Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-773: PANDUAN KIRAAN TEMPOH IDAH

PANDUAN KIRAAN TEMPOH IDAH

 

SOALAN                    

Assalamualaikum. Bagaimanakah kaedah mengira tempoh idah? Saya diceraikan ketika suci. Adakah saya boleh terus kira atau tunggu haid datang dulu? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Tempoh idah bagi wanita yang diceraikan dan masih mempunyai haid ialah tiga kali suci.  Kiraan tiga kali suci akan bermula setelah lafaz talak dijatuhkan semasa suci. Berbeza pula sekiranya lafaz talak dijatuhkan ketika haid, maka kiraan tempoh idahnya setelah haidnya selesai kemudian baru dikira suci pertama.

Panduan kiraan tempoh idah 3 kali suci bagi wanita yang haidnya teratur dan datang setiap bulan berdasarkan jadual berikut :

  1. Talak ketika Suci

a.jpg

  1. Talak ketika Haid

b.jpg

 

Huraian Jawapan:

Tempoh idah bagi wanita yang masih mempunyai haid ialah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: "Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)". 

Surah al-Baqarah: (228)

al-Mawardi menukilkan pandangan Imam al-Syafi’i tentang maksud ayat di atas, kata beliau:

وَالْأَقْرَاءُ عِنْدَهُ الْأَطْهَارُ

Maksudnya: “Kalimah al-Aqra’ di sisi al-Syafie ialah suci daripada haid”.[1]

Kiraan tempoh idah akan bermula setelah lafaz talak dijatuhkan ketika isteri dalam keadaan suci. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحۡصُواْ ٱلۡعِدَّةَۖ


Maksudnya
:” Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya”

Surah al-Talaq: (1)

Maksud menceraikan isteri pada masa yang membolehkan untuk memulakan idah adalah pada ketika isteri dalam keadaan suci tanpa melakukan persetubuhan yang berkemungkinan isteri boleh mengandung.  [2]        

Oleh itu, kiraan tempoh idah yang mencukupi 3 kali suci (quru’) bermula daripada baki suci  walaupun sedikit sisa tempoh suci  tersebut semasa talak dilafazkan dan menyelesaikan 2 kali suci antara dua darah, kemudian tamat tempoh idah sehingga masuk haid ketiga.[3] Sekiranya, wanita diceraikan  ketika penghujung sisa sedikit baki tempoh suci, ia tetap dikira suci pertama dan habis tempoh idahnya sehingga  masuk haid yang ketiga.[4]

Seterusnya, implikasi cerai ketika isteri dalam keadan haid menyebabkan terjejas tempoh idahnya yang akan menjadi panjang. Hal ini kerana talak yang dilafazkan ketika haid tidak dikira sebagai permulaan tempoh idah.[5] Status lafaz talak yang dijatuhkan ketika haid adalah sah, namun haram hukumnya.[6]

Sehubungan itu, gambaran terperinci bagi tempoh idah 3 kali suci adalah apabila seorang wanita diceraikan semasa dalam keadaan suci, seterusnya dia mengalami haid dan suci, kemudian haid dan suci, maka waktu idah sudah selesai apabila dia masuk sahaja dalam kitaran haid ketiga. Hal ini kerana keadaan suci yang pertama dikira sebagai tempoh idah. Manakala jika dia diceraikan semasa haid, maka idahnya hanya selesai selepas masuk dalam kitaran haid keempat.[7] 

Panduan kiraan tempoh iddah 3 kali suci yang terbahagi kepada kepada dua situasi iaitu talak ketika suci dan talak ketika haid berdasarkan jadual berikut :  

Jadual 1.1            Talak ketika Suci

c.jpg

Jadual 1.2            Talak ketika Haid

d.jpg

PENUTUP 

Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, kiraan tempoh idah tiga kali suci bermula setelah lafaz talak dijatuhkan semasa suci. Berbeza pula apabila  wanita yang diceraikan ketika haid, maka kiraan tempoh idahnya setelah haidnya selesai kemudian baru dikira suci pertama dan ia memberi implikasi tempoh idahnya yang akan menjadi panjang. Panduan tempoh kiraan idah sangat penting kerana ia melibatkan urusan untuk suami rujuk semula mahupun mengadakan akad nikah yang baru.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Al-Mawardi, Abu al-Hassan ‘Ali bin Muhammad. (1999). Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Tahkik: ‘Ali bin Ma’wadh & ‘Adil Ahmad bin ‘Abdul Maujud. Cetakan 1, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jilid 11 hlm 163

[2] Abu Jaafar al-Tabari.  Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran (Muassasah al-Risalah, 2000)23/ 434

 (فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ) قالَ: يطلقها وهي طاهر من غير جماع، أو حَبَل يستبين حملها.

[3]Al-Bakri al-Dimyati, I’anah al-Thalibin ‘ala Hal al-Fazd Fath al-Mu’in (Dar al-Fikr, 1997) 4/48

لقوله تعالى: * (والمطلقات يتربصن بأنفسهن ثلاثة قروء) * فمن طلقت طاهرا وقد بقي من الطهر لحظة انقضت عدتها بالطعن في الحيضة الثالثة

وإنما يجب لما ذكر عدة (بثلاثة قروء) والقرء هنا طهريين دمي حيضتين

[4] Al-Khatib As-Syirbini. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj (Dar al-Kutub Ilmiyah, 1994)  (5/ 79)

(فَإِنْ طَلُقَتْ طَاهِرًا) وَبَقِيَ مِنْ زَمَنِ طُهْرِهَا شَيْءٌ (انْقَضَتْ) عِدَّتُهَا (بِالطَّعْنِ فِي حَيْضَةٍ ثَالِثَةٍ) لِأَنَّ بَعْضَ الطُّهْرِ وَإِنْ قَلَّ يَصْدُقُ عَلَيْهِ اسْمُ قَرْءٍ

[5]  Al-Khatib As-Syirbini. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj (Dar al-Kutub Ilmiyah, 1994) 1/ 280

 {إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ} [الطلاق: 1] [الطَّلَاقُ] أَيْ فِي الْوَقْتِ الَّذِي يَشْرَعْنَ فِيهِ فِي الْعِدَّةِ، وَالْمَعْنَى فِيهِ تَضَرُّرُهَا بِطُولِ الْمُدَّةِ فَإِنَّ زَمَنَ الْحَيْضِ لَا يُحْسَبُ مِنْ الْعِدَّةِ،

فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ} [الطلاق: 1] وَالطَّلَاقُ فِي الْحَيْضِ مُحَرَّمٌ كَمَا مَرَّ فِي بَابِهِ فَيُصْرَفُ الْإِذْنُ إلَى زَمَنِ الطُّهْرِ (5/ 79) 

[6] Muhammad al-Zuhaili.al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) 4/262

ولذلك كان الطلاق في الحيض بدعة ومحرماً ؛ لأنه يطيل العدة على المرأة

[7] Muhammad al-Zuhaili.al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) 4/262

- العدة بالأقراء

وهي جمع قَرْء، ويطلق في اللغة على الطهر والحيض، وهو حقيقة فيهما، والمراد به شرعاً في العِدّة: الطهر الذي يقع بين دمين، فإذا طلقها وهي حسب ذلك قرءاً ، فإذا حاضت ثم طهرت، ثم حاضت ثم طهرت فإن عدتها تنتهي عند الشروع في الحيض الثالثة وإذا طلقها وهي حائض انقضت عدتها عند شروعها في الحيضة الرابعة،