Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-61: KESUNGGUHAN PARA TABI‘IN DALAM KHIDMAT KEPADA SUNNAH

 

 

SOALAN

Bagaimana kesungguhan para tabi’in dalam khidmat kepada sunnah?

 

JAWAPAN

Para ulama tabi’in telah berusaha keras dalam memuliakan sunnah, mereka meletakkan sanad-sanad secara tepat sehingga hadis tersebut menjadi sangat amanah bagi mereka. Mereka juga berusaha keras menyampaikan hadis-hadis tersebut kepada generasi-generasi setelah mereka, apalagi jika ada pertentangan secara politik atau perdebatan kata, atau juga jika ada kelompok zindik yang muncul di kalangan Islam yang membenci agama dan negara, atau juga kerana sebab taksub kepada jenis/ etnik, bahasa, kabilah dan negeri. Atau juga jika disebabkan kerana persaingan dalam mencari rezeki, kerana kebodohan kalangan beberapa ahli zuhud, para hamba dan sebagainya. Jika mereka mendapati ada hadis palsu, mereka akan berusaha mencari kebenaran dan memegang amanah tersebut tersebut untuk menghadapi para pendusta. Kesungguhan mereka dalam hal itu sangat penting untuk disyukuri. Secara ringkasnya, dapat disebut seperti berikut:

  • Keteguhan memegang sanad dan menjelaskan hal-hal yang Gharib:  - Ibnu Sirin berkata: Mereka tidak bertanya tentang sanad, ketika tejadi fitnah mereka berkata: Cuba sebutkan nama-nama kepada kami dari kalangan rijal Dia melihat kepada ahli sunnah dan mengambil hadis-hadis yang datang daripada mereka, lalu mereka melihat kepada ahli bidaah dan tidak mengambil hadis-hadis daripada mereka. -Daripada Utbah bin Hakam, bahawa ketika itu dia sedang bersama dengan Ishak bin Abi Farwah dan dia ketika itu juga bersama al-Zuhri. Dia berkata: Ibnu Abi Farurah kemudian berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Al-Zuhri berkata kepadanya: Allah SWT akan membunuhmu wahai Ibnu Abi Farwah, Allah SWT tidak akan memberikan balasan pahala bagimu, hadismu juga tidak akan didengar. Kami menceritakan hadis-hadis yang tidak memiliki kelemahan dan cacat.
  • Mengadakan halaqah-halaqah ilmiah: Ibnu Sirin berkata: Aku datang ke negeri Kufah, ketika itu al-Sya’bi sedang mengadakan halaqah ilmiah, dan ketika itu para sahabat yang hadir juga ramai. Dari Ibnu Shihab berkata: Sa’id bin Jubair suatu hari menceritakan kepada kami sebanyak dua kali: iaitu setelah solat Subuh dan Asar.
  • Menjaga pelaksanaan hadis secara benar: Iaitu dengan memperhatikan riwayat dan lafaznya. Jika hal itu tidak mudah untuk dilakukan maka mereka meriwayatkan secara makna dengan memperhatikan syarat-syaratnya dan ketelitiannya.

 

Dari Ibnu Aun dia berkata: “ketika itu Ibrahim, al-Sya’bi dan Hasan memberikan hadis secara makna. Dan Qasim, Ibnu Sirin serta Raja’ mengulang hadis sesuai hurufnya. Lais bin Abi Salim berkata: ketika itu Thawus sedang mengulang hadis huruf ke huruf.

 

  • Meletakkan dasar ilmiah untuk mengenali keadaan para perawi secara ilmu Jarah dan Ta’dil. - Seperti menerimam riwayat-riwayat yang berasal dari para ulama yang dhabit, seperti pendapat Ibnu Shihab al-Zuhri: “Jika Amrah menceritakan kepadaku, kemudian Urwah menceritakannya, maka aku mempercayai hadis Amrah dan Urwah, ketika keduanya diangga sbagai lautan yang banyak menguasai hadis, maka Urwah adalah lautan yang tidak akan kering dan habis.” - Atau juga menerima hadis-hadis seorang perawi dengan sendirinya, akan tetapi pada beberapa waktu kemudian menjauhinya. Seperti yang datang kepada Hisyam bin Abdul Malik ketika ingin menegaskan hafalan al-Zuhri. Maka dia menguji dirinya dengan bertanya kepadanya tentang beberapa anaknya kemudian dia menuliskan beberapa hadis dalam suratnya. Dia kemudian menuliskan sebanyak 400 hadis. Kemudian Hisyam berkata kepadanya setelah sebulan: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya kitab itu telah hilang, lalu dia memberikan kitab lagi kemudian menuliskan di atasnya. Hisyam kemudian menerima kitab yang pertama dan dia tidak mengubahnya sedikit pun.” - Mengubah sanad-sanad dan matan, daripada Hammad bin Salamah dia berkata: “Aku pernah mendengarkan bahawa orang yang pandai bercerita tidak hafal hadis-hadis, maka aku juga pernah membalikkan hadis-hadis daripada yang sebenarnya: Aku ingin menguji Abu Laila, akan tetapi sebaliknya perbuatanku itu menggangunya. - Kita mengenali ahli bidaah kerana dia menolak apa yang ada dalam sunnah terhadap al-Quran: Daripada Abi Qilabah dia berkata: “Apabila aku menceritakan tentang sunnah kepada seseorang , maka dia berkata: Biarkan kami seperti ini, ini adalah kitab Allah SWT, ketahuilah bahawa dia adalah orang yang sesat.” - Pentingnya menjaga al-Quran sebelum sibuk dengan kegiatan pembukuan hadis. Daripada Hafs bin Ghias dia berkata: Aku menemui A’masy sehingga aku berkata: Dia telah menceritakan kepadaku, dia berkata: Apakah engkau telah menghafal al-Quran? Aku berkata: Tidak, dia berkata: Pergilah! Lalu hafalkanlah al-Quran, kemudian aku berjumpanya dan dia memintaku untuk membacanya, aku kemudian membacanya dan selepas itu dia menceritakan hadis kepadaku.”
  • Memberikan jawapan kepada orang yang bertanya dan menyelesaikan kes diantara orang yang bersengketa. Di antara sumbangan para tabi’in dalam berkhidmat kepada sunnah adalah memberikan jawapan kepada orang yang bertanya dan menyelesaikan masalah di antara orang yang bersengketa. Al-Qamah bin Qais al-Nakhai misalnya, dia telah Berjaya melahirkan ulama-ulamahandal seperti Ibrahim, al-Sya’bi. Dia membabitkan diri ke dunia fatwa setelah Ali dan Ibnu Mas’ud. Kaedah pengajarannya sama dengan Ibnu Mas’ud. Umat Islam bertanya dan menuntut ilmu dengannya sedangkan pada waktu itu para sahabat masih ramai.

 

Diriwayatkan daripada Abu al-Zinad, dia berkata: “Para fuqaha yang tujuh yang dijadikan tempat rujukan di ibu kota Madinah ialah Said bin al-Musayyab, Abu Bakar bin Abdul Rahman, Urwah, al-Qasim, Ubaidullah bin Abdullah, Kharijah bin Zaid dan Sulaiman bin Yasar.”

Suatu perkara yang pasti bahawa memberikan jawapan kepada orang yang bertanya dan menyelesaikan kes di antara orang yang bersengketa tidaklah wujud dalam keadaan bersantai-santai dengan senang-lenang tetapi memerlukan tenaga, waktu, bekalan untuk mempersiapkan diri dan terjun ke alam nyata.

 

  • Menjelaskan keadaan para perawi hadis untuk mengetahui siapa hadisnya boleh dijadikan hujah dan yang tidak boleh dijadikan hujah. Itulah di antara sumbangan para tabi’in dalam berkhidmat kepada hadis nabawi. - Diriwayatkan daripada Muhammad bin Sirin, dia berkata: “Aku mendapati penduduk Kufah, mereka mendahulukan lima orang ahli hadis. Orang yang menjadikan al-Harith al-A’war pada urutan pertama dan menjadikan Ubaidah al-Salmani pada urutan kedua, siapa yang menjadikan Ubaidah pada urutan yang pertama akan menjadikan al-Harith pada urutan kedua, kemudian Alqamah, Masruq dan Syuraih. - Diriwayatkan daripada Qatadah, dia berkata: “Apabila aku berkumpul dengan empat orang, aku tidak akan berpaling kepada selain mereka dan aku tidak akan peduli dengan orang yang tidak setuju dengan mereka. Mereka itu adalah Hasan, Ibnu al-Musayyab, Ibrahim dan Atha’. Mereka itu adalah ulama di pelbagai negeri.”

 

Inilah di antara sumbangan terpenting yang diberikan oleh para tabi’in dalam berkhidmat kepada hadis nabawi. Bagi siapa yang ingin mengetahui lebih dalam tentang hal ini, rujuklah buku al-Sunnah Qabla al-Tadwin, karya Dr. Muhammad Ujaj al-Khatib, pada pembahasan al-Tabi’un wa Juhuduhum fi Khidmat al-Hadith al-Nabawi.

Semoga kita dikurniakan kefahaman yang jelas berhubung dengan tabi’in yang mengikut jejak langkah Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Amin.

 

 

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Muhamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

18 Syawal 1436H bersamaan 03 Ogos 2015