Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-764 : HUKUM JUAL BELI COIN KHAS DOBI DI SHOPEE

HUKUM JUAL BELI COIN KHAS DOBI DI SHOPEE

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, baru-baru ini tular berkenaan kewujudan sesetengah pihak yang menjual duit syiling khas yang boleh digunakan di dobi, funfair dan tempat-tempat lain dengan harga yang begitu murah. Akan tetapi, jualan sebegini bakal mendatangkan kerugian kepada para pengusaha kedai dobi dan funfair oleh kerana kebiasaannya untuk satu syiling itu, harga yang diletakkan adalah RM1, tetapi ia boleh didapati di pasaran dengan harga serendah RM 0.28. Persoalan saya, bolehkah perbuatan sebegini dilakukan? Adakah ia termasuk dalam satu bentuk sabotaj dan penganiayaan? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Hukum berjual beli syiling khas atau token khas sebegini di laman perniagaan Shopee atau sebarang aplikasi lain dengan tujuan ingin menggunakan khidmat dobi atau sesetengah perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah berbanding kebiasaan, maka hukumnya adalah haram. Ini kerana, ia dikira sebagai suatu bentuk penipuan, penganiayaan dan kezaliman terhadap para pengusaha kedai atau pusat perkhidmatan tersebut.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Pada dasarnya, Allah SWT meletakkan hukum harus  ke atas segala bentuk jual beli selagi mana ia dilakukan dengan cara yang benar dan menurut syariat yakni bukan dengan cara menipu, merampas, mencuri atau sebagainya. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa Allah SWT melarang kita memakan harta dengan cara yang batil[1].

Dobi layan diri merupakan sebuah perniagaan di mana pemilik tidak perlu berada di premis perniagaan untuk menjalankan proses perniagaan. Namun, terdapat juga kedai dobi layan diri yang menyediakan pekerja atau penjaga kedai untuk membantu pelanggan sekiranya mereka memerlukan bantuan semasa proses cucian dan pengeringan.

Pelanggan hanya perlu menggunakan sistem token atau syiling khas untuk memulakan basuhan ataupun pengeringan. Kebiasaannya, masa yang diambil ialah lebih kurang 30 minit untuk cucian dan 30 minit untuk pengeringan. Pelanggan perlu menggunakan mesin penukaran wang untuk menukarkan wang kertas kepada syiling khas atau token. Operasi dobi yang menggunakan syiling terdiri daripada tiga perkara asas iaitu penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan kutipan bayaran[2].

Secara kebiasaannya juga, token atau syiling khas dobi ini ditukar dengan nilai bersamaan RM1 bagi satu syiling. Meskipun begitu, tular baru-baru ini di laman sosial berkenaan kewujudan sesetengah pihak yang didakwa menjual token atau syiling khas berkenaan dengan harga serendah 28 sen sekeping menerusi laman Shopee. Token khas ini dijual dalam pelbagai bentuk dan bentuk seiring dengan jenis mesin dobi layan diri yang tersedia dalam negara. Selain daripada jualan token khas untuk dobi, token atau duit syiling ini juga ada yang boleh digunakan untuk mesin air, pusat hiburan kanak-kanak dan sebagainya.

Rentetan daripada itu, penjualan token dobi harga yang lebih rendah di laman Shopee berbanding jika ia dibeli secara langsung di dobi ini secara tidak langsung bakal memberi kerugian buat pemilik dobi layan diri sekiranya diguna secara meluas oleh pengguna tidak bertanggungjawab. Perbuatan ini dianggap sebagai suatu bentuk penganiayaan, penipuan dan kezaliman terhadap pengusaha kedai. Ini kerana secara realitinya pengguna akan menggunakan token yang dibeli melalui laman Shopee itu di pusat dobi sedangkan pemilik dobi tersebut tidak memperoleh sebarang keuntungan malah mendatangkan kerugian pula.

Agama Islam jelas melarang kita daripada perbuatan sedemikian. Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukanlah daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Rasulullah SAW bersabda lagi:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur maka dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Begitu juga sesungguhnya pendustaan akan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang itu selalu berdusta maka akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.”

Imam al-Nawawi menukilkan kalam para ulama yang menyatakan bahawa hadis ini merupakan suatu tuntutan dan kewajipan ke atas setiap insan agar bersifat dengan sifat benar dan melaziminya serta larangan daripada berdusta dan juga bersikap mudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika seseorang itu terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, maka lama kelamaan terbiasalah dia[3].

Pun begitu, perkara ini masih lagi dalam kerangka harus selagi mana ia bukan bertujuan untuk menipu atau menganiaya pihak pengusaha. Sekiranya tujuan pembelian token tersebut sekadar niat untuk simpanan, maka hukumnya adalah harus. Dan sekiranya sebaliknya, maka ia adalah haram. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh yang umum iaitu:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada niatnya

Kesimpulannya, mereka yang berjual beli syiling khas atau token khas sebegini di laman perniagaan Shopee atau sebarang aplikasi lain dengan tujuan ingin menggunakan khidmat dobi atau sesetengah perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah berbanding kebiasaan, maka hukumnya adalah haram. Hal ini kerana, perbuatan ini dikira sebagai suatu bentuk penipuan, penganiayaan dan kezaliman terhadap para pengusaha kedai atau pusat perkhidmatan tersebut.

Wallahu A‘lam.

Rujukan:

[1] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H/1964M), 5/152.

الرَّابِعَةُ- اعْلَمْ أَنَّ كُلَّ مُعَاوَضَةٍ تِجَارَةٌ عَلَى أَيِّ وَجْهٍ كَانَ الْعِوَضُ، إِلَّا أَنَّ قَوْلَهُ (بِالْباطِلِ) أَخْرَجَ مِنْهَا كُلَّ عِوَضٍ لَا يَجُوزُ شَرْعًا مِنْ رِبًا أَوْ جَهَالَةٍ أَوْ تَقْدِيرِ عِوَضٍ فَاسِدٍ كَالْخَمْرِ وَالْخِنْزِيرِ وَغَيْرِ ذَلِكَ

[2] Siti Nuraini Abu Bakar, Perniagaan Dobi: Potensi Perniagaan kepada Koperasi, Dimensi KOOP, (t.tp: Institut Koperasi Malaysia, Bil.53, 2017), 62-65.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 16/160.

قَالَ الْعُلَمَاءُ هَذَا فِيهِ حَثٌّ عَلَى تَحَرِّي الصِّدْقِ وَهُوَ قَصْدُهُ وَالِاعْتِنَاءِ بِهِ وَعَلَى التَّحْذِيرِ مِنَ الْكَذِبِ وَالتَّسَاهُلِ فِيهِ فَإِنَّهُ إِذَا تَسَاهَلَ فِيهِ كَثُرَ مِنْهُ فَعُرِفَ بِهِ