mengikut turutan tersebut.

Namun hendaklah memastikan bacaan ketika bulan Ramadan lebih banyak berbanding bulan-bulan biasa supaya dapat mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan kebiasaan ulama salaf. Dalam situasi ini, tiada keperluan untuk mengulangnya semula daripada awal kerana tiada tuntutan mengkhatam al-Quran secara penuh di bulan Ramadan. Adapun jika mampu untuk mengkhatamkan al-Quran lebih daripada sekali, maka hal itu adalah lebih baik.

WaAllahu a’lam.